Kumpulan pertama yang keliru itu telah mula muncul sejak zaman permulaan Islam, di zaman sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W ketika itu masih lagi hidup. Abdullah bin Mas’ud adalah antara para sahabat yang menentang mereka. Beliau faham bahawa ‘uzlah’ adalah bertentangan dengan Islam yang dinamik, sebagaimana yang dididik oleh Rasulullah saw. Islam didikan Rasulullah saw adalah bergerak melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, berjihad dan berdakwah. Lalu Ibnu Mas’ud menerangkan bid’ahnya mereka, mengherdik dan mencabut kekeliruan mereka dan mengembalikan mereka ke jalan yang benar.
Seorang ahli fiqh dari para tabi’in Kufah yang arif dan bijaksana, Amir As-Sya’bi telah meriwayatkan bahawa ada beberapa lelaki telah keluar dari Kufah dan tinggal di pinggir bandar, beribadah di sana. Berita itu telah sampai ke pengetahuan Abdullah bin Mas’ud r.a. Dia pun datang berjumpa mereka. Orang-orang itu gembira dengan kedatangan beliau.
Ibnu Mas’ud berkata kepada mereka: “Apakah yang mendorong kamu berbuat begini?”
Mereka berkata: “Kami ingin lari dari hingar bingar kelam kelibut orang ramai untuk beribadat.”
Kata Abdullah bin Mas’ud: “Jika semua orang berbuat seperti apa yang kamu buat, siapakah yang akan memerangi musuh? Aku tidak akan tinggalkan tempat ini sehinggalah kamu pulang.”
Kisah ini telah diriwayatkan oleh seorang guru ahli hadis Abdullah bin al-Mubarak.’
Menurut andaian saya (Wallahua’alam), amalan bid’ah ini iaitu mengasingkan diri dan beruzlah dari masyarakat untuk beribadat adalah amalan yang ditiru dari kaum Nasrani. Di bumi Furat yang terletak berhampiran bandar Kufah terdapat banyak biara. Di sanalah juga tempat tinggalnya puak bani Tay yang ada tersebarnya kristian sebelum kedatangan Islam. Ini terbukti melalui mereka ‘Adi bin Hatim Al-Taa’iy r.a. yang pernah memeluk Nasrani sebelum masuk Islam.
Dari kisah Abdullah bin Mas’ud ini, para da’I sepanjang generasi dapat mengambil satu kesedaran yang benar. Sesungguhnya ia adalah kalimah yang benar, simbol kesedaran dan lambang didikan Nabi.
Tanda-tandanya jelas dalam kata-kata mereka sebagaimana yang terbayang di wajah mereka. Siapakah yang akan memerangi musuh jika ahli ibadat itu mengasingkan diri dari masyarakat?
Siapakah yang akan melawan konspirasi Zionisme, Freemason, propaganda Komunisme dan Atheis sekiranya orang yang bersembahyang dan ahli ibadah tetap di dalam masjid-masjid, tidak bergabung tenaga dengan da’i Islam?
Setelah Ibnu Mas’ud dan sahabat-sahabatnya wafat dan berlalunya generasi para mujahid tabi’in yang dididik oleh para sahabat Rasulullah S.A.W., sebahagian orang Islam telah kembali semula meninggalkan jihad, kembali beruzlah diri dari pergolakan orang ramai. Fenomena ini berlaku pada separuh kedua abad kedua hijrah.
*********************
Muhammad Ahmad al-Rasyid
Rujuk kitab beliau : Al-Muntholaq
Link download : http://www.scribd.com/doc/33674487/al-muntalaq
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)