Thursday, July 15, 2010

Jadilah Rijalul Ummah

Kongsi

Langkah-langkahmu selanjut dalam hijrah mu kepada Allah ialah dengan mengembangkan usahamu memperkatakan kebenaran. Pergilah kepada orangramai, pimpinlah mereka, tunjukkan contoh teladan, pandulah dan bimbinglah mereka.

kepemimpinan Ulangi sejarah kegemilangan da’I salafussoleh r.a. Mereka adalah pemimpin orang ramai. Mereka tampil ke hadapan untuk membimbing manusia, sehingga manusia sedikit demi sedikit beransur-ansur mengasihi mereka. Orang ramai melihat mereka sebagai contoh dan teladan yang baik yang tidak dapat dipertikaikan lagi kewibawaannya, akhirnya orang ramai menurut dan kemudian mengikut arahan mereka.

Seorang ahli zuhud yang masyhur, Bisyru bin al-Haris al-Hafi Rahimahullah mendapati ada tiga sifat istimewa yang terdapat pada Imam Ahmad bin Hanbal. Dengan sifat-sifat ini, Imam Ahmad dianggap melebihinya berbanding dirinya. Salah satu daripada sifat-sifat istimewa itu ialah; “...beliau merupakan imam orang ramai..”.

Para ilmu rijal menyifatkan Imam Al-Auza’i pula sebagai rajul ‘ammah – orang yang bersama orang ramai.

Demikian juga seorang ahli hadis dan faqih yang thiqah lain iaitu Abu Ishak al-Fazari. Ulama rijal berkata: “Dia adalah seorang rajul ammah. Dia telah mendidik penduduk-penduduk dipersempadanan Islam di tanah tinggi Syam dan semenanjung yang mengadap ke Rom.. Beliau mengajar mereka tentang sunnah dan cara hidup Rasulullah S.A.W., menyuruh manusia kepada kebaikan dan melarang mereka dari kemungkaran. Apabila seorang ahli bid’ah memasuki kubu itu, beliau mengusir lelaki tersebut."

Demikian juga Khalid bin Abdullah al-Wasiti, salah seorang ahli hadis yang thiqah dan merupakan salah seorang dari guru-guru Imam al-Bukhari. Mereka sifatkannya sebagai rajul ammah.

Pemimpin Pengenalan-pengenalan kepada rijal di atas menjelaskan bahawa mereka semua adalah da’i yang mengajar manusia. Ilmu mereka tidak meletakkan mereka hanya di dalam bilik-bilik. Mereka turun ke medan, memimpin masyarakat membuat pendirian dan sikap politik.

Demikianlah Imam Ahmad bin Hanbal memimpin masyarakat yang masih terpelihara bagi memerangi puak Jahmiyah dan Muktazilah yang cuba memesongkan akidah masyarakat dengan bid’ah ‘al-Quran adalah makhluk’. Beliau menentang kerajaan pada masa itu bila kerajaan hendak memaksa bid’ah menggunakan kuasa mereka. Akhirnya, Allah menolong beliau dengan perlantikan khalifah al-Mutawakkil yang memiliki akidah yang benar. Baginda telah menukar struktur kerajaan, membersihkannya dari bid’ah dan seterusnya menyekat dan memadamkan kegiatan ahli bid’ah.

Apa yang dimaksudkan dengan ammah ialah orang ramai samada terpelajar atau buta huruf dan bukannya menurut istilah moden yangbermaksud orang-orang jahil. Pemimpin dan da’i Islam dahulu tidak pernah melupakan orang Badwi dan penduduk kawasan pedalaman di samping memimpin penduduk bandar. Mereka mengambil berat tentang peri pentingnya kesatuan akidah dan pendirian antara kesemua masyarakat tersebut. Ini menyebabkan da’I itu memperuntukkan sebahagian dari usaha untuk kesemua mad’u tersebut.

Imam Al-Zuhri, pemimpin ahli hadis telah mendidik beberapa generasi penduduk beberapa kota raya Islam dan membentuk mereka menjadi pemimpin-pemimpin di dalam bidang hadis. Bukan itu sahaja, bahkan beliau sendiri turun menemui masyarakat badwi dan penduduk kampung untuk mengajar mereka, memelihara yang masih kekal dalam akidah yang benar dan berlemah lembut terhadap orang yang telah diselewengkan oleh ahli bid’ah yang sesat, lalu akhirnya diselamatkan kepada tauhid yang sejati.

Para ulama’ dan da’i kemudian pula memperbaharui sejarah al-Zuhri ini. Antaranya ialah: Seorang faqih dan pembimbing, Ahmad al-Ghazali, saudara kandung kepada Abu Hamid al-Ghazali pengarang Ihya’ ‘Ulumuddin. Beliau memasuki kampung-kampung dan kebun-kebun, memberi nasihat kepada penduduknya agar mereka mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

*********************

Muhammad Ahmad al-Rasyid

Rujuk kitab beliau : Al-Muntholaq

Link download :http://www.scribd.com/doc/33674487/al-muntalaq 

No comments:

Post a Comment

sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)