Di atas dasar sistem al Quran ini, tertegaklah sebuah negara Islam yang pertama. Ianya sebuah negara yang beriman benar-benar dengan al Quran, melaksanakan segala ajarannya dengan penuh rapi dan kemudiannya menyebarkannya pula ke seluruh dunia.
Khalifah Islam yang pertama(Abu Bakar ra) pernah berkata :
"Jika seutas tali pengikat unta pun hilang dari jagaan saya, saya akan dapatinya dalam Al-Quran".
Beliau telah memerangi orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat dan menyifatkan mereka itu sebagai murtad kerana meruntuhkan salah satu rukun sistem ini. Beliau mengatakan,:
"demi Allah kalau mereka itu enggan menunaikan kepada ku seutas tali pengikat unta seperti yang telah ditunaikan kepada Rasulullah saw, pasti aku akan perangi mereka selagi pedang masih berada di tangan ku".
Kesatuan yang sepenuhnya tercerna dalam ummah yang baru lahir ini. Kesatuan masyarakat tercerna dalam kerangkuman seluruh sistem al Quran dan bahasa Al-Quran dikalangan mereka. Kesatuan politik terangkum di bawah naungan Amirul mukminin dan lambaian panji-panji khalifah di ibu negara.
Idea Islam tidak berlegar dalam tentera sahaja atau di Baitul Mal atau pada tindak laku pemerintah sebab mereka semua bekerja dalam satu aqidah dan dengan arahan yang satu dan menyeluruh. Prinsip al Quran ini telah berjaya menghapus dan menghalau keluar fahaman-fahaman keberhalaan yang khurafat di Semenanjung tanah Arab dan Farsi. Yahudi penipu juga telah dihalau dan kekuasaan agama dan politik mereka dilenyapkan.
Prinsip dan dasar Al-Quran ini juga telah berjuang menentang fahaman Kristian sehingga terhapus dari benua Asia dan Afrika dan terpaksa berlindung di bawah naungan kerajaan Rom timur di Konstantinopel. Dengan ini dua benua yang besar ini telah memusatkan seluruh kuasa spiritual dan politiknya kearah kerajaan Islam. Dasar Islam ini seterusnya juga telah berusaha memerangi benua ketiga (benua Eropah) iaitu menyerang Konstantinopel dari Timur dan mengepungnya dengan bermatian dan menyerangnya (benua Eropah) dari barat dengan menawan Andalus.
Bala tentera Islam telah berjaya sampai ke tengah Perancis serta utara dan selatan Itali. Ia juga telah mendirikan sebuah kerajaan yang agung di Eropah Barat yang bersinar dengan ilmu dan peradaban. Kemudian barulah Konstantinopel sempurna di buka dan Kristian diletakkan di sudut yang kecil di tengah Eropah. Kapal laut tentera Islam belayar hebat di dua lautan iaitu lautan Mediteranean dan laut Merah yang mana kedua lautan itu menjadi tasik Islam. Tentera laut negara Islam memegang kunci laut di timur dan di barat dan seluruh kekuasaan darat dan laut berada di tangan Islam. Implikasi dari ini umat Islam dapat berhubung dengan bangsa-bangsa lain.
Umat Islam berjaya memindahkan kebanyakan tamadun dunia tetapi dengan kawalan kekuatan iman dan prinsip peraturannya. Seluruh tamadun itu telah diubahsuai dengan kehendak-kehendak Islam dengan mengekalkan keindahan dan kehebatannya. Islam tidak menegah dari mengambil faedah tamadun itu selagi ianya tidak mengganggu kesatuan politik dan masyarakat ummat Islam.
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)