Saturday, July 3, 2010

Perbaikilah diri kamu

Kongsi

Sebelum kita mengajak hendaklah kita telah bersedia. Kita perlulah mempersediakan diri kita dan sahabat-sahabat kita dengan persediaan-persediaan Islam. Inilah yang telah dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w kepada kita di hari pertama baginda mengajak manusia kepada Islam.

halaqoh Baginda Rasulullah s.a.w bermula dengan seorang diri, kemudian baginda mengumpulkan sahabat lain yang hampir dengan baginda. Pertama isteri baginda sendiri iaitu Saidatina Khadijah r.a. Kemudian ahli keluarga baginda sendiri seperti Sayyidina Ali r.a yang tinggal bersama baginda. Kemudian baginda mengajak sahabat yang terdekat iaitu Sayyidina Abu Bakar r.a. Melalui Sayyidina Abu Bakar r.a pula Islamlah Sayyidina Usman, Zubir Ibn Awwam, Abd Rahman Ibni Auf dan lain-lain. Inilah Usbah yang pertama yang mengikut Rasulullah s.a.w. Kumpulan pertama ini dididik oleh Rasulullah s.a.w di sebalik Bukit Safa, di rumah Arqam Ibni Abi Arqam.

Melalui proses pendidikan Islam yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w, akhirnya nampaklah Islam berjalan dalam kehidupan mereka. Syaksiyyah Islamiyyah kumpulan pertama ini akhirnya membimbangkan orang-orang kafir. Kebimbangan mereka ini telah melahirkan penentangan terhadap ummah pertama tersebut. Bilal di tangkap dan disiksa, keluarga Yathir juga telah disiksa, Sumayyah telah dibunuh dan begitu juga dengan anggota-anggota ummah yang lain, mereka menghadapi berbagai macam ancaman yang menakutkan.

Kumpulan yang terdidik di bawah asuhan Rasulullah s.a.w tidak pernah mengenal penat lelah dan putus asa. Penyiksaan-penyiksaan dan ancaman-ancaman yang mendatang menambahkan lagi keyakinan mereka terhadap Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya mereka benar-benar yakin terhadap janji Allah s.w.t dan Rasul Nya adalah benar. Bagi mereka aqidah tidak boleh ditukar ganti baik dalam apa jua suasana sekalipun. Keyakinan mereka adalah suatu kenyataan, suatu realiti untuk kita contohi. Keluarga Yathir telah disiksa dengan dahsyat, Yathir, Summayyah dan Ammar telah disiksa dengan kejam, Summayah syahid menemui Allah s.w.t. Rumah mereka dibakar. Ketika Yathir dan keluarganya disiksa, Rasulullah s.a.w mengetahui hal tersebut dan baginda memberi khabar gembira kepada mereka dengan sabda baginda :

Wahai Keluarga Yathir, Bersabarlah, Sesungguhnya janji kamu adalah syurga “

Dalam usaha kumpulan pertama itu mengajak, mereka bermula dengan diri mereka sendiri dan membentuk Rakizah atau kumpulan asas jalanku yang betul-betul memahami dan menghayati Islam. Sejak hari pertama lagi Rasulullah s.a.w bermula dengan mengutip dan mengumpulkan serta membentuk mereka dengan Islam. Sesungguhnya inilah yang perlu kita fahami. Kita bukan sekadar mengumpul semata-mata tanpa ada pembentukan. Tarbiyyah kita menuntut supaya proses mengajak dan membentuk ini berjalan serentak. Apabila kita mengabaikan perkara pokok ini maka akan berlakulah kegelencungan di dalam da’wah kita.

Al Ustaz Mustafa Masyhur telah mengeluarkan kata-kata nasihat yang bernilai kepada kita. Katanya “ Perbaikilah diri kamu dan serulah orang lain “ . Ini dapat difahami bahawa pertama-tamanya bahawa Islam perlu ditegakkan di dalam diri kita sendiri. Apabila Islam tertegak di dalam diri kita maka akan mengambanglah laksana pokok, semakin menunjang akarnya maka semakin merendanglah daun dan semakin menjulang pucuknya. Kita perlu suburkan keimanan kita dengan wahyu-wahyu Allah s.w.t dan sirah para sahabat. Kita perlu suburkan kefahaman kita dan syaksiyyah kita dengan Islam.

Islam adalah milik Allah s.w.t. Di dalam Islam sesiapa sahaja yang beriman, yang menghayati Islam, maka wajib juga mengajak orang lain untuk menghayati Islam, ajaran Allah s.w.t. Oleh kerana Islam adalah hak Allah s.w.t, maka semua manusia berhak untuk mengambil atau menerima Islam. Islam bukan milik orang-orang ‘Arab , ustaz-ustaz atau sheikh-sheikh Universiti Islam atau Institusi-institusi Islam semata-mata. Malah Islam adalah untuk seluruh isi alam ini. Islam boleh difahami dan dihayati dengan melalui proses pendidikan Islam. Sebenarnya ilmu semata-mata tidak dapat membentuk syaksiyyah. Ilmu berhajat kepada didikan untuk melahirkan natijah Islam. Berkata al Marhum Abul Ala al Maududi bahawa

Islam adalah nama bagi suatu bentuk ilmu dan ilmu itu dijelmakan di dalam bentuk amalan “

Kita perlu merasai setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana Dia telah memberikan kesempatan kepada kita, Allah s.w.t memilih kita sebagai suatu kumpulan atau jamaah atau harakah yang ingin kembali kepada Islam dan kembali semula kepada Allah s.w.t. Yang berhajat kepada Allah s.w.t adalah pilihan Allah s.w.t juga. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

Akan sentiasa berada di zaman manapun satu Taifah, kumpulan yang berdiri di atas kebenaran sehingga datang perintah Allah s.w.t.

Taifah ialah suatu kelompok, kumpulan atau jamaah. Walaupun tidak ada Daulah Islamiyyah tetapi Taifah Islamiyyah tetap ada jihad menggantikan daulah. Gerakan Islam berada di mana-mana sahaja. Jatuhnya Daulah ‘Uthmaniyyah di Turki tidak bererti jatuh juga kumpulan atau harakah Islam di dunia ini. Harakah Islam tetap ada dan terus mengembangkan sayapnya. Taifah ini tidak semestinya satu. Kesatuan mereka adalah berdasarkan matlamat yang satu dan jalan yang satu serta sistem yang satu di dalam didikan ummah.

Diperingkat awal ini kita perlu memahami bahawa Islam berada diperingkat dagang kali kedua. Dagang pada kali pertama ialah pada zaman Rasulullah s.a.w. Kita perlu merasai hakikat dagang ini dan masyaakat kita perlu dagang dengan Islam. Di dalam suasana Islam yang dagang ini kita perlulah memahami bahawa kita adalah pedagang-pedagang yang ingin mengembalikan dengan meletakkan Islam di tempat asalnya. Ini adalah tugas yang besar dan cukup mencabar. Sebenarnya kita ingin kembali kepada maksud hadith Rasulullah s.a.w bahawa Islam bermula dengan dagang dan akan kembali dagang dan beruntung lah pedagang-pedagang.

Kita doakan semoga Allah s.w.t meletakkan kita kepada golongan-golongan pedagang-pedagang yang berbahagia. Pedagang-pedagang yang ingin kembali meletakkan Islam pada tempatnya. Islam sebagai satu-satunya ad Deen yang diredhai oleh Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment

sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)