Sesungguhnya, Islam hari ini sangat-sangat memerlukan kepada satu kumpulan da’i yang memiliki kefahaman ‘mengubah’ ini, memahami betul-betul kewajiban membawa petunjuk kepada manusia, tahu kedudukan mereka di dalam angkatan dakwah yang berjalan dan mengerti bahawa mereka adalah mata rantai yang menghubungkan angkatan dahulu dengan angkatan yang akan datang nanti. Mereka bersama mengumandang nasyid:
Kita ini adalah angkatan musafir di dalam hidup ini
Menjadi penghubung barisan yang mendatang dengan mereka yang telah lalu
Mereka yang terdahulu telah menunjukkan jalan ini kepada kita
Wajib pula kita menunjukkan jalan kepada generasi depan.
Betul....golongan yang terdahulu telah bersusah payah menyampaikan akidah tauhid kepada kita, mendidik kita, membersihkan akidah kita, membentuk kita dan menyelamatkan kita dari bahaya yang membinasakan. Oleh itu, sepatutnya kita setia kepada mereka, menyempurnakan janji kita dalam melaksanakan tugas dakwah yang telah diserahkan kepada kita supaya kita bekerja dan beramal seperti mana yang pernah mereka lakukan.
Mereka yang menanam pohonnya, kita yang menikmati hasilnya. Seterusnya, kita pula akan menanam pohon supaya buahnya boleh dimakan oleh generasi yang datang.
Penanaman itu memerlukan kita bergaul dengan orang ramai, berbicara dengan mereka dan mengucapkan kalimah kebenaran dengan tegas dan terus terang.
Tetapi, bagi sesiapa yang memilih untuk bersembunyi, mengasingkan diri dan enggan menentang pemikiran sesat dan kerosakan akhlak yang berlaku, maka orang itu samalah seperti yang dikatakan oleh Mustafa al-Rafi’ie:
“Orang itu menyangka bahawa dia telah lari dari kehinaan menuju kemuliaan, tetapi pelariaannya dari memerangi kehinaan itulah kehinaan bagi dirinya. Apa ertinya kesucian, amanah, al-sidq, kesetiaan, kebaikan, ehsan dan lain-lain kemuliaan bagi seorang yang berada keseorangan di padang pasir atau di puncak gunung? Bolehkah dianggap al’-sidq itu satu kemuliaan pada seseorang manusia jika di sekelilingnya hanya ada ketulan-ketulan batu? Demi Allah, sesungguhnya siapa yang langsung tidak memerangi keburukan, maka dia sebenarnya langsung tidak mempunyai kebaikan dan kelebihan.”
Apakah bezanya antara orang yang mengasingkan diri di puncak gunung dengan orang yang membisu seribu bahasa di tengah-tengah orang ramai?
Masalah umat Islam hari ini sebenarnya bukanlah disebabkan kurangnya bilangan mereka. Begitu juga masalah dakwah Islam pada hari ini juga bukan disebabkan oleh kurangnya orang yang berpegang teguh dengan Islam di tengah-tengah kegawatan umat yang meninggalkan solat, mengamalkan bid’ah dan mendukung pemikiran kufur dan teori jahiliah. Tidak sekali-kali, kerana setiap tanah umat Islam di seluruh dunia ini sentiasa mempunyai ramai angkatan muda Islam yang baik.
Masalah yang berlaku ialah mereka ini tidak menzahirkan keIslaman mereka, tidak menyampaikan dakwah Islam kepada orang ramai atau mereka melakukan kerja-kerja dakwah tetapi tanpa adanya penyelarasan di kalangan mereka.
Seorang mujahid dakwah dan ahli fiqh Islam, Al-Syahid Abdul Qadir Audah telah menunjukkan makna ini kepada kita lalu berkata:
“Di dunia Islam pada hari ini ada generasi terpelajar yang mepunyai ilmu Islam yang tinggi. Mereka bersungguh-sungguh mengembalikan semula kedudukan Islam yang telah hilang. Dalam menegakkan kebenaran, mereka tidak takut kepada cercaan orang ramai. Namun, kekurangan mereka yang ketara ialah mereka terpengaruh oleh pendekatan generasi terdahulu. Kebanyakan kerja-kerja mereka tertumpu kepada soal ibadah dan nasihat sahaja. Adalah lebih baik bagi mereka dan bagi agama ini sekiranya mereka tumpukan sebahagian besar usaha mereka bagi mengingatkan orang Islam terhadap perlunya menghidupkan semula syariat mereka yang telah dipinggirkan dan menghapuskan undang-undang mereka yang bertentangan dengan Islam.”
*********************
Muhammad Ahmad al-Rasyid
Rujuk kitab beliau : Al-Muntholaq
Link download : http://www.scribd.com/doc/33674487/al-muntalaq
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)