Ulama’ dan fuqaha’ terdahulu lebih dapat membezakan pengertian ini daripada ulama’ dan fuqaha’ di zaman mutakhir. Mereka menyatakan bahawa kemuliaan dan kekuatan yang dinikmati oleh umat Islam di zaman salafussoleh itu adalah kerana mereka melaksanakan tugas amar makruf dan nahi mungkar.
Sebab itu mereka berkata:
“Tugas itulah yang menjadi paksi terbesar di dalam agama. Untuk melaksanakan tugas itu, Allah S.W.T. mengutus seluruh Nabi dan Rasul. Sekiranya tugas ini tiada, mengganggurlah kenabian dan risalah Islam, musnahlah agama, kosonglah dunia dan hidayah, tersebarlah kesesatan, berkembang-biaklah kejahilan, menjalarlah kerosakan. Yang koyak bertambah luas lubangnya, runtuhlah segala negeri dan binasalah seluruh hamba Allah di muka bumi. Mereka hanya akan menyedari kebinasaan mereka di hari pembalasan. Apa yang kita takuti telah terjadi. Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun. Kerana ilmu dan amal paksi itu telah hilang.”
Imam al-Ghazali mengatakan yang demikian kepada umat Islam di zamannya.
“Bagi orang yang melihat dan berfikir, dia akan mencari jalan bagaimana hendak menyelamatkan umat dari kebinasaan itu. Tiada jalan melainkan dia hanya akan menemui kaedah-kaedah angkatan pelopor, lalu dia pun menawarkan ganjaran dan tercari-cari siapakah yang akan menjadi pelopor. Menyimpan untuknya kedudukan yang tertinggi dan darjat yang mulia menghampiri Tuhannya Yang Maha Pengasih. Dia mendongakkan pandangannya ke puncak dan memekik :
“Wahai manusia, siapakah yang mahu mengisi kekosongan ini dan menampal retakan ini. Siapa yang sanggup memikul tugas atau pelaksanaannya, membaharui sunnah yang beredar ini, bangun memikul bebanannya dan berusaha bersungguh-sungguh menghidupkannya, dialah yang mengambil peranan paling utama di kalangan manusia dalam menghidupkan sunnah yang kian mati dan pupus ditelan zaman. Maka dialah yang berjaya membolot segala kemuliaan dan kedudukan yang tinggi yang mengatasi segala darjat lain yang tidak setanding dengannya.”
Mengenai hijrah yang telah kita sebutkan, kita telah didahului oleh sahabat-sahabat Nabi S.A.W.. Ibnu Taimiyah telah berkata:
“Abu Hurairah telah berkata: “Berjaga satu malam di kubu pertahanan jihad lebih aku suka daripada berdiri (bersembahyang) pada malam lailatul qadar di sisi HajarAswad. Bumi yang paling mulia bagi seorang manusia ialah bumi yang paling dia taat kepada Allah dan rasulNya. Ia berbeza mengikut situasi. Tidak ditentukan bumi mana yang lebih mulia yang dipijaki oleh manusia, tetapi yang lebih mulia bagi setiap manusia tertakluk kepada sifat takwa, taat, khusyuk, tunduk dan hadir hatinya di hadapan Allah.
Abu al-Darda’ telah menulis surat kepada Salman:
“Jomlah kita ke tanah suci !”
Salman terus membalas suratnya:
“Sesungguhnya bumi tidak dapat menyucikan seseorang. Tiada yang dapat menyucikan seseorang hamba kecuali amalnya.”
Sebelum ini Rasulullah S.A.W. telah mempersaudarakan di antara Salman dan Abu al-Darda’ dan Salman lebih dalam kefahamannya berbanding Abu al-Darda’ di dalam beberapa perkara termasuk hal ini.”
Oleh itu, amallah yang sebenarnya menyucikan pelakunya. Semulia-mulia pekerjaan ialah tugas amar makruf dan nahi mungkar. Manakala semulia-mulia amar makruf nahi mungkar ialah yang dilaksanakan di negeri yang memerlukan kegiatan tersebut dan membuahkan hasil darinya. Janganlah kamu diperdaya oleh dirimu semata-mata dan rasa zuhud yang mendorong kamu untuk berhijrah dari tempat yang memberi manfaat kepada kamu. Dengarlah penjelasan Ibnu al-Qayyim untuk kita:
“Agama itu bukanlah semata-mata meninggalkan perkara yang jelas haram, bahkan juga melaksanakan segala perintah yang disukai Allah. Sebahagian besar manusia yang beragama tidak memperdulikan hal itu kecuali apa yang dibuat olehnya bersama-sama masyarakat awam. Jihad, amar makruf, nahi mungkar, nasihat kepada Allah, rasulNya dan hamba-hambaNya, menolong Allah, rasulNya, agamaNya dan kitabNya merupakan kewajipan-kewajipan yang tidak terlintas di dalam fikiran mereka, apalagi hendak dilaksanakan.
Manusia yang paling kurang agamanya dan yang paling dimurkai Allah ialah manusia yang meninggalkan kewajipan-kewajipan ini sekalipun dia seorang yang zuhud dan meninggalkan dunia seluruhnya. Jarang sekali kamu melihat orang yang merah padam mukanya kerana Allah, marah kerana kehormatan Allah dicabuli dan mengorbankan hartanya untuk menolong agamaNya.”
Lihatlah Rasulullah S.A.W. : “Seluruh waktunya diwakafkan untuk berjihad dengan hatinya, lidahnya dan tangannya. Oleh itu, jadilah baginda manusia yang paling tinggi namanya di seluruh alam dan paling mulia kedudukannya di sisi Allah.” Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. merupakan contoh ikutan dan tauladan yang terbaik bagi kita.
******************************
Muhammad Ahmad al-Rasyid
Rujuk kitab beliau : Al-Muntholaq
Link download : http://www.scribd.com/doc/33674487/al-muntalaq
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)