Sunday, July 4, 2010

Cara Islam menanam tata Rabbani

Kongsi

Islam telah berusaha untuk menanamkan tata Rabbani kepada jiwa setiap Muslim di dalam kehidupannya melalui pelbagai cara. Cara-cara tersebut ialah:

1.   Melalui Jalan ‘Ibadah

Melalui ibadah-ibadah wajib dan sunat yang digalakkan oleh Islam. Melalui pengulangan solah lima waktu setiap hari. Solah merupakan ruh seperti ruh yang ada pada setiap jasad. Ia sentiasa menemukan muslim dengan Allah SWT.

_41970888_sujud_getty416 Tatkala manusia tenggelam dalam permasalahan hidup, maka bangunlah mu’azzin melaungkan kalimah Allahu Akbar, mempersaksikan hanya Allah SWT Ilah yang ditauhidkan dan Muhammad adalah Rasulullah, mengajak menunaikan solah pada waktunya dan mengajak kepada kemenangan yang hakiki. Lalu terangkatlah muslim dari kesebokan dunia untuk berhadapan dan mengadap Allah bagi beberapa waktu yang khusus. Solah akan mendorongnya untuk menyeru ke arah kebaikan diri dan umat. Solah mengangkat dirinya dari alam kebendaan ke alam keruhanian dan daripada keegoan diri sendiri kepada mengutamakan orang lain.

Berpuasa sebulan yang diulangi pada setiap tahun juga menanamkan ruh rabbani ke dalam jiwa muslim. Ketika berpuasa, muslimin mengharamkan dirinya daripada terlalu menurut hawa nafsu samada ketika makan minum, hubungan jenis dan segala aktiviti kehidupan.

Setiap hari, bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari, merupakan tarbiyyah bagi kemahuan dan kehendak nafsu. Puasa melatih muslim untuk menuju taqwa demi mencapai kesempurnaan ibadah kepada Allah SWT.  Allah SWT berfirman dalam sebuah Hadith Qudsi, mafhumnya:

“Puasa itu kepunyaanKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya; hamba yang meninggalkan makanan keranaKu, hamba yang meninggalkan minuman keranaKu, hamba yang meninggalkan isteri keranaKu dan hamba yang meninggalkan kelazatan keranaKu.”

Berzakat, dengan selalu mengeluarkan harta dapat menghapuskan sifat bakhil, membersihkan harta dan membersihkan jiwa. Disamping itu memupuk rasa syukur kepada Allah SWT di atas segala ni’mat pemberianNya. Firman Allah SWT bermaksud:

“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan.”

Surah at-Taubah: 103

Zakat mengandungi makna pembersihan, penumbuhan dan keberkatan. Manakala perkataan Dharibah (cukai) pula mengandungi makna pemaksaan, kekerasan dan hutang. Dengan demikian tuntutan Islam menunaikan zakat adalah secara suka rela dan redha meredhai serta memohon kepada Allah SWT dengan do’a yang bermaksud:

“Ya Allah! janganlah jadikan (zakat ini) sebagai barang rampasan tetapi jadikan (zakat ini) sebagai hutang.”

Haji pula memisahkan seseorang Muslim dari tanah air, keluarga dan sanak saudara. Orang yang menunaikan haji berhijrah kepada Allah SWT, mengorbankan diri dan harta, menanggung beban perpisahan dan beberapa kesusahan kerana menunaikan kehendak Allah SWT hinggalah sampai ke Tanah Suci. Di Tanah Suci itu telah didirikan rumah ibadah pertama di muka bumi ini. Di situ terdapat sejarah penghijrahan Nabi Ibrahim AS dan pengorbanan Nabi Ismail AS. Juga kesan-kesan peninggalan Nabi Muhammad SAW dan da’wah baginda.

Di Tanah Suci orang Islam dari pelbagai bangsa dan keturunan meninggalkan sesuatu yang melambangkan gejala-gejala perbezaan seperti kedudukan, pangkat, keturunan dan negeri. Mereka memakai pakaian seakan-akan kain kafan orang mati. Pakaian itu lahir semasa haji dan lebih tinggi kedudukannya. Muslim menghalakan segala hati, lisan, perasaan dan harapan kepada Allah SWT:

“Aku perkenankan seruanMu wahai Tuhanku, aku perkenankan seruanMu, yang tiada sekutu bagiMu. Sesunguhnya segala pujian dan nikmat adalah kepunyaanMu dan juga segala pemerintahan, Dan tiada sekutu bagiMu.”  (lafaz talbiah ketika haji)

heart-allah1 Ibadah fardhu yang asasi merupakan batasan minima yang mencorakkan hubungan manusia dengan Allah SWT. Islam juga membuka pintu bagi seseorang melakukan amalan-amalan nawafil (sunat) demi mendekatkan diri kepada Allah SWT disamping melakukan perkara yang disukaiNya. Antaranya solah-solah sunat di samping solah-solah wajib lima waktu, puasa-puasa sunat di samping puasa wajib Ramadhan, sadaqah-sadaqah di samping zakat yang wajib, umrah di samping haji yang wajib. Berdasarkan amalan-amalan ini, terjadilah perlumbaan di kalangan mereka yang ingin berlumba-lumba membuat kebaikan dan dahulu mendahului di kalangan orang-orang yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Dalam sebuah hadith Qudsi Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Tiada yang lebih sempurna taqarrub hambaKu kepadaKu kecuali dengan menunaikan fardhu-fardhu yang Aku wajibkan ke atasnya, hambaKu yang sering mendekatkan diri kepadaKu dengan melakukan Nawafil sehingga Aku senangi dan Aku cintai. Apabila Aku telah menyenanginya, Aku melindungi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, matanya yang dengannya ia melihat, tangannya yang dengannya ia mempergunakannya. Jika ia meminta perlindungan, Aku beri perlindungan kepadanya dan jika ia meminta sesuatu Aku beri kepadanya.” - Hadith Riwayat Bukhari

BUKANLAH ibadah itu (samada fardhu atau sunat) hanya menghubungkan seseorang makhluk dengan Khaliknya semasa melakukan ibadah itu sahaja, selepas itu ia tidak lagi berhubung dengan Allah sehingga ia kekal atau kembali semula kepada kehidupan mengikut hawa nafsunya. Sama sekali tidak. Peranan ibadah adalah menanamkan Islam ke dalam hati orang-orang yang menunaikannya, menanamkan taqwa kepada Allah SWT yang Maha Tinggi kedudukanNya, memberikan bekalan ingatan kepadaNya tatkala lupa, menguatkan azam tatkala lemah dan menerangi jalan hidup tatkala lampu-lampu yang menerangi kelilingnya menjadi malap atau padam.

Islam tidak menyukai seseorang Muslim yang hanya menjadi manusia Rabbani di dalam masjid. Di dalam masjid ia ruku’, sujud, bermunajat dan berdo’a, tetapi apabila keluar dari masjid corak hidupmya berubah dari Insan Rabbani kepada Insan Haiwani atau Insan Syaitani.

uzlah Islam juga tidak menyukai seseorang Muslim yang hanya menjadi manusia Rabbani di bulan Ramadhan. Apabila hilang bulan Ramadhan maka hilanglah padanya sifat ibadah dan taat kepada Allah SWT. Seolah-olah ia menyembah bulan Ramadhan bukan Rabb bulan Ramadhan. Salaf as-Saleh di kalangan Umat Islam berkata, :

“Jadilah orang-orang Rabbani, tetapi janganlah menjadi orang-orang yang hanya beribadat di bulan Ramadhan sahaja.”

Islam juga tidak suka seseorang itu hanya menjadi Rabbani ketika ia berada di sisi Bait al Haram, Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masya’ir Muqaddasah. Apabila selesai sahaja ibadah haji maka selesailah sudah tuntutan umrah, haji dan ziarah. Apabila berkira bicara untuk pulang, maka ia lupa udara Rabbani serta makna Rabbani. Tenggelamlah ia di dalam perut kehidupan kebendaan sebagaimana tenggelamnya orang yang lalai.

Islam tidak suka Muslim seperti ini. Islam menghendaki seseorang Muslim sentiasa mempunyai hubungan dengan Allah di masjid, di jalan, di tempat kerja, di bulan Ramadhan dan di semua tempat serta keadaan. Rasulullah S.A.W. berpesan yang bermaksud:

“Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT di mana sahaja kamu berada.”

- Hadith Riwayat Tirmizi.

Firman Allah SWT bermaksud:

"Dan kepunyaan Allah timur dan barat, maka ke mana kamu menghadap di situlah wajah Allah.”

Surah al-Baqarah: ayat 115.

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:

“Sebaik-baik amalan yang disukai Allah ialah amalan yang sentiasa dilakukan walaupun sedikit.”

- Hadith Riwayat Bukhari.

*****************************************************

Prof Dr Yusof Al-Qaradhowi Rahimahullah

Tajuk buku : Cara Islam menanam tata Rabbani dalam jiwa dan kehidupan manusia

Jika anda berminat untuk meneruskan pembacaan , sila download buku ini

Link download : http://www.scribd.com/doc/33878447/Cara-Islam-Menanam-Tata-Rabbani-Dalam-Jiwa-Dan-Kehidupan-Manusia

No comments:

Post a Comment

sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)