Pekong jahiliyyah telah terbongkar. Keburukan dan kepincangannya telah diketahui oleh manusia menyebabkan manusia menjadi sangat benci dan jemu kepadanya. Kini, tibalah giliran perpindahan dunia dan kepimpinan jahiliyah kepada kepimpinan Islam
Dengan begitu simple Syed Qutb mengungkapkan apa yang dilihatnya. Beliau memperkatakan satu perkara besar dan agung. Suatu peralihan besar, tetapi sememangnya satu hakikat.
Oleh itu, ia diungkapkan dengan ungkapan yang simple. Begitulah sifat sesuatu hakikat bila-bilapun. Suatu yang menjadi suatu hakikat tidak perlu diperbungakan bahasanya, tak perlu penjelasan panjang lebar dan tidak perlu warna warni atau dekorasi lagi.
Itulah hakikat yang sedang dialami oleh Barat. Kekosongan jiwa, kerosakan seks, dasar perkauman dan kezaliman penjajah Barat bukan sahaja dikira sebagai kebankrapan, malah ianya adalah pekong besar bagi tamadun mereka.
Hakikat ini tergambar dalam kerosakkan masyarakat Komunis. Kalaupun ia hanyalah pelampauan dan penindasan ke atas kebebasan hak asasi, itupun sudah cukup menjadi keaiban yang besar.
Sebaliknya hakikat itu mempamerkan keadilan, toleransi dan ketenteraman Islam yang ditawarkan kepada setiap hati yang menderita dan merana lantaran tekanan kebendaan.
Renungan sepintas lalu itu jelas menunjukkan kepada kita bahawa umat Islam telah jemu dan bosan dengan apa yang ditiru dari fahaman dan sistem materialisme Barat dan apa yang mereka taqlid dari kebuasan dan cara brutal blok Komunisme. Hati dan pemikiran mereka sekarang sudah cukup bersedia untuk kembali semula kepada Islam buat kali kedua.
Tetapi, untuk tiba ke tempat aman tersebut, ia terpaksa melintasi padang pasir yang luas. Untuk melintasinya perlu pula ada pemandu jalan dan pemimpin yang berpengalaman dan mahir dengan selok-belok perjalanan di gurun yang luas, mampu mengesan perjalanan, berpandangan jauh dan tepat serta bijak menentukan arah berpandukan bintang-bintang di langit.
Sekiranya pemandu dan penunjuk jalan telah ada, bermakna mereka telah hampir sampai ke tujuan.
Pemandu itu seelok-eloknya pandai menyanyi untuk menghiburkan mereka yang berjalan di belakangnya, supaya mereka mudah mengikutnya dalam perjalanannya itu.
Itulah yang dapat digambarkan oleh kiasan kami yang tidak begitu tepat ini. Sesungguhnya siapa yang mengikuti pemandu yang disertai dengan hiburan kadang-kadang terlalai atau tersadung kakinya lalu tersungkur di tengah jalan tanpa disedari ataupun mengantuk lalu berhenti di tengah jalan.
Tetapi puisi Muhammad Iqbal lebih tepat, lebih sempurna dan lebih indah.
Beliau telah menemui pada “Pengenalan Seseorang Terhadap Dirinya” tarikan yang kuat memaksa orang lain mengikutnya. Apabila seorang muslim yang merdeka dan bijak menguatkan keperibadiannya, dan ia pula seorang da’i maka dia akan dapat menarik sesiapa yang dikehendakinya untuk beredar di sekitar orbitnya.
Bumi telah meningkatkan kekuatan gravitinya lalu,
bulan pun beredar di sekitarnya tanpa henti
Oleh kerana bumi mempunyai daya graviti, ia dapat memaksa bulan agar terikat dan beredar di sekitarnya sehingga bulan itu tidak pernah terfikir untuk lari dari bumi.
Demikian jugalah manusia, mereka akan pasti terkumpul dikeliling dakwah apabila da’i meningkatkan kekuatannya. Manusia itu akan berlegar di sekeliling dakwah dan merasai ikatan mereka dengan dakwah suatu kemestian.
Engkaulah wahai da’I yang menentukan keadaan ini.
Semua parti yang sesat itu tidak mungkin berkembang andainya kamu memantapkan kekuatan kamu. Ketika itu, tiada jalan lain bagi manusia kecuali menjadi tawanan kamu.
Kekuatan hanya akan mantap bila berkumpulan.
Hasil perkumpulan ialah satu barisan Islam ‘saf’.
Siapa yang menyertai safn, dia pasti menang kecuali Allah menghendaki sebaliknya.
Firman Allah S.W.T bermaksud :
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang pada jalannya, dengan berbaris-baris, seolah-olah mereka itu tembok bangunan yang sangat rapat (menjadi satu).” (Al-Saff 61:4)
Tukang-tukang sihir yang menentang Musa as sebelum mereka beriman memanggil-manggil sesama mereka: (sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Quran :
“perkuatkanlah perancanganmu semua, kemudian datanglah kamu berbaris-baris.”
(Toha 20:64)
Demikianlah perkumpulan yang tersusun rapi dibentuk oleh pihak jahiliah di setiap zaman. Ia adalah pelajaran besar kepada sesiapa yang berdukacita melihat nasib umat Islam di seluruh dunia ini dan hanya mengeluh-ngeluh.
Sesungguhnya jahiliah yang tersusun tidak akan dapat dikalahkan kecuali oleh Islam yang tersusun juga.
Da’i Islam pada hari ini tidak mungkin akan menang melainkan bila mereka menyatukan individu yang terbaik di kalangan mereka, kemudian datang merempuh dalam satu barisan yang tersusun rapi dan bersatu padu.
******************************
Muhammad Ahmad al-Rasyid
Rujuk kitab beliau : Al-Muntholaq
Link download :http://www.scribd.com/doc/33674487/al-muntalaq
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)