Kesedaran seorang muslim terhadap wajibnya berdakwah, kefahamannya terhadap masalah dakwah dan kejelasan pandangannya terhadap kedudukan masalah ini dalam ajaran Islam, semuanya itu menentukan bermulanya titik tolaknya di dalam kehidupan individu muslim. Ia juga merupakan langkah mula di dalam perencanaan reformasi jama’i.
Oleh itu, penjelasan terhadap wajibnya dakwah ini perlu dilakukan dengan beriya-iya, bersungguh-sungguh, jelas, mengambil panduan pelaksanan yang dilakukan oleh salafussoleh dan contoh-contoh mereka yang menghidupkan kembali sunnah itu di zaman kita ini.
Sebagaimana kita telah lihat Abdullah bin Mas’ud r.a. meletakkan dirinya di Kufah untuk menghapuskan uzlah, maka begitu juga kita dapat lihat al-Hassan al-Basri pemimpin tabi’in rahimahullah meletakkan dirinya di kota Basrah untuk membangkitkan semangat orang ramai terhadap dakwah dan menjelaskan erti islah kepada mereka. Beliau membacakan firman Allah S.W.T. kepada penduduk Basrah bermaksud :
“Siapakah yang terlebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah (agamaNya) dan beramal soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang--orang muslimin.” (Fussilat: 33)
Kemudian dia berkata:
“Dia ialah mukmin yang menyahut seruan Allah, menyeru manusia kepada apa yang disahuti dari seruan itu dan mengerjakan amal soleh di dalam menyahut seruan itu. Inilah kekasih Allah dan wali Allah.”
Bukan seperti orang lain yang mengasingkan diri, membisu dan menyembunyikan dirinya.
Semasa Ibnu al-Qayyim memetik kata-kata Hassan Basri ini , beliau menambah: “Maqam dakwah ke jalan Allah itu adalah semulia-mulia maqam seorang hamba.”
Begitu pantas Ibnu Qayyim memahami kata-kata Hassan Basri dan begitu juga begitu sama kata-kata beliau dengan kata-kata Abdul Qadir al-Kailani yang telah kita sebutkan sebelum ini. Ini semua membuktikan wujudnya kesatuan pemahaman hasil dari kesatuan metodologi yang mereka lalui.
Oleh kerana method mereka adalah menjadikan Al-Quran dan hadis sahih sebagai sumber pemahaman dan kesediaan jiwa mereka untuk menerima seluruh pengertian Al-Quran dan hadis yang berpandukan akal yang waras dan pengertian zahir dari segi bahasa, maka dari situlah berpadunya kata-kata dan pemahaman mereka yang kita nukilkan tadi. Bermula dari para sahabat Nabi dan kemudiannya diikuti oleh para tabi’in, disusuli lagi oleh Ibnu al-Jauzi,
Syeikh Abdul Qadir al-Kailani, Ibnu Taimiyah dan Ibnu al-Qayyim sehinggalah berakhir kepada sebahagian dari tokoh-tokoh di zaman ini seperti al-Rafi’e, Iqbal, Abdul Wahab Azam dan pemimpin gerakan dakwah seperti Imam Hassan Al-Banna, al-Maududi, Abdul Qadir Audah dan Syed Qutb.
Golongan yang mempertahankan kebenaran ini akan terus bergerak, mengambil erti zahir nas-nas hinggalah ke hari kiamat. Ia berbeza dengan kaedah yang digunakan oleh golongan-golongan lain yang terpengaruh dengan kecelaruan ilmu falsafah, tarikan bid’ah, keinginan nafsu, kebaculan dan mempunyai kepentingan.
Mereka hanya mencari dan mengambil sesuatu yang sesuai dengan akal dan perasaan mereka. Mereka menolak segala perkara yang mendedahkan pekong mereka atau sedaya upaya cuba untuk memalingkannya dari maksud sebenar yang zahir.
*********************
Muhammad Ahmad al-Rasyid
Rujuk kitab beliau : Al-Muntholaq
Link download :http://www.scribd.com/doc/33674487/al-muntalaq
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)