Tujuan mengkaji riwayat hidup RasuluLlah dan penganalisaannya bukanlah semata-mata untuk melihat kejadian-kejadian dan episod-episod yang bersejarah ataupun memaparkan cerita-cerita yang indah sahaja. Oleh yang demikian tidak seharusnya kita rnenganggap kajian sejarah hidup RasuluLlah ini sama dengan membaca dan menala’ah sejarah para pemerintah (khalifah) di zaman purbakala.
Tujuan pokok dan kajian yang dimaksudkan ialah supaya setiap Muslim dapat memahami, menganggap dan menggambarkan bahawa hakikat zahir dan batin (defakto) Islam semuanya teradun didalam penghidupan RasuluLlah itu sendiri. Gambaran dan anggapan ini akan timbul dan wujud setelah seseorang Muslim itu dapat memahami dengan benar segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam satu persatu terlebih dahulu.
Tegasnya kajian riwayat hidup RasuluLlah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam ini adalah suatu usaha mengumpul hakikat dan intisari dasar-dasar Islam kemudian memadan dan menyesuaikan dengan contoh Islam iaitu Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alabi Wasallam.
Sekiranya perlu kita bahagikan tujuan-tujuan ini maka bolehlah dibahagikan seperti berikut:
1. Memahami peribadi Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam menerusi kehidupan dan suasana hidup baginda sendiri.
Ini adalah untuk menentukan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam itu bukan sebagai manusia pintar tetapi Ianya adalah pesuruh Allah Subhanahu Wa ta’ala yang menerima Wahyu dan taufiq dariNya.
2.Supaya manusia seluruhnya dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul dalam segenap lapangan hidup yang harmoni, dari itu juga dapat dijadikan sebagai dasar dasar hidupnya.
Andaikata manusia ingin mencari suatu contoh terbaik bersifat universal, mereka akan dapati semuanya di dalam kehidupan Muhammad SallaLlahu ‘alai hi Wasallam, maka tidák hairanlah mengapa Allah menjadikan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam itu sebagai contoh kepada umat manusia. Untuk demikian maka Allah telahpun menegaskan dalam Kitab SuciNya bermaksud;
Sesungguhnya pada diri RasuluLlah itu menjadi contoh yang paling baik untuk menjadi ikutan kamu
(Al-Ahzab 33 : 21)
3. Semoga kupasan tentang kehidupan Muhammad SallaL lahu ‘alaihi Wasallam boleh menolong manusia memahami dan mengecapi isi kandungan Al-Qur’an lantaran banyaknya ayat-ayat Al-Qur’an yang dihurai dan ditafsirkan oleh kejadian dan peristiwa-peristiwa sejarah hidup Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam.
4. Agar setiap Muslim dapat mengumpulkan seberapa banyak yang boleh perbendaharaan kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar samada pengetahuan bersangkutan dengan ‘aqidah kepercayaan, hukum hakam’ dalam Islam atau tatasusilanya.
Lebih tegas lagi kehidupan RasuluLlah SallaLlahu‘alaihi Wasallam adalah satu gambaran dengan dimensinya yang jelas bagi prinsip-prinsip dan hukum-hukum Islam.
5. Membolehkan para pendidik penda’wah Islam mencontohi dan mengajar, mengikut sistem pendidikan dan pengajaran yang sihat kerana Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam sendiri adalah sebagai pendidik, penasihat, guru dan pertunjuk yang utama, tidak pernah membuang masa begitu sahaja malah sentiasa mencari dan menyiasat jalan jalan dan sistem—sistem pengajaran yang terbaik semasa baginda (SallaLlahu ‘alaihi Wasallam) berda’wah.
Antara faktor yang menjadikan sejarah Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam ini mampu dan berupaya untuk sampai ke matlamat-matlamat tadi ialah kerana sejarahnya lengkap meliputi segenap bidang kehidupan sama ada segi kemanusiaan mahupun kemasyarakatan yang terdapat di kalangan manusia lain; samada ianya sebagai seorang individu yang bebas dengan faham pembawaannya atau sebagai seorang anggota masyarakat yang cergas dan terpengaruh oleh unsure-unsur yang terdapat di dalam masyarakatnya.
Sejarah Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam menghidangkan kepada kita sejambak contoh utama bagi seorang pemuda yang waras; peribadinya yang dipercayai orang di ka langan keluarga dan sahabat; seorang manusia yang menyeru umat manusia ke jalan Allah secara lemah—lembut dan bersopan-santun; seorang pejuang yang mengorbankan sepenuh usaha dan tenaga demi menyampaikan seruan Allah; seorang ketua negara yang mendayung bahtera pemerintahan dengan cekap dan pintar;
seorang suami yang halus pergaulannya; seorang bapa yang teliti dan bijak menyempurnakan kewajipan terhadap anak dan isteri; seorang ketua turus agung peperangan yang cergas, penuh dengan tektik strategi persediaannya dan seorang Muslim yang waras lagi bijak membahagikan dedikasinya kepada Allah, keluarga dan sahabat handai (RadiyaLlahu‘anhum ajma’in).
Tidak syak lagi bahawa mempelajari sejarah hidup Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam ialah memahami semua sudut kemanusiaan.
***************************************************
Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti
Feqhus Seerah ( Kefahaman Sirah )
Diterjemah oleh :Ust. Mohd. Darus Sanawi
Link download :
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)