Saturday, July 3, 2010

Mukmin Bisu adalah Ketinggalan!

Kongsi

Syeikh Abdul Qadir Kailani menganggap golongan bukan da’i berada di martabat lain. Golongan itu merupakan orang mukmin yang banting-copy2 mempunyai hati tetapi tiada lidah untuk menyampaikan dakwah. Mereka adalah di antara makhluk Allah yang terlindung daripada makhluk dan terdinding di sebalik tirai. Kekurangan mereka menutup mata dan hati mereka dari menerima hidayah.

Oleh kerana mukmin tersebut tidak mempunyai lidah, turunlah martabatnya dan ketinggalanlah dia. Dia tidak mendapat gelaran yang hebat dan agung. Mukmin dan golongan yang pertama (yang berdakwah) dikatakan sebagai ‘jahbaz’ iaitu para cendekiawan, ‘da’i’ dan ‘hujah’ ibarat sinaran yang terang-benderang. Mukmin yang kedua (yang tidak berdakwah) dikatakan mukmin yang ‘mastur’ atau yang terselindung. Perbezaan bunyi dan sebutan di antara dua kategori panggilan tersebut amatlah jauh sekali umpama langit dan bumi.

Jarak dan jurang antara keduanya sangat jauh dan luas. Antara martabat dakwah dengan martabat iman yang tertutup dan menjauhkan diri. Jurang luas itu tidak lain melainkan disebabkan oleh faktor lidah yang menyatakan kebenaran. Tiada sebab lain. Sesiapa yang mempunyai lidah berani menyatakan kebenaran maka dia akan berada di hadapan kumpulan yang berjalan menuju Allah. Memang setiap orang beriman berjalan menuju kepada keredhaan Allah. Cuma soalnya, samakah siapa yang berada di hadapan dengan yang ketinggalan di belakang?

Insya Allah, mereka semuanya akan memasuki syurga. Tetapi samakah golongan yang menjadi barisan pertama memasukinya dengan golongan yang dapat memasukinya hanya setelah bertahun-tahun menunggu di padang mahsyar?

Kerana itulah Syeikh Abdul Qadir Kailani Rahimahullah cuba memahamkan bahawa perasaan seorang da’i terhadap kemestian untuk mengubah perkara yang batil dan memenangkan hak merupakan satu kurniaan Allah bagi sesiapa yang ada kebaikan di dalam hatinya. Pengertian ini dibentuk dengan kata-kata yang lebih mudah, tetapi berharga. Iaitu:

“Apabila betulnya hati seorang hamba itu kepada Allah S.W.T. dan berjaya menghampirkan diri kepadaNya, Dia akan mengurniakan kepada hamba tersebut kerajaan dan kekuasaan di seluruh alam. Dia menyerahkan kepadanya kerja mengembangkan dakwah kepada makhlukNya, dikurniakan kepadanya kesabaran terhadap gangguan manusia, serta diserahkan kepadanya urusan mengubah kebatilan dan menegakkan kebenaran.”

Demikianlah tingginya bahasa bila ia terbit dari pelita kenabian, sama ada keluarga dari aspek nasab atau ilmu. Syeikh Abdul Qadir berada di kemuncak kemuliaan kerana nasabnya dari keturunan Ali r.a. Tambahan pula, beliau menguasai ilmu hadis dan memahami kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah:

“Sesungguhnya peluang untuk mengembangkan dakwah itu adalah taufiq dari Allah. Allahlah yang memudahkannya bagi siapa yang didapati ada kebaikan dalam hatinya. Tugas itu adalah satu penghormatan dari Allah kepada seorang hamba, bukannya bebanan.”

Renunglah dengan teliti terhadap kata-kata al-Kailani diatas yang bermaksud:

“… serta diserahkan kepadanya urusan mengubah kebatilan dan menegakkan kebenaran...”

Kebatilan wajib diubah oleh da’i. Ubah ertinya hendaklah diperangi, dihapuskan dan dikuburkan. Jika sekiranya kamu berharap agar kebatilan itu sendiri meninggalkan tempatnya dan menyerahkannya kepada kamu atau jika kamu berharap kamu akan dapat berbicara dengannya mengunakan bahasa diplomasi..... Maka sesekali ianya tidak akan berlaku. Cara ini tidak akan mendatangkan sebarang faedah. Hanya perkataan ‘mengubah’ sahaja yang disebutkan dalam undang-undang dakwah.

*********************

Muhammad Ahmad al-Rasyid

Rujuk kitab beliau : Al-Muntholaq

Link download :http://www.scribd.com/doc/33674487/al-muntalaq

No comments:

Post a Comment

sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)