Ramai yang bertanya kepada saya, bagaimana nak jaga keikhlasan hati ketika beramal atau melakukan kebaikan.
Ada satu perkara yang perlu kita fahami iaitu IKHLAS ini adalah buah atau natijah dari keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT. Ikhlas tidak dibina diatas dasar yang tidak jelas atau diawang-awangan. Apabila kita benar-benar merasai hakikat kebesaran dan keagungan Allah disamping menyakini segala janji-janji dan ancaman-ancamanNya serta meyakini hari pertemuan denganNya maka ketika itu pohon keimanan yang ada pada jiwa kita mula mengeluarkan buahnya untuk kita petik dan menikmati kemanisannya.
Ya, buah Ikhlas itu manis dan harum. Namun tak semua pohon Iman itu mengeluarkan buah atau hasil. Tidak semua pula yang tahu memetik buahnya untuk menikmati anugerah Allah yang agung ini. Mungkin kita perlu tanya: Adakah benihnya baik, ada tanahnya telah kita gemburkan dan bajai dengan baik, adakah air yang kita sirami cukup dan sebagainya.
Iman tidak akan tumbuh secara mukjizat. Kita perlu tanamkan benih yang asli dan baik; kita perlu bangunkan iman itu diatas asas keimanan dan kesedaran yang betul, bukan kerana keturunan atau warisan tetapi kita perlu melalui proses. Jangan jadikan diri kita seperti 'umang-umang'. Mungkin ada yang tak kenal umang-umang. Lihatlah ditepi pantai, kadang-kadang kita akan temui siput yang berjalan laju. Bukankah berjalan laju itu bukan sifatnya. Kalau kita angkat dan tengok betul-betul rupanya ada ketam yang menumpang kulit siput yang kosong itu. Mungkinkah iman kita begitu? Kita beriman kerana ibu ayah kita beriman atau orang disekeliling kita beriman. Adakah keimanan kita itu asli dan benar. Apakah proses yang telah kita lalui hingga kita yakin bahawa iman kita itu betul.
Dr 'Ali Hasyimi dalam bukunya Syakhsiyah Islamiyyah menyebutkan tentang Iman yang celik. Katanya iman yang celik atau iman yang hidup adalah iman yang tumbuh diatas dasar makrifatullah atau mengenali Allah dengan sebenar-benarnya kefahaman tentang nama-namaNya, sifat-sifatNya dan sebagainya yang berkaitan dengan Allah. Kefahaman ini ditingkatkan hingga melahirkan as syu'ur ma'iyatullah (Rasa sentiasa bersama Allah atau mampu menghadirkan Allah dalam diri kita) hingga kita tidak merasakan sesuatu apapun yang tidak diketahui oleh Allah SWT. Kita merasakan dengan seluruh jiwa kita akan pemerhatian Allah, Maha mendengarnya Allah, Maha mengetahuinya Allah dan sebagainya. Syu'ur atu perasaan ini terus ditingkatkan hingga jiwa kita sentiasa beinteraksi (mukholatah) dengan Allah SWT. Setiap keluhan kita, setiap aduan dan permohonan kita pertama-tama sekali kita hadapkan kepada Allah, tidak pada selainNya.
Inilah tiga tahap penanaman iman hingga Iman itu tumbuh dan berbuah; Makrifah, Syu'ur dan Mukholatah. Ketiga-tiga unsur ini akan kita tingkatkan melalui ketekunan kita mentaati Allah SWT. Bagaimana seorang yang tidak melakukan apa-apa mampu berdoa dengan penuh yakin? Adakah sama doa orang yang begitu berbanding seorang yang bekerja bertungkus lumus hingga pecah-pecah kulit tapak tangannya dan diapun menjaga batas-batas yang ditentukan Allah lalu berdoa menadah tangan mengharapkan Rahmat dan PertolonganNya? Semua ini akan menjadikan hati kita lebih peka dan merasai hubungan dengan Allah.
Bagaimana pula kita nak ikhlas sekiranya kita tidak merasakan pemerhatian Allah SWT bahkan segala bisikan hati kita semuanya dalam ilmu Allah SWT. Jadi kita tidak akan mampu untuk ikhlas hanya dengan keinginan untuk ikhlas atau dengan memaksa hati kita untuk ikhlas. Tahukah kita apa yang paling istimewa dari keikhlasan yang benar? Ya, setiapkali kita berdoa Allah mendengar dan memnuhi permintaan kita, setiap kesempitan hidup Allah lapangkan jiwa kita, setiap kesukaran dan kepayahan Allah akan kuatkan jiwa kita untuk mengharungi, setiap kesedihan Allah akan bahagiakan kita dengan janji-janjiNya, setiap kelalaian kita akan ditegur Allah dengan penh kebijaksanaan kerana kita adalah hambaNya yang dikasihiNya. Boleh anda senaraikan perkara yang lebih anda hajati dari semua ini???
*************************************
Cikgu Azmi Bahari
Sumber : http://my.opera.com/azmibhr/blog/bagaimana-menjaga-keikhlasan
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)