Fikrah Islam atau fikrah kita ialah ajaran Allah, yang lengkap yang sempurna, syumul dan merangkumi seluruh kehidupan mukmin.
Inilah Islam, Addeen yang ditanzilkan atau diturunkan oleh Allah dan dibawa oleh Rasulullah S.A.W dan dilaksanakan di zaman awal. Allah Taa’la telah menjelaskan dan menegaskan tentang kesempurnaan Islam di dalam al-Quran 5:3.
Oleh kerana Dienul Islam telah sempurna maka kita tidak boleh menambah atau mengurangkannya, begitu juga kita tidak boleh mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain.
Hendaklah kita sedar bahawa kita adalah pengikut dan penganut Dienul Islam dan kita bukannya pencipta Dien. Oleh yang demikian kitalah yang perlu menyesuaikan diri dengan Islam dan bukannya Islam itu harus bersesuaian dengan selera kita, kehendak kita dan kemahuan masyarakat seperti firman Allah:
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini ,nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.Mereka tidak lain hanya mengikuti prasangka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta terhadap Allah.” (Al-an’am 6:116)
Nilai kita ialah nilai Islam, iaitu nilai yang telah ditetapkan Allah dan dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W oleh yang demikian kita sedikitpun tidak boleh tidak redha pada syariat Islam.
Tasawwur Islami hendaklah difahami dengan betul. Kita hendaklah bersifat jiddiah di dalam memahami Islam dan tidak mencampur adukan dengan isme-isme lain.
Untuk itu kita hendaklah mengenal Islam dan mengenali jahiliyyah, mengenal Islam untuk dihayati dan mengenali jahiliyyah untuk dijauhi. Kita hendaklah mengenal setiap rupa, bentuk dan tektik jahiliyyah untuk dijauhi. Dengan itu barulah kita dapat membezakan yang mana Islam dan yang mana bukan Islam. Kata Sayyidina Omar ra: Ikatan Islam akan terungkai apabila lahir dalam Islam orang-orang yang tidak mengenal jahiliyyah.
Kita juga mesti mengenal realiti agar kita tidak salah faham, seperti mengatakan loteri kebajikan itu halal. Di dalam memahami Islam dan realitinya kita sememangnya kurang ilmu, oleh itu kita perlu berjama’ah. Kita sememangnya tidak mempunyai ilmu yang serupa. Tetapi dengan harakah kita mampu mengatasinya.
Satu lagi sikap yang mesti ada ialah kita jangan mudah menerima sesuatu yang bukan Islam, jangan mudah terpengaruh dengan istilah dan teknik atau slogan yang menarik seperti. Demi pembangunan, demi kemajuan dan Malam ‘Amal. Dalam hal ini kita hendaklah mengenegahkan fikrah Islam dengan jelas dan pendirian Islam yang tegah kepada masyarakat.
Kita juga mesti mempunyai ‘kesedaran Islam’. Ianya bukan sama dengan ilmu Islam. Dalam usaha memperolehi ‘kesedaran Islam’ perlu kepada kesabaran, tekun dan gigih dalam usaha. Seorang yang mempunyai ‘kesedaran Islam’ akan mudah terasa dan sensitif terhadap apa jua yang bercanggah dengan Islam.
Untuk itu kita perlu kepada didikan atau ‘tarbiyyah’. ’Tarbiyyah’ yang boleh melahirkan syakhsiyyah atau keperibadian muslim sejati.
Seorang mujahid Islam, Al-Ustaz Fathi Yakan menyatakan pembentukan sahsiyyah itu hanyalah dapat dibentuk di dalam suasana yang tertentu, yang jauh dari tarikan jahiliyyah. Umpamanya dengan mengadakan halaqah, usrah, ijtima’ dan sebagainya.
Keaslian Islam hanyalah boleh dilihat dari sumber asalnya iaitu Al-Quran dan Al-Hadith dan juga dari ulama’ dan mujahid Islam yang mu’tabar.
Allah telah memberi kata putus dan memberi pilihan samada beriman atau tidak, sebagaimana firmannya :
Ertinya : “Dan katakanlah: kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang inginkan (kafir) biarlah ia kafir. Sesungguhnya kami telah menyediakan bagi orng-orang zalim itu neraka ,yang gejoloknya mengepung mereka”.
Iltizam kita pada Islam hendaklah pada setiap masa dan tidak umpamanya pada majlis rasmi sahaja. Untuk ini juga kita perlu ‘kesedaran Islam yang jelas’ dan bukannya ilmu semata-mata. Ilmu sahaja tanpa kesedaran tidak dapat membawa kepada Islam. Dalam konteks masyarakat ialah yang menghayati Islam sepenuhnya.
Ilmu-ilmu Islam hendaklah diproses dan diolah melalui acuan iman/tarbiyyah iman sehingga lahir kesedaran dan ingin melaksanakan Islam, dengan patuh. Kesedaran fikiran sahaja tidak mencukupi tetapi tetapi haruslah iltizam dengan Islam. Ertinya di mana sahaja kita berada, kita membawa Islam. Ini juga bererti peribadi kita menterjemahkan Islam .... Islam menjadi darah daging.
Namun begitu kita tidak dapat nafikan dalam proses tersebut masih terdapat lagi saki baki jahiliyyah. Pernah Abu Zarr memanggil Bilal dengan panggilan ‘Ibnu Assauda’. Bilal memberitahu Rasulullah S.A.W dan Nabi kemudiannya berkata kepada Abu Dzar bahawa ia masih ada saki baki jahiliyyah. Abu Zarr meminta dibalas dengan memijak pipinya.
“Proses tarbiyyah imaniyyah ,adalah begitu dan amat penting bagi membentuk insan mu’min”
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)