Da’i Islam enggan tunduk kepada penipuan. Mereka pantang melihat perancangan musuh berlaku di depan mata. Lantas mereka bangkit dan melaungkan suaranya kepada manusia. Tetapi, sebahagian besar manusia terus lena tidur.
Di depan matanya- pendokong kebatilan dan orang yang ragu-ragu bermati-matian mahu melaksanakan rancangan mereka. Dilihat keliling, hanya segelintir sahaja orang Islam dipelihara oleh Allah yang sedar… Selebihnya hanyut di dalam kelalaian.
Da’I kembali mengubati kesedihannya lantas berbicara kepada dirinya sendiri:
Telah bekulah daya juang di hati manusia itu
Mereka leka mencari kekayaan dan kehidupan yang rutin
kealpaan orang-orang yang baik dan semangat orang-orang yang keliru
hampir-hampir menggoncangkan daku dari cita-cita dan perjuanganku.
Da’i itu pun mulanya menyalahkan dirinya sendiri.. takut-takut dia belum betul-betul menyampaikan dakwahnya. Tetapi, segera dia merasai bahawa dia telah melakukan apa yang termampu. Dia cuba memujuk dirinya demi menghiburkan hati dan membelai kesabarannya sambil bermadah:
Mereka melihat daku di musim gugur, Lantaran hangatnya laguku,
Bergembira bersama rakanku si burung camar
Tetapi aku dilahirkan di bumi
yang dipenuhi jiwa-jiwa hamba yang seronok diperhambakan...
Sesungguhnya neraca kesusasteraan telah bertukar dan generasi hari ini telah kehilangan satu usaha agung yang pernah memuliakan mereka suatu ketika dahulu. Demikianlah yang terjadi seperti mana yang dikatakan oleh al-Rafi’ie:
“Kamu mencipta kata-kata hebat untuk berseronok sahaja dengannya.”
Walau bagaimana dahsyatnya kerosakan, seorang da’i tidak boleh meninggalkan tugasnya untuk menyelamatkan manusia ( dari cara hidup jahiliah kepada cara hidup Islam, mengeluarkan mereka dari kesesatan kepada hidayah, dari kebatilan kepada kebenaran dan dari kezaliman kepada keadilan ) . Segala kesangsian dan putus asa dalam proses islah ini segera musnah bila sedar kedudukannya berada di tengah-tengah rombongan orang-orang yang beriman yang sedang berjalan. Bermula dari para salaf, maka da’i mengambil amanah ini dari mereka.
Demikianlah janji Allah. Angkatan kebenaran ini tidak akan pupus, angkatan demi angkatan, generasi demi generasi sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“Sentiasa akan ada satu golongan dari umatku yang menegakkan kebenaran. Mereka tidak akan tergugat oleh sesiapa pun yang menentang mereka sehingga datanglah hari kiamat dan mereka tetap di dalam keadaan mereka.”
-Sahih Muslim
Bahkan, kewujudan angkatan Islam di bumi ini, yang sempurna mentaati Allah, tidak menyeleweng dari jalan dan hidayah Allah, tidak lupa pada matlamat dan tidak bermalas-malas dari tugas dakwah dan jihad itu adalah sebahagian dari sunnatullah di alam ini. Kewujudannya menyempurnakan keseimbangan makhluknya. Tanpa kewujudan angkatan sedemikian, timbangan itu akan berat sebelah, tidak seimbang dan akan menggoncangkan seluruh alam ini.
Justeru, wujudnya dakwah rabbani adalah satu kepastian yang telah ditakdirkan Allah. Ia akan tetap wujud , tidak mungkin hancur sekali pun diserang dari setiap penjuru oleh taghut dan tali barutnya.
Sekiranya matahari tiada lagi atau graviti bumi telah lenyap dari alam ini, dapatkah kamu bayangkan betapa hebatnya kegoncangan dan kerosakan yang akan berlaku?
Demikianlah juga kewujudan dakwah kebenaran. Ia umpama matahari, bulan, bintang-bintang, graviti, air dan udara yang membentuk sebahagian dari hukum alam yang telah ditetapkan oleh Allah. Jika tidak, tentulah akan berlaku kiamat. Namun, kenyataan bahawa kewujudan dakwah adalah sebahagian dari sunnatullah hanya dapat dilihat oleh pemilik hati yang salim, sama sebagaimana graviti hanya dapat dilihat oleh orang yang berpelajaran.
Inilah inspirasi keteguhan azam seorang muslim untuk terus bersama dengan jalan dakwah. Mereka terus menghadapi kesusahan hanya semata untuk memastikan ketetapan Allah ini terus berlaku dan terserlah. Moga dengannya dia termasuk di kalangan orang yang berjaya. Tetapi, sesiapa yang berpaling dari jalan yang mulia ini, sunnatullah akan terus berjalan tanpa henti, tidak menghiraukannya. Allah akan memberi hidayah kepada kaum yang lain pula untuk menyerlahkan kekuasaan dan merealisasikan sunnahNya ini.
Ustaz Hassan al-Hudhaibi telah merumuskan maksud di atas dengan ucapannya:
“… Semua peristiwa mesti tunduk kepada kitab Allah dan sunnah rasulNya meskipun manusia melihat dunia tidak tunduk kepada peraturan tersebut. Agama inilah sebenarnya aturan yang ditetapkan oleh Allah kepada manusia sebagaimana Dia menetapkan hukum alam kepada matahari, bulan, haiwan dan tumbuh-tumbuhan dan kepada segala apa yang ada di langit, bumi dan apa jua yang ada padanya.”
Beliau berkata:
“Jika matahari mempunyai paksi dan graviti, bumi mempunyai paksi dan beredar di atas orbitnya, maka demikian jugalah manusia mempunyai agama ini. Apabila agama ini hilang dari manusia, akan pincanglah keseimbangan.
Sesiapa yang berfikir dengan mendalam pasti dapat melihat lebih jauh dari itu. Dilihatnya alam ini mempunyai rekabentuk dan binaan yang indah dan agama ini adalah sebahagian darinya. Oleh itu, agama ini perlu dihayati oleh sekelompok manusia dalam mana-mana waktu.”
Abdul Wahab Azam juga memahami sunnah ini. Sunnah ini menjadikan orang-orang yang yakin dengannya tidak tergugat oleh serangan kebatilan, gugurnya para syuhada atau ramainya pejuang yang berundur setelah tiba di separuh jalan. Beliau pun berkata:
Sunnatullah terhadap semua makhluk terus berjalan
Sesaat pun tidak berhenti dan berubah
Mereka yang merdeka terus berjihad pada jalan Allah
kerana jihad pada kebenaran tidak pernah hilang walau sehari
Pemahaman ini menjelaskan kehebatan pengetahuan dan kesedaran Abdul Wahab Azam.
Sesungguhnya Islam kita ini adalah satu berita agung yang menyempurnakan perjalanan alam ini. Alam akan rosak binasa tanpanya. Oleh itu, ia mesti direalisasikan di alam kenyataan dan jahiliyah mesti dihapuskan bagi memastikan alam ini terus seimbang. Firman Allah SWT bermaksud:
“Katakanlah, itulah berita besar yang kamu berpaling daripadanya.”
(Saad 38:67)
Pada hakikatnya, peristiwa ini jauh lebih besar jika dibandingkan dengan pandangan zahir yang tampak dengan mata kasar. Ia merupakan salah satu urusan Allah dalam seluruh kewujudan ini. Sesungguhnya ia adalah satu ketetapan dan ketentuan Allah di dalam sistem kewujudan yang tidak terpisah jauh dari urusan langit dan bumi, urusan masa lalu dan masa hadapan.
Sesungguhnya berita besar ini datang melampau bukan sahaja kaum Quraisy di Mekah, bangsa Arab di Semenanjung Arab dan generasi yang sezaman dengan dakwah ini di muka bumi, bahkan ia melampau tempat dan masa yang terbatas ini. Ia memberi kesan terhadap masa depan seluruh manusia, sepanjang zaman, setiap benua dan mengolah masa depan kemanusiaan semenjak turun ke bumi hingga ke berlakunya akhirat..
Sesungguhnya Islam telah turun ke bumi pada masa yang ditetapkan untuk memainkan peranannya ini pada waktu yang telah ditentukan Allah.
Kedatangan berita besar ini telah mengubah garis perjalanan manusia kepada perjalanan yang telah digariskan oleh takdir Allah. Sama ada manusia itu beriman atau menolak, sama ada mereka berjihad bersamanya atau menentangnya, pada generasi tersebut atau generasi selepasnya. Belum pernah terjadi di dalam sejarah manusia satu peristiwa atau berita yang meninggalkan kesan dan pengaruh sebagaimana pengaruh dan kesan yang ditinggalkan oleh berita besar (Islam) ini.
Berita besar ini, iaitu Islam, telah membentuk banyak nilai dan tasawwur. Islam telah banyak menanamkan kaedah dan sistem di seluruh muka bumi ini dan di kalangan semua manusia yang tidak pernah terlintas dalam fikiran bangsa Arab sebelum kedatangannya. Ketika itu, mereka tidak terfikir bahawa Islam ini datang untuk mengubah senario dunia, mengalihkan perjalanan sejarah dan merealisasikan ketentuan Allah di dalam. Ia juga mempengaruhi jiwa, hati dan realiti manusia. Ia menghubungkan seluruh manusia dengan garis perjalanan alam dan dengan kebenaran yang tersirat di sebalik kejadian langit dan bumi dan segala apa yang ada di antara keduanya. Ia akan terus begitu sehingga hari kiamat, menyempurnakan peranannya di dalam memimpin manusia dan kehidupan.
Umat Islam pada hari ini berdepan dengan berita besar ini sebagaimana yang dihadapi oleh bangsa Arab di awal kedatangannya. Mereka tidak memahami tabiat dan hubungannya dengan tabiat alam ini. Mereka tidak memikirkan kebenaran yang tersembunyi padanya sehingga mereka tidak memahami ianya adalah salah satu aspek kebenaran yang tersembunyi di binaan alam ini. Mereka tidak dapat mengesani pengaruhnya terhadap sejarah manusia dan garisan perjalanannya yang panjang. Mereka sepatutnya bersandarkan kepada pandangan yang berasingan dan bukannya bersandarkan pemikiran musuh-musuh Islam yang sentiasa memperkecil-kecilkan peranan Islam dalam pembentukan hidup manusia dan penentuan perjalanan sejarah. Oleh kerana itulah orang Islam sekarang tidak mengenali hakikat peranan mereka dulu, masakini dan akan datang; sedangkan itulah peranan yang mesti dimainkan oleh umat Islam di muka bumi hingga akhir zaman.”
Sekiranya mangsa-mangsa perencanaan, konspirasi dan serangan fikiran jahiliah ini tidak memahaminya... namum pasukan singa da’i Islam mengetahuinya. Kita sering mendengar nasyid mereka yang mengalun di seluruh dunia di dalam perjalanan mereka yang aman dan dipercayai :
Kamilah pewaris yang cuba membimbing manusia
Kamilah rahsia al-haq yang tersembunyi
Matahari sentiasa menyuluh cahaya kepada kami
Awan kami mengandungi kilat dan sinar yang terang benderang
Jasad kami adalah cermin kepada kebenaran
Ketahuilah, tanda-tanda al-haq itu:wujudnya muslim.
Begitulah kefahaman dan kesedaran bila ia telah terbentuk. Tanda al-haq ialah wujudnya peribadi muslim. Kewujudan peribadi muslim yang sedemikian rupa adalah kepastian sejarah dahulu, sekarang dan akan terus hingga hari kiamat.
al-Haq adalah tiang seri kewujudan ini. Sekiranya alam ini menyeleweng dan tiang serinya, rosak binasalah ia. Firman Allah S.W.T. :
“Kalau sekiranya al-haq (kebenaran) itu mengikut hawa nafsu mereka, nescaya binasalah langit dan bumi dan apa-apa yang berada di dalamnya.”
(Al-Mukminun 23: 71)
Oleh itu, al-haq kebenaran mesti dimenangkan dan kebatilan mesti dihapuskan. Walaupun realiti yang kita dapat lihat tidaklah sedemikian, tetapi kesudahannya pasti akan terserlah. Firman Allah lagi:
“Bahkan Kami lemparkan kebenaran di atas yang batil (yang tidak benar) lalu dipecahkannya. Tiba-tiba yang batil itu lenyap.”
(Al-Anbiya’ 21: 18)
Pengasingan Islam dari kehidupan manusia seperti yang dilihat pada hari ini hanyalah umpama gerhana matahari. Segala berantakan, kezaliman dan kerosakan di muka bumi pada hari ini adalah akibat jauhnya manusia dari Islam. Ini adalah bukti awal benarnya apa yang kita sebutkan bahawa Islam adalah sebahagian dari sistem alam yang indah ini. Alam ini akan rosak tanpa kewujudan Islam. Tetapi ianya hanya mampu dilihat oleh orang yang mempunyai pandangan yang dalam.
Burung-burung akan kembali berlindung di sarangnya semasa berlaku gerhana matahari di tengahari. Secara fitrah, mereka tahu bahawa ada suatu keganjilan sedang berlaku kerana waktu terbenam matahari masih jauh. Saki baki sinaran samar yang masih tinggal menjadi harapan untuk meneruskan kehidupan kembali. Mereka terus menunggu dan enggan tidur.
Maka begitulah juga sikap orang yang hidup hatinya. Dia faham bahawa penyingkiran Islam dari kekuasaan adalah suatu kejadian dahsyat dan luar biasa, namun ia tidak bererti tenggelamnya Islam. Ianya hanya suatu peristiwa ganjil yang bersifat sementara.Wujudnya jamaah yang mendokong alhaq (walaupun bilangan mereka sedikit) adalah harapan untuk mengembalikan semula Islam ke pentas kehidupan. Bahkan kewujudan jamaah ini merupakan bukti yang kuat bahawa Islam akan benar-benar kembali semula ke dalam kehidupan manusia ini. Mereka yang lari dari Islam akan kembali semula kepada Islam dan kepada Tuhan. Mangsa pendidikan dan acuan jahiliah akan tersedar semula dan akan kembali berpegang teguh di atas jalan yang lurus.
Pengasingan Islam dari kepimpinan manusia adalah satu kejadian dahsyat dan malapetaka yang besar di dalam sejarah dan kehidupan manusia. Satu malapetaka yang tiada tandingannya di antara segala malapetaka yang berlaku.
Pada mulanya, Islam telah menguasai tampuk kepimpinan ketika bumi telah rosak, hidup telah menjadi busuk, pimpinan telah busuk lagi zalim dan kemanusiaan telah mengalami penderitaan dan pimpinan yang busuk itu.
Firman Allah S.W.T bermaksud :
“Telah lahirlah bencana di darat dan di laut, kerana perbuatan tangan manusia.”
(Al-Rum 30: 41)
Islam telah mengambil alih tampuk kepimpinan dunia berpandukan al-Quran, tasawwur baru mengikut dan syariat yang diambil dari tasawwur ini. Ia merupakan kelahiran baru untuk manusia. Kelahiran ini lebih besar ertinya dari kelahiran dia sendiri dari perut ibunya. Al-Quran itu telah membentuk tasawwur baru untuk kemanusiaan mengenali tentang alam, nilai-nilai dan sistem-sistem. Kelahiran ini juga telah membentuk satu realiti sosial yang unik. Konsep tersebut tidak dapat difikirkan oleh akal manusia sebelum ia dibentuk oleh al-Quran di dalam kehidupan ini.
Benar ! Realiti ini terlalu bersih dan indah, agung dan tinggi, sederhana dan mudah, praktikal, positif, seimbang dan teratur. Ianya tidak terlintas di fikiran manusia biasa. Ia tidak mungkin wujud kecuali dengan kehendak Allah dan direalisasikan di dalam hidup manusia di bawah naungan, manhaj dan syariat al-Quran.
Kemudian, berlakulah malapetaka besar itu. Malapetaka penyingkiran Islam dari kepimpinan dan jahiliah sekali lagi mengambil alih kuasa. Jahiliah dalam pelbagai corak. Corak pemikiran materialisme yang dikagumi oleh manusia pada hari ini. Ianya umpama kanak-kanak yang kagum melihat pakaian dan permainan yang berwarna-warni dan terang warnanya.
Tetapi penyingkiran Islam dari kepimpinan tidak pernah didiamkan oleh da’i Islam. Penglihatan dan pemikiran putera-puteri Islam mesti dibuka supaya mereka dapat melihat hakikat undang-undang kejadian alam ini.
Muslim yang sejati tidak akan dapat percaya bahawa pencinta kebendaan dan keduniaan boleh berkata yang betul. Bagi da’I, yang betul hanyalah apa yang turun dari langit. Mereka tidak sekali-kali berpaling dari kebenaran itu dan tidak mungkin melampauinya, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:
Kata-kata yang paling benar adalah yang diucapkan oleh penyair Lubaid: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya segala sesuatu selain dari Allah adalah batil(mengarut dan tidak betul).”
Sahih Bukhori
Pena telah diangkat dan lembaran telah pun kering.
Segala sesuatu yang lain daripada Allah adalah batil dan mengarut belaka. Tidak ada sistem hidup yang benar kecuali sistem hidup Islam dan segala ibadat kepada yang lain dari Allah adalah batil. Itulah yang dimaksudkan oleh Rab’i bin ‘Amir semasa dia berkata kepada Rustum (panglima agung tentera Farsi):
“Allah mendatangkan kami ke sini supaya kami mengeluarkan manusia dari menyembah sesama manusia kepada hanya menyembah Allah.”
Sesungguhnya Islam adalah satu-satunya cara hidup yang membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia. “Sekiranya mereka tunduk, mereka hanya tunduk kepada Allah sahaja dan sekiranya mereka mengikut undang-undang, mereka hanya taat kepada undang-undang Allah sahaja. Sekiranya mereka mengikut sesuatu sistem, mereka hanya tunduk kepada sistem Allah sahaja. Ketika itu mereka benar-benar bebas dari perhambaan sesama hamba apabila mereka menjadi hamba-hamba kepada Allah tanpa sekutu.”
*********************
Muhammad Ahmad al-Rasyid
Rujuk kitab beliau : Al-Muntholaq
Link download :http://www.scribd.com/doc/33674487/al-muntalaq
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)