Salam kasih buat sahabat-sahabat, yang jauh di mata namun dekat di hati.. Umpama malam berganti siang, dan siang pulang mengganti tugas sang malam, singkat sungguh masa yang berlalu, terlalu pantas sehingga apabila kita sedar, banyak perkara telah berlaku, dan begitu juga ruginya jika kita tidak menghargai dan menikmati masa yang ada sebaiknya..
Terkenang aku akan bait-bait ayat suci dalam Surah Al-Asr yang bermaksud,
" Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati dengan sabar. "
Tanpa kita sedari, bermacam-macam tragedi ngeri telah berlaku dalam masyarakat pada hari ini... Aku yakin, kalian juga pasti dapat melihat pelbagai fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita yang semakin kecundang dibawa arus globalisasi dan liberalisasi yang semakin mencabar. Pengamalan kehidupan yang semakin menjauh dari landasan, penerapan nilai moral bertambah goyah, kekuatan rohaniah dan lahiriah semakin tersimpang daripada paksi stabiliti, kemewahan dan materialistik menjadi keutamaan manusia, kasih sayang dan keikhlasan ditolak tepi dengan kemewahan harta yang berlimpah ruah, manipulasi kuasa dan autoriti menjadi raja yang bisa mengatur hidup mati, kaya miskin, susah senang.. sedangkan yang tidak berdaya pula terus melarat dengan kesusahan dan kesengsaraan hidup..
Senario beginilah yang menjadi punca manusia hilang pertimbangan untuk membuat pilihan secara logik dan tepat, sehingga terkandas dalam menempuhi hidup sebagai insan yang normal. Masalah judi, arak dan seks bebas yang semakin berleluasa, anak yang derhaka pada ibu bapa, isu-isu politik dan rasuah yang tidak berkesudahan, serta masalah jenayah dan maksiat yang tiada nokhtah. Kita hanya mampu melihat apa yang terpampang di dada-dada akhbar, di televisyen mahupun mendengar berita-berita semasa di corong radio waima dengan mata kepala kita sendiri dengan rasa kesal, ketakutan, kekecewaan dan pelbagai kemelut di benak namun apa yang mampu kita buat untuk menghalangnya?!
6 S yang akan terus menguasai pemikiran dan budaya hidup anak bangsa semakin menjadi keutamaan ; song, sport, style, smoke, social dan sex..
Tidak mustahil suatu hari nanti, nilai ketimuran dan pegangan agama yang menjadi kebanggaan kita kini akan akan lenyap dibawa arus pergolakan semasa, kerana kebanggaan mengikut gaya hidup masyarakat Barat yang gilakan hiburan, sukan, fesyen dan sebagainya.
Tahukah anda 6 S inilah yang menjadi taktik serangan orang-orang yang ingin menjatuhkan Islam, secara senyap mereka meracuni pemikiran anak-anak muda kita. Sedangkan jika kita selami, apabila keenam-enam perkara ini dijadikan ketetapan dalam hidup, sudah pasti manusia lupa yang mana satu keutamaan dan yang mana pula sampingan hidup.
Kerana muzik, manusia sanggup berlabur wang ringgit kerana tergila-gilakan artis yang dipuja, Kerana bola, manusia sanggup berjaga malam demi melihat team favourite beraksi di kaca televisyen, sedangkan jika kita amati, untuk berjaga malam mendekatkan diri pada-Nya pun agak payah, rasanya setahun sekali pun tak pasti buat atau tidak, masakan nak tahajud, nak bangun Solat Subuh pun ketat. Kerana fesyen manusia lupa harga diri sehingga sanggup menghalalkan tak sepatutnya demi memenuhi citarasa semasa. Pergaulan bebas lelaki perempuan menjadi perkara biasa dan yang paling mengecewakan apabila perkara yang diambil mudah ini menyumbang kepada peningkatan statistik kelahiran anak-anak luar nikah. Nauzubillah..
Pada aku, seharusnya manusia beringat sebelum melangkah. Bersederhanalah dalam hidup untuk mencapai kebahagiaan dan kenikmatan dunia dan akhir nanti. Tetapkan iman dalam hati dan janganlah menjauh daripada kasih sayang Maha Pencipta.
Apalah gunanya jika manusia semakin kaya intelek, teknologi dan harta tetapi miskin kesedaran sivik, nilai-nilai positif dan penghayatan agama..
Seorang tokoh menyatakan,
" untuk melihat bagaimana gambaran mesyarakat akan datang, maka lihatlah gaya hidup dan budaya generasi muda masa kini."
Sesungguhnya dunia semakin menghampiri penghujungnya. Dah semakin jelas tanda-tandanya, dengan kelahiran Sai Baba yang dikatakan manusia menyerupai Dajjal ( Allahu'alam ), budaya Jahiliyah Moden yang semakin dibangga-banggakan, perubahan iklim dunia dan bencana alam yang tidak disangka-sangka dan sebagainya.. Takut pula jika difikirkan bekalan amalan yang tidak pernah cukup.. Rasanya apa yang akan terjadi pada 20, 30 tahun, mahupun masa akan datang nanti? Bagaimana agaknya keadaan masyarakat kita akan datang? Fikir-fikirkanlah... hurmm~
Cebisan tinta~
Semoga hal ini menjadi peringatan buat aku yang terutama dan juga sahabat-sahabat yang lainnya... InsyaAllah~
***************************************************
Penulis :
Nurul Atiqah Azahari,
IPG Kampus Dato' Razali, K.Terengganu, Malaysia
link : http://chentamaneesku.blogspot.com/2010/06/hegemoni-barat-dalam-dunia-kita-hari.html
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)