Manusia menghadapi berbagai permasalahan dalam kehidupannya, tetapi ia tidak dapat menguasai permasalahan-permasalahan tersebut dengan baik kecuali setelah ia membuat suatu pendirian terhadap tabiat atau keadaan sebenar permasalahan itu dan hubungannya dengan permasalahan itu. Sama ada benar atau salah, suatu pendirian mesti dibuat terhadap semua permasalahan.
Selagi pendirian ini belum dibuat, tidak ada seorang manusia pun boleh membuat keputusan tentang tingkah laku yang dia patut ambil terhadap sesuatu permasalahan.
Ini adalah suatu pengalaman yang menjadi sebahagian dari kehidupan seharian anda:
Apabila anda bertemu dengan seseorang, anda perlu mengetahui: Siapakah dia? Apakah kedudukan dan statusnya dalam kehidupan? Apakah ciri-ciri peribadinya? Apakah bentuk perhubungan yang wujud di antara dia dan anda?
Anda tidak dapat tentukan bagaimana hendak mengendalikan perhubungan dengan orang itu tanpa sebarang keterangan berhubung dengan soalan-soalan tadi.
Walaubagaimanapun, anda perlu membuat suatu pendirian berlandaskan apa yang zahir, dan apa juga tindakan anda terhadapnya dibatasi serta ditentukan oleh pendirian yang telah dibuat :
Anda makan benda-benda yang menurut pengetahuan atau anggapan anda ianya mengandungi nilai makanan. Benda-benda yang anda buang atau gunakan, benda-benda yang anda pelihara, suka atau benci dan benda-benda yang anda takuti atau sayangi .
sikap serta pendirian anda yang berbeza-beza terhadap semua perkara tadi ditentukan oleh pendirian yang anda buat tentang keadaan semulajadinya, keistimewaan-keistimewaanya dan hubungan anda dengan perkara-perkara tersebut.
Sama ada sesuai atau tidak tindak-laku anda terhadap perkara-perkara tadi, bergantung kepada benar atau salahnya pendirian-pendirian yang telah anda buat terhadap perkara-perkara tersebut.
Betul atau salahnya bergantung kepada sama ada anda telah membuat pendirian berdasarkan pengetahuan, tekaan, sangkaan atau melalui tinjauan pancaindera.
1) Seorang kanak-kanak kecil sebagai contoh, melihat api dan melalui tinjauan pancainderanya membuat suatu tanggapan bahawa ianya suatu mainan yang cantik serta berkilauan. Tanggapan ini seterusnya mendorongnya kepada tindakan menghulurkan tangan untuk menyentuh api itu.
2) Seorang lelaki lain melihat api yang sama dan melalui anggapan atau sangkaannya, ia membuat kesimpulan bahawa api itu memiiki suatu sifat ketuhanan atau sekurang-kurangnya, ia suatu symbol ketuhanan. Berdasarkan kepada kesimpulan ini, ia membuat ketetapan menundukkan kepala menyembah api itu, sebagai tanda perhubungannya dengan api itu.
3) Orang yang ketiga melihat api itu, dan mula mengkaji keadaan semulajadi api itu serta sifat-sifatnya. Melalui ilmu pengetahuan serta kajian ia sampai kepada kesimpulan bahawa api itu boleh memasak, membakar serta memanaskan benda-benda. Selanjutnya ia membuat tanggapan bahawa perhubungan dengan api itu adalah laksana tuan dan hambanya. Api, menurut tanggapannya, bukanlah suatu mainan ataupun bersifat ketuhanan. Malahan ia merupakan suatu benda yang boleh digunakan untuk tujuan memasak, membakar atau memanaskan, bila-bila masa sahaja keperluan timbul.
Kalau dibandingkan ketiga sikap yang berbeza itu, jelaslah bahawa sikap kanak-kanak dan si penyembah api itu adalah berdasarkan kejahilan mereka. Pengalaman, menidakkan tanggapan kanak-kanak tersebut bahawa api itu adalah mainan. Tanggapan si penyembah api bahawa api itu adalah tuhan atau symbol ketuhanan adalah berdasarkan kepada sangkaan atau tekaan semata-mata dan bukan atas dasar apa-apa bukti dan ilmu pengetahuan yang sebenar. Sebaliknya sikap lelaki yang menganggap api sebagai suatu agen yang berguna untuk manusia, yang jauh berbeza dari kedua-dua tanggapan di atas, adalah suatu sikap saintifik kerana ia didasarkan kepada ilmu pengetahuan.
***************************************************
Abul A`la Al-Maududi Rahimahullah
Rujuk buku beliau : Islam dan Jahiliyah
Download : http://www.scribd.com/doc/33021493/Islam-Dan-Jahiliyah
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)