Maksiat ada pelbagai peringkat. Ada dosa-dosa yang kecil dan ada dosa-dosa besar dan ada juga dosa-dosa yang terletak antara keduanya. Ia semua dilakukan oleh seorang muslim lantaran dorongan syahwat. Atau ini terjadi ketika dia lemah kekuatan dirinya atau terlupa harga diri. Dia tidak terfikir langsung untuk menentang atau mengingkari syariat tersebut.
Kemungkinan juga dia melakukan dosa tersebut akibat kejahilannya terhadap hukum-hukum syarak. Dia tidak langsung berusaha untuk bertanya orang yang tahu walaupun usaha tersebut tidaklah begitu sukar. Atau kemungkinan dia melakukan dosa tersebut dengan kesilapan penafsiran atau membuat pemahaman sendiri.
Asas kita dalam masalah ini ialah apa yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari rahimullah yang bermaksud:
“Segala maksiat adalah urusan jahiliah dan pembuat maksiat tidak menjadi kafir dengan melakukannya kecuali maksiat syirik. Ini semua berdasarkan Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesungguhnya engkau seorang yang ada padamu sisa-sisa jahiliah.”
Kamu dapati bahawa hadis Nabi S.A.W. yang dijadikan dalil oleh Imam al-Bukhari ini adalah jelas dan benar. Sabda itu ditujukan kepada Abu Dzar r.a. tatkala beliau mengejek Bilal dan ibunya yang berkulit hitam. Padahal Abu Dzar itu dari kalangan sahabat-sahabat yang hebat dan mulia. Satu maksiat sahaja adalah satu cabang dari cabang-cabang jahiliah sebagaimana maksud sabda Rasulullah S.A.W tersebut. Oleh kerana itu, setiap kali maksiat seorang muslim bertambah, bertambahlah kadar jahiliah yang ada padanya. Tetapi dia tidaklah menjadi jahiliah seluruhnya, kecuali jika dia mensyirikkan Allah di dalam ibadahnya atau dia beriktikad bahawa sebahagian dari perkara yang diharamkan Allah adalah halal atau beriktikad bahawa sebahagian daripada yang dihalalkan Allah adalah haram dan beriman hanya pada sebahagian dari syariat Allah dan kufur pada sebahagian yang lain.
Inilah rahsianya mengapa Rasulullah S.A.W memberi amaran agar berhati-hati ketika mengkafirkan individu yang telah zahir keIslamannya, sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang berkata kepada saudaranya: “Wahai si kafir!” Kembalilah kufur itu kepada salah seorang dari mereka. Jika benar, maka kafirlah orang yang dikatakan. Kalau tidak, kembalilah kufur itu kepadanya.”
Inilah juga rahsia yang mendorong Imam Hassan Al-Banna agak ketat mengenainya di dalam kata-kata beliau di dalam “al-Usul al-’Isyrin” (20 Usul) yang bermaksud:
“Janganlah kita mengkafirkan seorang Islam yang berikrar dengan dua kalimah syahadah dan beramal mengikut tuntutannya dan menyempurnakan apa yang difardhukan kepadanya berdasarkan satu pendapat yang dipegangnya atau satu maksiat yang dilakukannya; kecuali jika dia mengaku dengan kalimah kufur atau menyangkal perkara yang perlu dan sepatutnya diketahui tentang agama, mendustakan keterangan al-Quran, atau mentafsirkannya mengikut satu perspektif yang tidak menepati uslub bahasa Arab tentang sesuatu perkara, atau membuat satu amalan yang tidak membawa pengertian lain selain dari kufur.”
Demikianlah pengertian yang dapat diambil dari buku “al-Sharh al-’Iraqi li al-Usul al-’Isyrin” (Penjelasan al-Iraqi Terhadap Dua Puluh Usul). Beliau berkata:
Mengkafirkan seorang muslim dalam ertikata mengeluarkannya dari Islam, adalah sesuatu yang sangat berbahaya. Mesti ada sesuatu yang membuktikan kekufurannya secara jelas dan terang. Contohnya, dia berkata atau melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan kufur seperti menyangkal satu dalil yang qat’i (yang pasti) dari agama, seperti kewajipan solat, pengharaman riba’, tidak perlu berpegang kepada Islam atau mempersendakan Islam atau al-Quran, mencaci Allah dan RasulNya, melumurkan Al-Quran dengan kekotoran atau menolak perkara yang terang-terang di dalam Al-Quran, menyangkal hari akhirat atau layak lagi untuk dilaksanakan dan tidak lagi diperlukan pada masa kini,” serta lain-lain yang menjadikan pengucapnya atau pembuatnya sebagai kafir.
Sebaliknya, apabila dia melakukan beberapa maksiat seperti minum arak walhal masih mengakui usul akidah Islam maka dia adalah muslim yang derhaka, bukan kafir. Demikian juga sekiranya dia berkata atau melakukan sesuatu yang masih boleh ditakwilkan lagi, maka kita tidak boleh mengkafirkannya lantaran perkataan dan perbuatannya itu.
Namun, perlu diingat bahawa kita kadangkala menamakan sesetengah perbuatan atau meninggalkan perbuatan tertentu sebagai kafir lantaran mengikut apa yang telah disebutkan oleh nas-nas syara’. Contohnya (hadis): “meninggalkan solat itu adalah kufur”. Tetapi dalam mengkafirkan seseorang individu tertentu, hendaklah wujud secara yakin perkara-perkara yang menjadikannya kafir. Contohnya, seseorang yang menyangkal bahawa solat itu fardhu atau seseorang yang diminta supaya bertaubat kerana tidak bersolat: “Sekiranya kamu tidak mahu sembahyang, kami akan bunuh kamu.” Dia terus berdegil dan lebih suka dibunuh maka ini menunjukkan hatinya kosong dari iman dan kematiannya di anggap sebagai kafir.
Begitu itu perlu diketahui bahawa kufur ada dua jenis
1. Kufur kecil yang tidaklah mengeluarkan penganutnya dari Islam.
2. Kufur besar yang mengeluarkan penganutnya dari Islam.
Berdasarkan pembahagiaan ini dapatlah kita memahami maksud sesetengah nas Quran atau Hadis, antaranya:
“Barangsiapa yang bersumpah dengan yang lain dari Allah, dia telah syirik” Syirik ini tidaklah mengeluarkannya dari Islam, tetapi dia telah melakukan dosa yang amat besar. Begitulah seterusnya”
*********************************************
Muhammad Ahmad al-Rasyid
Rujuk kitab beliau : Al-Muntholaq
Link download : http://www.scribd.com/doc/33674487/al-muntalaq
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)