Monday, June 21, 2010

Pengakuan : Tiada Tuhan Selain Allah 1

Kongsi

Makna kalimah tauhid

tawhid4

Kalimah tauhid  bermakna mengEsakan Allah Subhanahuwata’ala. Dari sudut penghayatan dalam kehidupan, ia membawa erti mengenal, berikrar, mengakui, mempercayai dan meyakini bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah hanya sanya Allah  Subhanahuwata’ala  semata-mata.  Selain  daripada-Nya, sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Penghayatan kalimah ini meliputi berikrar dengan hati, menyatakan  dengan lidah dan membuktikan dengan amalan.

 

Tauhid   ar-Rububiyyah

Tauhid ar-Rububiyyah  bermakna  beri'tiqad  bahawa  Allah Subhanahuwata’ala  bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan sekelian alam.

Pengertian lanjut Tauhid ar-Rububiyyah

Antara pengertian kalimah Rabb ( ربّ ) ialah Tuan, Pemilik, Pencipta, Penguasa, Pendidik, Pengasuh,  Penjaga dan Penguatkuasa Yang Mutlak.

Allah bersifat mutlak

Manusia,  jika dia bersifat seperti memiliki dan  berkuasa,  maka sifatnya  itu  sementara. Segala sesuatu di  alam  ini  kepunyaan Allah Subhanahuwata’ala.  Apa yang dimiliki makhluk hanyalah bersifat pinjaman  dan majaz  (kiasan).  Hanya  Allah Subhanahuwata’ala sebagai  Rabb  al-'Alamin   (Rabb sekelian  alam) dan mempunyai segala sifat  kesempurnaan.  Dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna mengakibatkan seluruh  makhluk bergantung  kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya, mendapat kehidupan daripada-Nya  dan  berharap kepada-Nya.

agglobe Manusia,  jika  dia cerdik, bijak dan pandai, maka  semuanya  itu datang  daripada  Allah Subhanahuwata’ala. Segala kekayaan dan  penguasaan  manusia bukanlah miliknya yang mutlak tetapi segala-salanya itu datang daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak memiliki  apa-apa  melainkan  setiap  kuasa,  tindak-tanduk,  gerak  nafas  dan sebagainya datang daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Allah Subhanahuwata’ala,  Dialah Maha Berkuasa, Mencipta, Menghidup dan  Mematikan. Dia  berkuasa  memberikan manfaat dan mudarat.  Jika  Allah Subhanahuwata’ala  mahu memberikan  manfaat dan kelebihan kepada seseorang,  tiada  siapa yang mampu  menghalang  atau menolaknya. Jika  Allah Subhanahuwata’ala  mahu  memberikan mudarat  dan keburukan kepada seseorang seperti sakit dan  susah, tiada siapa dapat menghalang atau mencegahnya.

Oleh  itu hanya Allah Subhanahuwata’ala sahaja yang berkuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat.

Firman Allah Subhanahuwata’ala bermaksud:

 

Jika  Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka  tiada yang  dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika  Dia mendatangkan  kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang  Maha  Berkuasa atas segala sesuatu."

( Surah Al-An'am: 17)

Dengan  mengenali  Allah Subhanahuwata’ala sepertimana yang dijelaskan di atas, maka timbullah  kesan  tauhid kepada hati seseorang. Dia hanya takut kepada Allah Subhanahuwata’ala, dan berani  untuk bertindak melakukan sesuatu kerana keyakinannya kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Manusia fakir

Manusia di dunia ini bersifat fakir (tidak memiliki apa-apa), sebaliknya sentiasa memerlukan pertolongan Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahuwata’ala di dalam sebuah hadith Al-Qudsi:

 

Hai  manusia,  kamu  semua  berada di  dalam  kesesatan  kecuali mereka  yang Aku berikan taufiq dan hidayah kepadanya.  Oleh  itu mintalah hidayah daripada-Ku.

 

Hai  manusia, kamu semua lapar, kecuali mereka yang aku  berikan makan, oleh itu mintalah rezeki daripada-Ku.

 

Hai manusia, kamu semua telanjang kecuali mereka yang Aku  berikan pakaian. Oleh itu mohonlah pakaian daripada-Ku.

Sifat fakir dan sifat kaya

1218974412958_Pray_t Berhajatkan sesuatu adalah sifat semua makhluk. Manusia,  haiwan, tumbuh-tumbuhan  dan makhluk lain berhajatkan kepada Allah Subhanahuwata’ala.  Oleh itu semua makhluk bersifat fakir.

Allah Subhanahuwata’ala Maha Kaya. Dia tidak berhajat kepada sesuatu. Jika  manusia memiliki  keyakinan  ini maka dia akan  sentiasa  berbaik  sangka terhadap Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala bermaksud :

 

Hai manusia, kamulah (hamba-hamba) yang fakir yang berkehendakkan kepada Allah, dan Allah, Dialah yang Maha Kaya  lagi Maha Terpuji.

( Surah  Fathir: 15)

Fakir  adalah sifat yang zati bagi setiap makhluk ciptaan  Allah.  Kaya adalah sifat yang zati bagi al-Khaliq (Pencipta).

Manusia juga lemah

Manusia juga sangat lemah di hadapan Allah Subhanahuwata’ala. Sehubungan dengan ini Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

 

 “…dan manusia dijadikan bersifat lemah”

(Surah An-Nisa’: 28)

 

Bukti  Tauhid ar-Rububiyyah

Banyak  bukti  menunjukkan bahawa Allah itu Maha  Esa  dan  tiada sesuatu yang menyamai Allah dari sudut Rububiyyah. Antaranya:

1.    Lihatlah  pada tulisan di papan hitam, sudah pasti  ada  yang menulisnya.  Orang  yang  berakal waras  akan  mengatakan  bahawa setiap sesuatu pasti ada pembuatnya.

2.    Semua benda di alam ini, daripada sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya,  menyaksikan bahawa Allah itu adalah  Rabb  al-'Alamin. Dia berhak ke atas semua kejadian di alam ini.

3.    Susunan  alam yang mengkagumkan, indah  dan  tersusun  rapi adalah  bukti Allah Maha Pencipta. Jika alam boleh  berkata-kata, dia  akan menyatakan bahawa dirinya makhluk ciptaan Allah Subhanahuwata’ala.  Orang yang  berakal waras akan berkata bahawa alam ini  dijadikan  oleh satu  Zat Yang Maha Berkuasa, iaitu Allah Subhanahuwata’ala. Tidak ada  orang  yang berakal  waras akan menyatakan bahawa sesuatu itu  boleh  berlaku dengan sendirinya.

4.    Begitu  hebatnya Ilmu Allah. Pandanglah saja  kepada  kejadian manusia dan fikirkanlah betapa rapi dan seni ciptaan-Nya.Terdapat seribu satu macam ciptaan Allah yang memiliki sifat yang berbeza-beza  antara satu sama lain. Semuanya menunjukkan  bahawa Allah adalah Rabb yang Maha Bijaksana .

sungai-di-dalam-laut-mexico

Fitrah manusia mengakui Rububiyyah Allah

Berikrar dan mengakui akan Rububiyyah Allah Subhanahuwata’ala adalah suatu  perkara yang  dapat diterima. Hakikat ini sering terlintas dalam  setiap  fitrah manusia.  Meskipun  seseorang  itu kafir,  namun  jauh  di  lubuk hatinya tetap mengakui Rububiyyah Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala bermaksud:

 

Dan  jika  kamu bertanyakan mereka  tentang:  Siapakah  pencipta mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah. Maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan daripada menyembah  Allah?

( Surah Az-Zukhruf: 87)

 

Dan  jika  kamu bertanyakan mereka tentang:   Siapakah  pencipta langit  dan bumi?  Nescaya mereka menjawab:  Semuanya  diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui."

(Surah Az-Zukhruf: 9)

 

Tidaklah  susah  untuk membuktikan Rububiyyah Allah  Subhanahuwata’ala.  Fitrah setiap   insan itu sendiri  adalah  buktinya.  Manusia  yang  mensyirik   dan mengkufurkan  Allah  juga  mengakui  ketuhanan  Allah  Yang  Maha Pencipta pada detik-detik tertentu.

Al-Quran  mengakui  adanya  Tauhid ar-Rububiyyah  di  dalam  jiwa manusia

Al-Quran   mengingatkan  bahawa fitrah atau jiwa  manusia  memang telah memiliki rasa mahu mengakui Allah Rabb al-'Alamin.

Firman Allah Subhanahuwata’ala bermaksud:

 

Berkata rasul-rasul mereka: Apakah ada keraguan terhadap Allah, Pencipta langit dan bumi ?  Dia menyeru kamu untuk memberi ampunan kepadamu dari dosa-dosamu dan menangguhkan (siksaan) mu sampai masa yang ditentukan?

(Surah Ibrahim: 10)

 

Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya, maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.

(Surah An-Naml: 14)

Keengganan  dan  keingkaran  sebahagian  manusia  untuk  mengakui kewujudan   Allah   Subhanahuwata’ala sebagai  al-Khaliq  (Yang   Maha   Pencipta), sebenarnya  didorong  oleh perasaan sombong,  degil  dan keras  hati.  Hakikatnya,  fitrah  manusia  tidak  boleh   kosong daripada  memiliki perasaan (yang di dalam sudut hatinya) yang mengakui kewujudan  al-Khaliq.

Jika  fitrah manusia bersih daripada sombong, degil,  keras  hati dan selaput-selaput dosa yang menutupinya, maka secara spontan manusia akan  terus  menuju  kepada  Allah Subhanahuwata’ala  tanpa  bersusah  payah  untuk melakukan   sebarang  pilihan.  Secara  langsung  lidahnya   akan menyebut Allah Subhanahuwata’ala dan meminta pertolongan daripada-Nya.

Telatah manusia, apabila berada di saat-saat genting, tidak  akan terfikir  dan terlintas sesuatu di hatinya kecuali Allah  sahaja. Ketika  itu  segenap perasaan dan  fikirannya  dipusatkan  kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Benarlah Firman Allah Subhanahuwata’ala bermaksud:

 

Dan  apabila mereka dilambung ombak yang besar  seperti  gunung, mereka  menyeru Allah dengan keikhlasan kepada-Nya,  maka  ketika Allah menyelamatkan mereka lalu sebahagian daripada mereka  tetap berada di jalan yang lurus. Dan tiada yang mengingkari  ayat-ayat Kami selain golongan yang tidak setia lagi ingkar

(Surah Luqman: 32)

Sesungguhnya permasalahan mengenai kewujudan Allah Subhanahuwata’ala adalah  mudah, jelas,  terang dan nyata. Kewujudan Allah Subhanahuwata’ala terbukti  dengan  dalil yang amat banyak dan pelbagai.

 

********************************************

 

Rujukan:

 

Dr. Abdul Karim Zaidan,

Usul Ad-Da'wah. r

Dapatkan Edisi sambungan : http://muslimkualiti.blogspot.com/2010/06/pengakuan-tiada-tuhan-selain-allah-2.html

No comments:

Post a Comment

sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)