Saturday, June 12, 2010

Hati Hebat!

Kongsi
Puteri-puteri Islam harapan!

Sedarilah satu hakikat besar..., Sesungguhnya perkara yang menjadikan setiap diri wanita Islam istimewa ialah iman mereka yang mendalam terhadap Allah SWT. Dengan iman yang mendalam wanita Islam melihat kehidupan sebagai tempat ujian dan keputusannya akan dibentangkan pada hari penentu yang pasti datang tanpa keraguan. Hakikat tersebut bertepatan maksud firman Allah dalam Surah Al-Mukminun, ayat 115:

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) tanpa sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami.”

Puteri-puteri Islam harapan!
Iman itu akan bertapak kukuh di dalam hati, dan sememangnya fitrah iman itu akan tertanam di dalam hati. Dengan yang demikian hati yang ditanami iman akan teguh dan kukuh lagi mantap. Tegasnya hati itu akan menjadi HATI YANG HEBAT! Dengan bertitik tolakkan keadaan ini, wanita Islam akan mengambil hanya Allah Yang Maha Esa dan Yang Maha Tinggi sebagai tempat pergantungan dalam segala urusan. Renungi maksud firman Allah yang berbunyi:

“Tanyakan lagi, siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatu pun yang dapat dilindungi daripada kekuasaanNya? (Jawablah) jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: (segala-galanya) dikuasai Allah. Katakanlah jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?” (QS Al-Mukminun: 88-89)

Hati yang hebat dan jiwa yang teguh sentiasa diketuk oleh iman mendalam supaya menyedari dalam setiap detik, Allah menyaksikan dan mengetahui apa yang terkandung di lubuk jiwa. Sebuah kisah yang berlaku semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab dapat membuktikan hakikat ini, hakikat hati hebat yang penuh diisikan iman mendalam. Hati hebat itu bakal membuahkan keyakinan teguh yang menjamin kebahagian hidup di dunia. Malah Allah janjikan juga kebahagiaan di akhirat kelak.

Puteri-puteriku, begini kisahnya...
Pada suatu malam Khalifah Umar al-Khattab meronda keliling Kota Madinah. Oleh kerana letih, beliau bersandar pada sudut dinding sebuah rumah penjual susu. Tiba-tiba beliau terdengar perbualan dari dalam rumah antara seorang ibu dan anak perempuannya.

Ibu: Berdirilah dan campurkan susu itu dengan air.
Anak: Wahai ibu, apakah ibu tidak tahu akan ketegasan Amirul Mukminin sekarang dalam menjalankan perintah?
Ibu: Apakah gerangan perintahnya?
Anak: Beliau memerintahkan supaya semua penjual susu tidak mencampurkan susu dengan air.
Ibu: Wahai anakku, orang ramai telah melanggar perintah itu, engkau pula berada di tempat yang tidak dapat dilihat oleh Khalifah Umar ataupun pembantunya. Oleh sebab itu langgarlah perintah itu.
Anak: Ibuku, jika Khalifah Umar tidak mendapat tahu sekalipun, bagaimana dengan Tuhan Umar? Demi Allah saya bukanlah tergolong orang yang mentaatinya di hadapan ramai, tapi mendurhakainya waktu sendirian.
Semua perbualan antara ibu dan anak itu telah didengar oleh Khalifah Umar dari sebalik dinding bersama pembantunya Aslam. Keesokan harinya Khalifah Umar memanggil anak-anak lelakinya dan kemudian berkata:

Apakah ada di kalangan kamu yang mencari-cari wanita untuk berkahwin dengannya?

Setelah diketahui anak lelakinya yang bernama Ashim mempunyai hajat demikian, maka Khalifah Umar menghantar utusan untuk meminang anak perempuan penjual susu tersebut.Hasil daripada perkahwinan Ashim dengan anak penjual susu itu, telah Allah kurniakan anak perempuan yang solehah, Laila Umi Ashim. Laila Umi Ashim kemudian dikahwini oleh Abdul Aziz bin Marwan. Daripada pasangan inilah lahirnya Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan ketqwaannya. Ini bermakna Umar bin Abdul Aziz adalah cucu kepada anak penjual susu yang amanah dalam kisah di atas.

Puteri-puteri Islam harapan!
Begitulah kesedaran jiwa yang lahir dalam diri seorang muslimah yang mendalam imannya. Kesedaran seperti itulah yang menjadikan hatinya hebat serta kedudukan taqwanya mencapai tahap ikhsan. Ini bermakna dia seolah-olah melihat Allah sentiasa memerhatikannya samaada dalam keadaan terang ataupun tersembunyi.

Puteri-puteriku yang dikasihi dengan kasih sayang Islam,
Dalam peristiwa anak penjual susu itu kita dapat melihat dengan jelas bagaimana Allah memberi ganjaran segera dalam kehidupan dunia, lantaran hatinya hebat mengandungi iman yang mendalam. Ganjaran itu jelas terpapar dengan diangkat martabatnya melalui perkahwinan yang mulia, beroleh jodoh dari keturunan yang baik-baik. Meskipun dia hanya anak penjual susu, imannya yang bersih dan hatinya yang hebat telah dapat menarik perhatian Khalifah Umar dan menjodohkan dengan anak lelaki beliau. Khalifah Umar tentunya berkeyakinan bahawa akan lahir zuriat yang baik daripada menantu berhati hebat dengan taqwa yang tinggi.

Puteri-puteriku,
Sekiranya kita bawa hakikat iman mendalam membina hati yang hebat ini menguasai fikiran dan tingkah laku muslimah hari ini, pasti kita mampu menyerukan kebenaran hakiki. Justru itu setiap diri wanita Islam mesti segera mempersiapkan diri demi menghadapi cabaran masa kini dan masa hadapan. Kita mahu wanita yang berhati hebat mampu kembali menghayati Islam sepertimana yang dilaksanakan oleh muslimah generasi awwal yang unggul. Dapat menunaikan hak dan memahami tanggungjawab agama. Hanya dengan kekuatan dan kehebatan demikian sahaja kita akan dapat membina generasi pewaris yang akan membawa rahmat kepada seluruh alam dan umat manusia.

Sebagai penutup, renungi maksud petikan syair Arab berikut:

Tiada sama tumbuhan yang tumbuh di dalam taman,
Dengan tumbuhan yang tumbuh di padang pasir terbiar,
Bolehkah diharap si anak mencapai kesempurnaan,
Jika yang menyusuinya wanita yang liar.

Wallahu’alam.
Ummu Anas.

link : http://www.haluan.org.my/v3/index.php/hati-hebat.html

2 comments:

  1. hmm..seeloknya jangan memaparkan gambar sahabat2 ana..minx dibuang...atas permintaan sahabat ana

    ReplyDelete
  2. Admin memohon maaf jika gambar diambil tanpa kebenaran, oleh itu admin telah menukar dengan gambar yang baru..

    ReplyDelete

sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)