Dalam siri yang pertama ( klik ) ,kita telah membincangkan Tauhid dari perspektif rububiyyah, pada bahagian ini pula, kita akan membicarakan Tauhid dari perspektif Al-Uluhiyyah..
TAUHID AL-ULUHIYYAH
Tauhid al-Uluhiyyah
Maksud Tauhid al-Uluhiyyah ialah kita mentauhidkan Allah dalam peribadatan atau persembahan. Tujuan asas Allah Subhanahuwata’ala mengutuskan para rasul ialah menyeru kepada hakikat Tauhid al-Uluhiyyah.
Firman-firman Allah Subhanahuwata’ala ini membuktikan hal tersebut bermaksud:
Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tiada ilah melainkan Aku, maka kamu sekelian hendaklah menyembah Aku.
(Surah Al-Anbiya': 25)
Dan sesungguhnya Kami telah utuskan pada setiap umat itu seorang rasul (untuk menyeru): Sembahlah Allah dan jauhilah Taghut. Maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi ini dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)
(Surah An-Nahl: 36)
Dan sesungguhnya Aku telah utuskan Nuh (nabi) kepada kaumnya, lalu dia berkata (menyeru): Wahai kaumku, hendaklah kamu menyembah Allah, (kerana) sesekali tiada ilah melainkan Dia. Maka mengapa kamu tidak bertaqwa kepada-Nya?
(Surah Al-Mu'minun: 23)
Dan (Kami telah mengutuskan) kepada kaum 'Ad saudara mereka Hud (nabi): Hai kaumku sembahlah Allah, sesekali tiada ilah bagi kamu selain dari-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertaqwa kepada-Nya
( Surah Al 'Araf: 65)
Maksud ilah dalam ayat-ayat di atas ialah sesuatu yang disembah, dita’ati dan diperhambakan diri. Ilah yang sebenarnya ialah Allah Subhanahuwata’ala. Pengertian ilah seperti inilah yang seharusnya difahami dari syahadah:
لا إلٰه إلا الله
Pada hakikatnya Islam (sebagai satu sistem hidup yang sempurna) adalah merupakan manhaj ’ubudiyyah atau tatacara untuk manusia menyembah, menta’ati dan memperhambakan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam semua aspek kehidupan.
Cetusan rasa cinta kepada Allah Subhanahuwata’ala
Menyembah atau beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala dapat dilaksanakan apabila tercetus rasa cinta yang suci kepada Allah Subhanahuwata’ala dan rela (ikhlas) menundukkan diri serendah-rendahnya kepada-Nya. Seseorang hamba itu disifatkan sedang menyembah Allah Subhanahuwata’ala apabila dia menyerahkan seluruh jiwa raga kepada-Nya, bertawakkal kepada-Nya, berpegang teguh kepada ajaran-ajaran-Nya, berpaut kepada ketentuan-Nya, meminta (mengharap) serta memulang (menyerah) sesuatu hanya kepada-Nya, mengingati-Nya, melaksanakan segala syariat-Nya dan memelihara segala perlakuan (akhlak, perkataan dan sebagainya) menurut cara-cara yang diredhai-Nya.
'Ubudiyyah yang semakin bertambah
Pengertian 'ubudiyyah (pengabdian) kepada Allah Subhanahuwata’ala akan bertambah sebati dan hebat kesannya dalam kehidupan manusia apabila semakin mendalam pengertian dan keinsafannya tentang hakikat bahawa manusia itu terlalu fakir di hadapan Allah Subhanahuwata’ala. Manusia sentiasa bergantung dan berhajat kepada-Nya. Manusia tidak boleh terlupus daripada kekuasaan dan pertolongan-Nya walaupun sekelip mata.
Begitu juga dengan cinta atau kasih (hubb) manusia kepada Allah Subhanahuwata’ala dan rasa rendah diri (khudu') manusia kepada-Nya akan bertambah teguh apabila semakin mantap ma'rifat dan kefahamannya terhadap sifat-sifat Allah, Asma' Allah al-Husna (sifat-sifat Allah yang terpuji), kesempurnaan Allah Subhanahuwata’ala dan kehebatan nikmat kurniaan-Nya.
Semakin mantap manusia ber'ubudiyyah terhadap Allah, maka semakin bebaslah dia daripada belenggu 'ubudiyyah kepada selain daripada-Nya. Seterusnya dia akan menjadi seorang hamba yang benar-benar tulus dan ikhlas mengabdikan diri kepada-Nya.
Allah telah menggambarkan di dalam al-Qur'an keadaan para rasul-Nya yang mulia dengan sifat-sifat 'ubudiyyah di peringkat yang tinggi. Allah telah melukiskan rasa 'ubudiyyah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pada malam sewaktu wahyu diturunkan, ketika baginda berda'wah dan semasa baginda mengalami peristiwa Isra' dan Mi'raj.
Firman Allah Subhanahuwata’ala bermaksud:
Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan."
(Surah An-Najm: 10)
Dan ketika berdiri hamba-Nya (Muhammad) untuk menyembah-Nya (beribadat), hampir saja jin-jin itu mendesak-desak mengerumuninya."
( Surah Al-Jin: 19)
Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari al-Masjidil Haram ke al-Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
( Surah al Isra’ : 1 )
Perkataan hamba (’abd) dalam ayat-ayat di atas adalah mewakili Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Perkataan hamba (’abd) sebagai gantinama kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah menggambarkan sifat perhambaan dan ’ubudiyyah baginda yang sangat tinggi kepada Allah Subhanahuwata’ala.
Tauhid al-Rububiyyah menghubungkan Tauhid al-Uluhiyyah
Tauhid al-Rububiyyah ialah mengakui keesaan Allah Subhanahuwata’ala sebagai Rabb, Tuan, Penguasa, Pencipta dan Pengurnia secara mutlak. Tidak ada sekutu bagi-Nya di dalam Rububiyyah.
Sesungguhnya kesanggupan dan kesediaan manusia mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala dari segi Rububiyyah dengan segala pengertiannya akan menghubung atau menyebabkan manusia mengakui Tauhid al-Uluhiyyah iaitu mengesakan-Nya dalam pengabdian. Secara spontan pula manusia akan mengakui bahawa Allah Subhanahuwata’ala sahaja yang layak disembah, selain daripada-Nya tidak layak disembah walau dalam apa keadaan sekali pun.
Al-Quran terlebih dahulu memperingatkan orang-orang musyrikin Quraisy agar mengakui Tauhid al-Rububiyyah. Apabila mereka menerima Tauhid al-Rububiyyah dan bersungguh-sungguh mengakuinya, maka terbinalah hakikat Tauhid al-Uluhiyyah pada diri mereka. Hakikat ini jelas sepertimana firman-firman Allah Subhanahuwata’ala bermaksud:
Apakah mereka mempersekutukan Allah dengan berhala-berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatu apapun? Sedangkan berhala-berhala tersebut adalah buatan manusia.
(Surah Al-A'raf: 191)
Apakah (Allah) yang menciptakan segala sesuatu itu sama dengan yang tidak dapat menciptakan (apa-apa)? Maka mengapakah kamu tidak mengambil pengajaran?.
(Surah An-Nahl: 17)
Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu serukan selain daripada Allah tidak dapat menciptakan seekor lalat, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiada mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah pula yang disembah.
(Surah Al-Hajj: 73)
Ayat-ayat tersebut mengingatkan orang-orang musyrikin mengenai suatu hakikat yang nyata iaitu sembahan-sembahan mereka adalah lemah, malah tidak berkuasa untuk mencipta sesuatu walaupun seekor lalat. Jika lalat itu mengambil atau merampas sesuatu dari mereka, maka mereka tidak berkuasa untuk mendapatkannya kembali. Ini menunjukkan betapa lemah yang meminta dan lemah pula yang dipinta. Oleh itu akal yang sejahtera tidak boleh menerima penyembahan selain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Dalam peribadatan mereka tidak boleh mempersekutukan sesuatu dengan Allah. Allah adalah al-Khaliq Yang Esa. Selain daripada-Nya adalah lemah dan dhaif belaka.
Tuhan-tuhan palsu yang tidak memiliki apa-apa
Al-Quran menghujah dan mengingatkan orang-orang musyrikin bahawa apa yang mereka sembah selain daripada Allah Subhanahuwata’ala tidak memiliki sebutir atom pun sama ada di bumi mahupun di langit. Malah sembahan mereka sama sekali tidak menyamai Allah Subhanahuwata’ala walaupun sebesar zarah sama ada di bumi mahupun di langit.
Allah tidak mempunyai apa-apa keperluan dengan tuhan-tuhan palsu yang mereka sembah. Jika mereka menyedari hakikat ini, mereka akan merasai kewajipan untuk beribadat dengan ikhlas kepada Allah semata-mata.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala bermaksud:
Katakanlah: Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai tuhan) selain Allah, mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit dan di bumi, dan mereka tidak memiliki satu saham pun dalam penciptaan langit dan bumi, dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagi-Nya."
(Surah Saba': 22)
Al-Quran mengakui bahawa orang-orang musyrikin mengiktiraf sebahagian daripada Rububiyyah Allah seperti Allah Subhanahuwata’ala itu Pemilik langit serta bumi dan Allah itu Pengurus kejadian-kejadian di langit serta di bumi. Jika begitulah pengiktirafan mereka, sepatutnya mereka beriman dan menyembah Allah tanpa mempersekutukan-Nya.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:
Katakanlah (kepada mereka): Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak ingat?
"Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang mempunyai langit yang tujuh dan yang empunya 'arasy yang besar? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak bertaqwa?
"Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang di tangan-Nya berada segala kekuasaan sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi daripada (azab)-Nya, jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): (Oleh yang demikian) dari jalan manakah kamu ditipu ?
"Sebenarnya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka dan sesungguhnya mereka sebenarnya orang-orang yang berdusta."
(Surah Al-Mu'minun: 84-90)
Sains dan aqidah tauhid
Penemuan-penemuan dalam bidang sains dan teknologi mengenai alam buana, atom, manusia, tumbuh-tumbuhan dan pelbagai bidang industri telah berjaya menyingkap keindahan dan ketelitian ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Penemuan-penemuan dan rekaan-rekaan baru itu menguatkan lagi ajaran aqidah tauhid dan meneguhkan lagi keimanan orang-orang mu'min. Hasil-hasil kajian itu menunjukkan kebesaran dan keluasan kudrat serta ilmu Allah Subhanahuwata’ala. Sesungguhnya di sebalik kehalusan ciptaan dan keindahan sistem sejagat ini pasti ada Penciptanya Yang Maha Basar dan Maha Berkuasa.
Kedudukan tauhid dalam Islam
Keseluruhan ajaran Islam berasaskan tauhid. Kandungan al-Quran berlegar di atas tauhid. Kandungan ayat-ayat al-Quran meliputi pengkhabaran tentang Allah Subhanahuwata’ala, sifat-sifat-Nya, kejadian-Nya, perbuatan-Nya, pentadbiran-Nya dan sistem.Nya.
Al-Qur'an membincangkan tentang al-amr (perintah) dan anbiya' Allah (nabi-nabi Allah) kerana kedua-duanya ada kaitan dengan penciptaan dan kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala terhadap makhluk-Nya.
Al-Qur'an menerangkan segala bentuk balasan baik (pahala) untuk mereka yang mentaati Allah, Rasul dan syariat-Nya. Semua ini untuk mengajak mereka menegakkan Tauhid al-Uluhiyyah dan Tauhid al-Rububiyyah.
Al-Qur'an menerangkan segala bentuk balasan siksa (dosa) untuk mereka yang tidak mematuhi syariat-Nya, menceritakan tentang keadaan orang-orang zaman dahulu yang telah menderhakai-Nya. Semua ini untuk menjelaskan bahawa manusia perlu kembali kepada dasar tauhid dan ibadah kepada-Nya.
Oleh itu tauhid adalah intipati atau asas Islam. Daripada tauhid terpancar segala sistem, perintah, hukum dan peraturan. Semua ibadat dan hukum dalam Islam bertujuan untuk menambah, memahir, menguat dan mengukuhkan lagi tauhid di dalam hati orang-orang mu'min.
Dengan tauhid seluruh dorongan manusia akan terbentuk
Dengan tauhid yang kuat, maka akan terbentukkan pelbagai dorongan yang ada dalam jiwa manusia. Dia akan takut hanya kepada Allah Subhanahuwata’ala dan berani mempertahankan keyakinannya seperti yang dipersaksikan dalam sirah Rasulullah dan para sahabat:
1. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah memerintahkan Ali Radhiallahu’anhu agar tidur di atas katilnya sebelum baginda keluar berhijrah ke Madinah, sedangkan musuh Islam begitu giat mengintip baginda. Namun Sayyidina Ali sanggup berbuat mengikut perintah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kerana beliau yakin atas Kehendak dan Kekuasaan Allah.
2. Khalid Ibn al-Walid Radhiallahu’anhu pernah mengalami banyak calar dan luka pada badannya kerana berperang di jalan Allah Subhanahuwata’ala. Namun dia tetap yakin dengan Kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala. Dia tetap meneruskan pertempuran melawan musuh.
3. Bilal bin Rabah Radhiallahu’anhu sanggup diheret di padang pasir, dijemur di bawah kepanasan matahari dan diseksa dengan batu besar diletakkan di atas tubuhnya. Dia tetap mempertahankan keimanannya.
Kini, ramai orang Islam kehilangan hakikat tauhid yang sebenarnya. Mereka masih yakin kepada yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala atau keyakinan mereka bercampur aduk. Mereka takut kepada kegagalan, ketua, kematian dan sebagainya, di sambing takut kepada Allah Subhanahuwata’ala
********************************************
Rujukan:
Dr. Abdul Karim Zaidan,
Usul Ad-Da'wah. r
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)