Beberapa generasi telah berlalu selepas zaman pemerintahan Umar. Islam seterusnya didokong oleh pahlawan-pahlawan Islam dan para reformist. Tetapi sesetengah waktu lain, berlaku juga kelekaan. Hinggalah kita dapati umat Islam pada waktu ini tunduk kepada perancangan Yahudi dan negara-negara kafir. Kekayaan mereka dirampas, iman menjadi lemah, neraca kehidupan mereka bertukar dan hukum al-Quran telah ditolak ke tepi. Musuh-musuh juga mendidik anak-anak orang Islam dengan ideologi yang bertentangan dengan Islam, berlindungkan pelbagai nama dan kelubung.
Sekiranya masih ada sedikit iman dalam diri mana-mana muslim, masih ada rasa sayangkan agama yang dapat memeliharanya dari keluar dari agamanya, mereka akan menjadi korban pula kepada kepalsuan dan pelbagai topeng. Akhirnya mereka terpedaya dan terikut kepada ahli politik, sasterawan dan orientalis yang tidak benar-benar memahami Islam. Mereka memperalatkan dalil-dalil al-Quran dan hadis yang umum atau kadangkala dengan hadis-hadis palsu yang dimanipulasi untuk mencipta sistem-sistem politik dan ekonomi yang didakwa atau dilabel sebagai sistem Islam tanpa langsung mengikut kaedah usul fiqh dan memenuhi syarat-syarat ijtihad.
Oleh itu, tribulasi yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini tidak hanya terbatas pada penguasaian pemimpin yang sesat sahaja, bahkan menjangkau kepada persoalan pendidikan. Korikulum pendidikan dan pelajaran, jawatan-jawatan di universiti, akhbar-akhbar, majalah-majalah dan seluruh media massa digunakan untuk menghapuskan pemikiran dan nilai-nilai Islam di seluruh dunia Islam. Hinggakan orang yang mindanya terperangkap di dalam rencana jahiliah blok barat dan blok timur itu seronok dan merasa bangga kerana menyangka dirinya terlepas dari belenggu kekolotan.
Orang Islam yang sukakan maksiat pada hari ini adalah mangsa pendidikan tersebut, untuk ditukarkan menjadi fasiq mulanya dan supaya mereka akan mudah dijadikan kuda tunggangan oleh para taghut tersebut akhirnya. Demikianlah perancangan jahiliah sejak dahulu lagi yang diwarisi oleh taghut moden dari taghut sebelumnya. Jika dilihat salasilahnya, akan sampai kepada Firaun. ”Firman Allah S.WT. :
“Lalu Firaun memperbodoh (menyesatkan) kaumnya, lalu mereka mengikutnya. Sesungguhnya mereka itu kaum yang fasik.”
(Az-Zukhruf 43:54)
Inilah tafsir yang benar terhadap sejarah. Hanya orang-orang yang fasik sahaja yang boleh diperdayakan oleh Firaun (lama atau moden). Orang yang beriman kepada Allah tidak akan dapat diperdayakan oleh taghut dan tidak akan taat kepada perintahnya.
Begitulah, musuh-musuh Islam telah memahami vital-spot yang telah diperkenalkan oleh Firaun. Mereka saling merancang dan merangka konspirasi untuk membuat kerosakan dan mengubah masyarakat supaya menjadi sampah-sarap yang tenggelam di dalam lumpur noda dan kejahatan. Masyarakat akan sentiasa disibukkan dengan kepayahan mencari sesuap makanan. Akibatnya mereka menjadi penat dan letih dengan perut dan seks dan tiada masa lagi untuk mendengar nasihat dan petunjuk atau kembali kepada agama.
Demikianlah cara dan taktik mereka. Taktik-taktik kotor, memerangi masjid dengan tempat tari-menari, menggantikan isteri-isteri dengar pelacur-pelacur, menyerang akidah menggunakan professor-professor ‘free-thinker’ dan menewaskan kesenian keperwiraan dengan seni hedonisma. Melalui pendidikan ini, mereka telah berjaya mengubah helang rajawali menjadi burung ‘partridge’ sebagaimana yang dikatakan oleh Iqbal….
“Demikianlah halus dan telitinya proses dan seni penjinakan yang telah digunakan oleh pemimpin-pemimpin sesat tersebut....
Seni yang merampas kecantikan lenggok bunga ’sarwa’
ia menukar helang rajawali menjadi buruk denak
mereka memperdayakan angkatan berkuda dengan nyanyian yang merdu
lalu membenamkan bahtera ke dasar laut
mereka tidurkan kita dengan irama dan lagu
dan memadamkan obor kita dengan tiupan nafasnya.”
manusia pun beransur-ansur diresapi kehinaan tanpa disedari.
“Secara fitrahnya, manusia sebenarnya bencikan kehinaan. Tetapi dengan pelbagai keadaan dan peristiwa yang berlaku, tanpa disedari mereka tunduk secara berangsur-ansur. Sedikit demi sedikit mereka menjadi terbiasa di dalam kehinaan. Ianya ibarat singa yang telah dijinakkan.
Namum begitu, saki baki unsur kemuliaan masih berbaki dijiwa dan masih mengalir bahang panasnya di dalam darah.Apabila ada sahaja da’i yang menyeru kepada kemuliaan, memanggil kepada kebebasan, membangunkan jiwa yang lena dan menggerakkan semangat yang nyenyak, maka berdenyutlah kemuliaan di dalam jiwanya dan menyalalah bara di dalam sekam.
Bangkitlah semula sifat kemanusiaan di dalam diri manusia, mereka tidak sekali-kali menerima penghinaan. Mereka pun bangkit berjihad dan melihat segala apa yang dihadapinya di dalam jiliad itu lebih ringan daripada diperhambakan, malah lebih baik daripada kehidupan kebinatangan.
Kehinaan yang menimpa manusia yang disebabkan oleh orang lain atau oleh faktor luaran, cepat sembuh dan mudah dihapuskan. Sebaliknya, jika kehinaan itu timbul dari dalam diri dan terbit dari hati, itu adalah penyakit yang sangat berbahaya dan merupakan kematian yang tidak disedari.
Oleh itu, golongan taghut yang zalim sengaja menerapkan kehinaan kepada orang ramai melalui pendidikan yang hina dan asuhan agar tidak segan silu tanpa tatasusila. Mereka membentuk para belia dengan pelbagai taktik dan strategi yang bertujuan untuk mematikan hemah yang mulia dan memadamkan semangat juang agar kekuasaan sentiasa berada di tangan mereka yang zalim itu.”
********************************************
Muhammad Ahmad al-Rasyid
Rujuk kitab beliau : Al-Muntholaq
Link download : http://www.scribd.com/doc/33674487/al-muntalaq
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)