Wednesday, August 18, 2010

Surat Berantai

Kongsi

 suratberantai Surat berantai. Isu lama. E-mail Yang diforward berkali-kali dari e-mail ke e-mail. Beberapa mesej nampaknya sangat bagus untuk disebarkan. Tetapi, saya telah melihat satu kerosakan yang berlaku dalam penciptaan surat berantai.

Dimasukkan unsur-unsur syirik, yang terkeluar dari syara’, dan disertakan ugutan-ugutan atau ramalan masa hadapan yang melampau serta tidak berasas.

Saya bangkitkan hal ini, kerana beberapa orang bertanya kepada saya, apakah mesej yang mereka terima itu patut disebarkan?

Dikatakan penjaga makam Rasulullah bermimpi bertemu baginda SAW, dan baginda berpesan itu dan ini, kemudian ada ugutan pula di akhir e-mail, siapa tidak menyebarkannya akan celaka, siapa yang menyebarkannya akan mendapat sesuatu yang berharga.

Oh pemula/penyebar/yang mempercayai surat berantai, saya hairan dengan sikap kalian.

Perlu ada asas

Saya tidak menyalahkan surat berantai. Saya menyalahkan surat berantai yang isinya merapu dan terkeluar dari kebenaran. Malah pada satu tahap menganggu aqidah.

 “Ala, kan baik tu? Nak sebar kebenaran dan peringatan” Ini alasan yang orang suka pakai, apabila saya tegur secara personal berkenaan surat berantai yang dia hantar.

Perkara kebaikan, perlu ada asas yang sohih. Bukan boleh pakai taram sahaja. Tambah pula jika kita kaitkan dengan nasib seseorang, celaka atau berjayanya dia. Apakah surat itu punya kuasa tertentu untuk menjadiikan seseorang celaka atau cemerlang? Saya tidak pernah jumpa sesuatu yang berkuasa daripada Allah SWT. Hatta Rasulullah SAW pun tidak boleh memberikan kecelakaan pada seseorang. Apatah lagi makhluk lain, dan juga sekadar satu e-mail.

Apa asas surat itu?

Adakah sekadar bergantung “mimpi bertemu Rasulullah”? atau bergantung kepada khabarnya yang dikatakan disampaikan oleh “Syeikh Ahmad Penjaga Makam Rasulullah”?

Saya akan terangkan berkenaan mimpi bertemu Rasulullah dalam sub topik yang seterusnya. Tetapi di dalam sub topik ini, saya ingin bertanya, siapakah Sheikh Ahmad? Ada sesiapa boleh tunjukkan pada saya orangnya.

Dan hairannya, dia membawa berita yang sangat besar, sehingga yang tak sebar akan mengalami kehilangan benda berharga/kecelakaan, yang menyebar akan mendapat kejayaan, keuntungan, tetapi dia ini tidak pula pernah disebut oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi ke, Syeikh Wahbah Zuhaili ke, Sheikhul Akbar Al-Azhar ke. Guru saya yang sangat sangat hebat dalam pelajaran Aqidah, Dr ‘Ala Hilat atau Ulama’ Jordan Dr Mahmud Malkawi pun tak pernah sebut dia ini.

Siapa Syeikh Ahmad yang dikatakan bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan memberitahu berita ini?

Silap haribulan, Syeikh Ahmad itu pun hanya rekaan oleh mereka yang memulakan rantaian e-mail.

Bertemu Rasulullah dalam mimpi

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya, bererti dia akan dapat melihatku di dalam keadaan sedar. Sesungguhnya tidak boleh syaitan menjelma dengan rupaku”. { Jami’e As-Soghir Imam Suyuthi : 8690 , Sahih Al-Bukhari : 12 / 6993 , Sahih Muslim : 4 / 2266 . Sunan Abu Dawud : 4 / 5023 }. – HADIS SAHIH .

Di dalam riwwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya maka dia benar-benar melihat sesuatu yang benar” { Jami’e As-Soghir Imam Suyuthi : 8689, Sahih Al-Bukhari : 12 / 6996 , Musnad Ahmad 5 / 306 , Sahih Muslim 4 / 2267 }.

Ini adalah dalil yang manusia suka gunakan untuk membenarkan kata-katanya bahawa dia bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW. Kemudian dengan dalil ini, dia berkata bahawa apa sahaja yang dia sebut, dengan dinisbatkan kepada Rasulullah SAW adalah benar.

Saya tidak pernah meragui kebenaran hadith itu. Tetapi saya meragui orang yang menceritakan bahawa dia bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW. Hal ini kerana, sekiranya apa yang diperkatakan tidak terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah, maka dia dan mimpinya itu layak saya ragui dan tidak percayai.

Hal ini kerana, kandungan mimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w. itu tetap perlu dipertimbangkan dengan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya Mauqiful Islam Minal Ilham wal Kasyaf wa Ra’yu waminat-Tama’im wal Kahanah war-Ruqaa’:

 “Seseorang yang bermimpi bertemu dengan Nabi s.a.w. dalam tidurnya, lalu Nabi menyuruh atau melarangnya dari melakukan sesuatu, atau menzahirkan kecintaan kepada sesuatu atau kepada peribadi atau kepada kumpulan tertentu atau menunjukkan kemurkaan dan kebenciannya kepada seseorang atau jemaah atau sesuatu pendirian atau amalan, semuanya ini tidak boleh diambil kira dan tidak mensabitkan sebarang hukum syarak baik hukum wajib, sunat haram, makruh dan juga harus atau memberikan ketuanan, pembebasan mahupun permusuhan. Semuanya perlu dibentangkan terlebih dahulu kepada syari’at yang sabit lagi maksum. Jika bertepatan ia boleh diterima tetapi jika sebaliknya yang menjadi hujah tetap syari’at. Mimpi hanya untuk menggembirakan atau menjinak-jinakkan hati sahaja.”

Tambah Dr Yusuf Qaradhawi lagi : “Perkara yang hanya dipertanggungjawabkan (taklif) oleh Allah supaya kita meyakini dan beramal dengannya ialah sesuatu yang diwahyukan kepada Rasul-Nya semasa hayat Rasul tersebut, bukan berdasarkan kepada apa yang dibawa oleh mimpi di dalam tidur setelah kewafatannya.”

Allah SWT telah berfirman:

 

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.” Surah Al-Maidah ayat 3.

Islam sudah lengkap dan sempurna. Maka adalah mustahil Rasulullah SAW akan mendatangkan sesuatu yang bertentangan dengan Islam itu sendiri. Apatah lagi kalau sekadar jumpa ‘orang tua berjanggut putih dan berpakaian jubah serba putih berpesan itu ini itu ini” Lagilah tertolak.

Menurut Abu Dzar al-Ghifari r.a: “Rasulullah s.a.w meninggalkan kami dan tidak ada seekor burung yang mengepakkan kedua sayapnya di udara melainkan baginda menyebutkan kepada kami ilmu tentangnya.”

Dia berkata: Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak tertinggal sesuatupun yang dapat mendekatkan seorang hamba kepada syurga dan menjauhkannya dari neraka melainkan aku telah jelaskan kepada kamu semua.” [Hadis sahih riwayat al-Tabrani]

Jadi, boleh ke kita ambil mimpi bertemu Rasulullah sebagai petanda itu dan ini, sebagai pengkhabaran masa hadapan itu dan ini, sebagai tanda keuntungan atau kecelakaan itu dan ini, sebagai tanda kesohihan dan kebatilan itu dan ini?

Tidak boleh. Benar atau salah, buruk atau baik, untung atau celaka, semuanya kita ukur dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Mudah ceritanya, kalau anda claim, anda bertemu Rasulullah dan Rasulullah suruh anda buat sesuatu yang tidak ada dalilnya dalam Al-Quran dan As-Sunnah, maka yang anda mimpikan itu bukan Rasulullah SAW.

Jadi, boleh terima ke e-mail berantai Syeikh Ahmad itu?

Celaka, berjaya, untung, rugi, semuanya ketentuan Allah.

Kenapa saya katakan surat sedemikian mempunyai kesyirikan di dalamnya? Hal ini kerana, surat itu berkata bahawa, jika tidak sebar maka akan mendapat kecelakaan. Jika sebar mendapat keuntungan.

Diceritakan di dalam surat itu berkenaan beberapa orang yang tidak menghantar dan mereka mendapat kecelakaan. Ada pula diceritakan yang menghantar/sebar dan mendapat keuntungan.

Di sinilah syiriknya. Surat memberikan kebaikan? Surat memberikan kecelakaan?

Sesungguhnya, hanya Allah SWT sahaja yang memberikan itu dan ini. Maka kenapa perlu diugut kalau tidak disampaikan sesuatu perkara maka akan celaka, kalau sampaikan mendapat untung?

Hatta kecelakaan yang menimpa orang yang tidak menghantar surat ini, pada saya bukan kerana surat itu. Itu hanyalah kehendak Allah SWT yang ingin dia mendapat kecelakaan sebagai ujian dalam kehidupannya. Yang mendapat untung juga demikian.

Saya suka nak bertanya, apakah yang mendapat kecelakaan itu, tiada langsung kebaikan di dalam hidupnya? Apakah yang mendapat keuntungan itu, tiada langsung kecelakaan did alam kehidupannya?

Jawab.

Saya tak nampak kenapa satu surat boleh memberikan untung celaka.

Jika demikian, Allah sudah lama mengazab manusia-manusia yang tidak menyebarkan Al-Quran yang memang 100% sohih. Kenapa Allah nak mengazab orang yang tak menyebar surat, sedangkan Dia tidak pernah mengazab direct orang yang tak sebarkan Al-Quran? Kalau yang tidak menerima kebenaran, tidak melaksanakan tanggungjawab, pun Allah bagi masa hingga mati, dan pembalasannya adalah pada hari akhirat nanti.

So…

Amacam Surat Syeikh Ahmad dan sekutu-sekutu surat berantai yang agak-agak sejenis dengannya?

Ada back up ke?

Penutup: Orang mudah tertipu. Bangunlah, belajar.

Saya hairan. Hairan dan sangat hairan. Surat pendek, dalilnya pun tidak berasas, sekadar berpaut pada ‘mimpi bertemu Rasulullah’, diberitahu oleh ‘syeikh’ ‘penjaga makam Rasulullah’, ditutup dengan ugutan ‘sebar untung, tak sebar celaka’, kemudian berbondong-bondong orang sebar.

Yang artikel-artikel dari blog-blog yang bagus macam SaifulIslam.com, Zaharuddin.net, dan yang sepertinya tidak ada pula yang semangat nak jadikan forward mesej. Ayat-ayat Al-Quran yang terang-terang sohih, di dalamnya ada ugutan, ancaman, keuntungan, keberjayaan daripada Allah secara direct, tiada pula yang nak buat mesej berantai.

Saya hairan dan sangat hairan. Inilah dia mentaliti sebahagian kita.

Suruh belajar direct dengan sumber dalil tak mahu. Bila mimpi benda pelik sikit, mula bising sana sini nak kata itu petanda untuk itu dan ini. Bila nampak tulisan Allah atas langit, mula cakap itu petanda untuk sekian-sekian perkara.

Sedangkan, mimpi tidak boleh dijadikan dalil. Apa-apa perkara ‘menakjubkan’ bukan boleh kita jadikan petanda itu dan ini, melainkan kita pulangkan kepada kebesaran Allah SWT dalam menciptakan awan/pokok kaktus/dll berbentuk nama-Nya. Lainlah perkara ‘menakjubkan’ itu ada nasnya, ada penerangannya, untuk dikaitkan dengan dekatnya hari kiamat dan sebagainya.

Pesan saya, belajar lah. Kalau kamu bukan pelajar agama pun, rajin-rajin lah sikit buka Al-Ahkam.net ke, atau tanya mereka yang memang pakar dan dipercayai dalam dunia Islam.

Jangan mudah percaya dengan perkara yang tiada asas.

Dan nasihat ringkas saya pada yang memulakan/terfikir nak mulakan/sebarkan/terfikir nak sebarkan surat-surat berantai merepek ni, harap boleh hentikan. Kalau dah terhantar, dah termula, sila cepat-cepat minta maaf pada orang yang anda hantarkan itu.

*********************

Hilla Asyraf

1 comment:

  1. zaman sekarang ni macam2 surat berantai berbaur ugutan... kalau x hantar pada org lain akan ditimpa kecelakaan la ape la... sampai gangnam dan kartun upin ipin dikatakan agenda yahudi la... pale otak die... gangnam dikatakan ;saya seorang yahudi: sedangkan gangnam adlah salah satu tempat di korea..

    ReplyDelete

sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)