Tuesday, January 4, 2011

Tahun Baru, Baju Baru

Kongsi

Alhamdulillah, umur kita bertambah setahun lagi. Semoga pertambahan umur kita akan semakin mendekatkan kita kepada Allah SWT.

SunyDay

Dari satu sudut, tahun baru ini umpama ‘baju baru’. Kita boleh beli baju yang secantik dan semahal mungkin, kita boleh pakai dan boleh juga berbangga dengan baju terbaik yang kita beli dikedai terbaik. Namun disebalik baju cantik yang kita pakai itu, masih tubuh badan (mungkin ada sedikit perubahan) dan hati yang sama.

Bagi insan yang tidak mengenali kita mungkin akan teruja dengan kecantikan luaran yang kita pamerkan namun bagi jiwa-jiwa yang sudah masak dan benar-benar mengenali watak kita akan memberi pandangan yang berbeza. Mungkin kita pernah terdengar orang berkata “Alaa, baju je lawa tapi hati BUSUK” Sambil berpaling dan menjuih. Atau mungkin ada yang berkata “Eleh, baju boleh beli yang mahal tapi BAKHIL tetap bakhil” dan berbagai kecaman lain. KENAPA?

Kita sendiri tidak melihat manusia hanya pada pakaian yang dipakainya. Tentu anda tidak setuju kalau saya katakan orang yang pakai baju cantik itu baik akhlaqnya atau saya katakan orang yang pakai baju-baju ‘bundle’ tu tak ada maruah. Pakaian yang kita pakai hanya kulit luaran yang boleh dibeli dengan duit. Namun kebaikan yang kita pamerkan adalah refleksi hati kita yang tersembunyi didalam lubuk diri kita. Jika jernih, lembut dan bersih hati kita maka jernihlah peribadi kita. Akan tetapi jika kotor, keras dan rosak hati kita maka keruhlah peribadi kita. Inilah pakaian keperibadian kita yang sebenar yang tidak ada dijual di kaki lima atau butik-butik mewah sekalipun.

Mungkin juga pernah dalam kehidupan kita, kita menemui orang baru. Mungkin pelajar atau pekerja baru. Kali pertama melihat kita merasakan ia seorang yang kemas, segak dan tampan bergaya, namun setelah berinteraksi dan mengenalinya dengan lebih mendalam kita mula melihat dengan pandangan yang berbeza. Kalu buruk perangainya, kita sukar untuk menemui kecantikan pada penampilan zahirnya. Walaupun mungkin pakaiannya kemas dan bersih namun air mukanya nampak menjelekkan pandangan kita. Itulah hakikat keperibadian sebenar sebagaimana yang kemukakan oleh Professor Hamka dalam bukunya keperibadian. Cantik tapi kecantikannya tenggelam dalam peribadinya yang buruk hingga menghilangkan keperibadiannya yang zahir.

Berbalik pada TAHUN BARU. Kita boleh senaraikan azam baru kita sampai penuh kertas A4 atau lebih lagi namun semua itu hanyalah zahirnya sahaja. Yang penting bagaimana persediaan kita untuk mengotakan apa yang kita kata. Kata-kata sahaja tidak memberi makna sehingga ia benar-benar terlaksana dalam tingkahlaku dan sikap hidup kita. Pakaian yang baru dan cantik akan lusuh dimakan usia namun keazaman yang benar yang lahir dari kesedaran dan ketinggian jiwa akan tetap bersinar.

Kita juga boleh ubah dan hiaskan rumah, bilik atau pakaian kita tetapi jangan kita lupa, HATI kita juga perlu berubah atau meningkat kepada yang lebih baik. Seharusnya kesibukan kita dalam menyambut tahun baru lebih mengutamakan perubahan hati. Hati kita perlu diproses dan dididik supaya lebih menyintai kebenaran dan kebaikan serta membenci kemungkaran dan dosa. Hati kita perlu dibimbing agar menjadi hamba hakiki yang merasai kebesaran dan keagungan Robbnya. Hati kita perlu diasuh agar sentiasa cinta kepada Allah dan Rasul serta jalan-jalan yang akan mendekat kita kepada kedua-duanya. Dan hati kita juga perlu dihiaskan dengan keyakinan kepada janji-janji  dan ancaman-ancaman Allah sehingga jiwa kita benar-benar hidup, hidup untuk terus melangkah menuju MARDHATILLAH.

Marilah kita menjadi Hamba Robbani yang sentiasa mengharap dan mencari redha Allah SWT.

…………………………..

Azmi Bahari

Friday, December 24, 2010

Syiah: Mazhab Atas Nostalgia Sejarah

Kongsi

Syiah adalah satu mazhab yang hidup atas ‘nostalgia’ lampau. Muharram adalah salah satu musim golongan Syiah menzahirkan tangisan mereka terhadap sejarah. Isu pembunuhan Saidina Hussain yang sudah berlalu empat belas kurun yang lepas diwarisi secara dendam yang tidak berkesudahan. Ramai yang menjadi mangsa kemarahan itu. Dendam itu bukan sahaja terhadap mereka yang terlibat dalam krisis lampau tersebut, tetapi turut dibabitkan mereka yang selepas itu yang enggan berkongsi tafsiran politik yang sama. Maka, Ahlus Sunnah menjadi sasaran ‘kemarahan warisan’.

Syiah sebenarnya bukan bermula dengan isu pokok dalam Islam. Ia hanya bermula dari sebuah aliran politik atau dalam istilah ‘politik kepartian’ lalu dibina dan dibajai sehingga menjadi dogma agama yang tidak dapat dibuang lagi. Isu-isu yang berkaitan dengan polisi pentadbiran pada zaman Saidina Uthman, diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk membina aliran politik pada zaman tersebut. Hari demi hari, dalam usaha mengukuhkan ‘parti’ dan menambah pengikut maka pelbagai nas-nas mula diberikan tafsiran yang mempunyai kepentingan politik, bahkan diwujudkan nas-nas baru bersifat politik yang sengaja diada-adakan.

Emosi

Ertinya, krisis politik dalam kalangan umat Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w telah diwarisi secara emosi dan kekeliruan. Emosi di sini bermaksud isu-isu itu dilihat hanya pada sudut kehendak aliran politik tertentu, atau sentimen tertentu tanpa cuba merongkaikannya atau memahaminya secara holistik. Isu khalifah atau kepimpinan yang cuba dijadikan warisan keluarga Nabi s.a.w (Ahlul Bait) jika diterima akan menafikan sifat Islam sebagai agama yang tidak berteraskan nepotism atau kepentingan keluarga.

Kelayakan manusia dalam kepimpinan menurut nas-nas Islam yang dipegang dalam aliran Ahlus Sunnah wal Jama’ah adalah berasaskan kemampuan (al-quwwah) dan amanah (al-amanah). Sistem warisan dalam kepimpinan seperti yang dipegang oleh Syiah akan mengujudkan kasta aristocrat atau bangsawan yang akhirnya mereka dianggap infallible (maksum) yang tidak boleh dipertikaikan. Ini kerana kelayakan kepimpinan itu bukan kerana penguasaan mereka terhadap konsep kepimpinan sebaliknya secara warisan yang akhirnya mereka bagaikan wakil Tuhan yang menerima wahyu. Lalu mereka sentiasa dianggap benar dapat segala tindakan. Maka dengan itu akan terbengkalailah ruh syura dalam pemilihan kepimpinan.

Kekeliruan

Adapun, di sudut kekeliruan warisan ia membabitkan kepercayaan pengikut Syiah terhadap apa yang diwarisi dari fakta-fakta sejarah. Peristiwa-peristiwa sejarah lampau telah diwarisi turun temurun secara yakin tanpa mereka menyemak ketepatan fakta-fakta tersebut, atau ia sebenarnya hanya desus-desas politik atau tokok-tambah riwayat atas kepentingan politik.

Berasaskan apa yang mereka baca atau warisi mengenai cerita-cerita buruk para sahabat Nabi s.a.w khususnya Abu Bakar, ‘Umar, Uthman, Muawiyah, ‘Amr bin al-‘As atau selain itu, mereka telan bulat-bulat bersama dengan kebencian dan kemarahan ‘politik warisan’. Mereka tidak sempat lagi bertanya sejauh manakah kebenaran fakta tersebut, kerana berita buruk itu adalah berita ‘musuh politik’ mereka. Demikian itu seperti yang kita lihat musuh-musuh politik apabila bertarung antara satu sama lain. Kisah buruk musuh semua ditelan bulat-bulat dan disebarkan seluas-luasnya.

Hal ini bermula sejak penghujung pemerintahan ‘Uthman bin ‘Affan. Fitnah bermula. Dia dituduh menyalahgunakan kuasa, menjaga kepentingan keluarga dan pelbagai lagi. Walaupun sejarah mencatatkan Saidina ‘Uthman telah menjawab semua isu tersebut dengan hebat dan mantap, tetapi jawapan-jawapan itu tidak pernah sampai kepada mereka, kerana mereka enggan membaca atau mengetahui kebenaran musuh politik mereka.

Sebenarnya, Saidina Uthman telah cuba membendung gerakan fitnah yang dilancarkan oleh seorang yahudi bernama Abdullah bin Saba –suatu watak yang diakui kewujudannya oleh sumber Syiah dan Sunni-. Dialah yang mencanangkan kempen menjatuhkan ‘Uthman. Dia campuri isu-isu politiknya dengan pelbagai tafsiran agama, termasuklah kononnya ‘Ali bin Abi Talib ialah warisan Nabi s.a.w dalam kepimpinan politik. Rakyat terpinga-pinga. Mereka tiada pengalaman politik seperti itu.

Khalifah Uthman yang warak itu menulis surat rakyat:

“Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku memerintah, aku telah jadikan umat ini dikuasai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada para pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka hak mereka. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan diberikan kepada rakyat. Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca secara sembunyi, atau sesiapa sahaja yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)”. Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata: “Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/342. Beirut: Rawai’ al-Turath al-‘Arabi).

Namun oleh kerana reka cerita itu atas kepentingan politik, maka fitnah terus disebarkan. Para sahabat Nabi s.a.w tidak terpengaruh dengan fitnah itu, tetapi ia mempengaruhi mereka yang bukan sahabat yang hidup di zaman tersebut. Sehingga para pemberontak datang ke Madinah, berdialog dengan ‘Uthman sendiri. Segala fitnah telah ‘Uthman jawab dengan kemas. Mereka terbungkam. Para sahabat yang menyaksikan mengakui hujah-hujah ‘Uthman.

Antaranya Uthman berkata:

“Ketahuilah ketika aku dilantik menjadi khalifah, aku adalah orang ‘Arab yang paling banyak mempunyai unta dan kambing. Namun sekarang tidak ada bagiku melainkan dua ekor unta yang aku gunakan untuk menunaikan haji… mereka mengatakan bahawa aku sayangkan kaum keluargaku dan memberikan mereka harta. Sebenarnya, perasaan sayangku kepada kaum keluargaku tidak menyebabkan aku bertindak kepada mereka adalah daripada hartaku sendiri. Aku tidak pernah menghalalkan harta benda orang Islam untuk diriku, tidak juga untuk sesiapa. Demi Allah! Aku tidak pernah mengambil sedikit pun harta atau cukai dari mana-mana wilayah..” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/348).

Apa yang pasti tulisan Syiah tidak akan memetik hal ini. Kerana, ini bukan apa yang mereka mahu.

Riwayat Sejarah

Namun, disebabkan fitnah berterusan, khalifah Uthman dibunuh. Selepas pembunuhan ‘Uthman, dunia Islam terus tidak tenteram. Fitnah makin banyak. Berbagai cerita ditokok tambah. Dari cerita politik Saidina ‘Uthman sehingga berlarutan isu Perang Jamal, Siffin, pembunuhan Saidina Hussain dan pelbagai lagi. Buku-buku sejarah mencatatkan pelbagai perkara yang bercampur aduk antara satu sama lain. Cerita-cerita bercanggahan antara satu sama lain. Ada riwayat pro-syiah dan ada yang pro-sunni. Kesemuanya bergantung kepada perawi (narrator).

pertelingkahan-sahabat

Jika dia fanatik syiah seperti Abu Mikhnaf dan Hisyam bin Saib al-Kalbi maka buruk ‘Uthman, Mu’awiyah dan lain-lain. Kitab al-Umam wa al-Muluk atau dikenali dengan Tarikh al-Tabari yang menjadi pegangan sejarah Sunnah dan Syiah itu meriwayat pelbagai riwayat yang bercanggahan antara satu sama lain. Ini kerana, al-Imam al-Tabari (w. 310) mencatatkan apa sahaja yang sampai kepadanya; tanpa mengambil kira samada sahih ataupun palsu. Ini kerana beliau membiarkan agar para pembacanya menilai berdasarkan sanad-sanad yang dikemukakan dan membuat pembandingan sendiri. Ini disebut sendiri oleh al-Tabari dalam mukadimahnya:

“Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”.(Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 1/8).

Kita semua tidak menyaksikan apa yang sebenarnya berlaku. Demikian juga al-Tabari. Hanya catatan dalam pelbagai rupa yang ada. Membaca sejarah Islam memerlukan pengetahuan tentang disiplinnya. Maka kita hendaklah mematuhi arahan al-Quran: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu“.(Surah al-Hujarat: 6).

Justeru Ahlus Sunnah mengambil pendirian yang berbeza dalam isu sejarah ini dengan Syiah. Kata al-Imam Ibn Taimiyyah (w. 728):

“Ahlus Sunnah wal Jama’ah wa al-Jama’ah berlepas diri daripada sikap golongan al-Rafidah (syiah) yang membenci dan mencerca para sahabat. Mereka juga berlepas diri daripada sikap golongan al-Nasibah yang menyakiti Ahl al-Bayt dengan perkataan dan perbuatan mereka. Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengambil sikap mendiamkan diri tentang pertelingkahan yang berlaku antara para sahabat. Mereka mengatakan bahawa kisah-kisah yang diriwayatkan tentang keburukan para sahabat, antaranya adalah dusta atau ia sengaja ditokok tambah atau dikurangkan atau diubah daripada ceritanya yang asal“ (Ibn Taymiyyah, Al-’Aqidah al-Wasattiyyah, hlm. 201).

Atas kedukaan sejarah yang ditokok-tambah itu, atau direka berdasarkan keperluan politik itu, dibina pula berbagai doktrin dan dogma agama yang lain sehingga Syiah akhirnya lahir menjadi satu mazhab yang besar yang akan mewarisi dendam sejarah dari zaman ke zaman. Saya pernah menulis sebuah buku berjudul Pertelingkahan Para Sahabat: Antara Ketulenen Fakta dan Pembohongan Sejarah. Persoalan ini telah saya jelaskan dengan lebih terperinci.

Apapun, hari ini Syiah telah wujud. Mereka adalah warisan sejarah silam. Tangisan dan amarah yang tidak bersudahan. Hanya atas cerita lama, mereka meriwayatkan sengsara. Soal sejauh manakah ketulenan cerita bukan lagi persoalan. Namun bagi kita, sikap yang adil adalah berdialog dengan mereka. Mereka umat Islam dan ada kelebihan tersendiri. Mereka mazhab yang lahir dari isu politik, maka mereka sangat mahir berpolitik. Bagi kita, menghukum tanpa berhujah adalah sikap yang tidak adil. Berhujah tanpa sudi mendengar hujah orang lain, adalah keras kepala. Ahlus Sunnah sederhana dalam segala hal.

*****************************************

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin

Sunday, December 5, 2010

tidak ada masa atau tidak penting?

Kongsi

time-flies-clock-10-11-2006.gif_thumb Ketika anda sedang sibuk menyiapkan assignment yang perlu dihantar beberapa hari lagi, tiba-tiba kawan sebilik mengajak anda keluar minum. Anda pun menjawab ringkas "Maaf, saya sibuk, tak ada masa".

Atau mungkin anda sedang membersihkan kereta yang anda sayangi, tiba-tiba anak anda datang dan meminta anda bacakan buku cerita yang isteri anda belikan beberapa hari lepas atau mungkin beberapa bulan lepas. Andapun menjawab sambil lewa "Ayah tengah sibuk ni, tak ada masa".

Mungkin juga anda sedang menonton TV lalu adik anda datang memohon bantuan untuk baiki sedikit kerosakan pada basikalnya lalu anda menjawab tanpa memandang wajah adik anda "Abang tak ada masalah sekarang".

Katakan dalam semua keadaan itu, tiba-tiba anda menerima panggilan dari pihak hospital yang memaklumkan bahawa ayah anda kemalangan dan sekarang di wad kecemasan. Adakah anda akan jawab dengan selamba "Maaf encik, saya tengah sibuk ni, tak ada masa".

Hari ini kesibukan atau tidak ada masa adalah modal utama untuk kebanyakan orang menolak satu permintaan atau melupakan satu tanggungjawab. Persoalan yang sebenar bukanlah tidak ada masa tetapi adakah kita melihat satu perkara itu penting bagi kita atau tidak. Bahkan yang amat merisaukan ialah KEPENTINGAN ini kadang-kadang ditentukan oleh minat, kecenderungan jiwa atau nafsu kita semata-mata bukan diukur dengan tanggungjawab, amanah dan hak yang perlu ditunaikan.

Ada orang yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk 'cycling' tetapi orang yang sama juga tidak ada cukup masa untuk mengajarkan anak-anaknya membaca al Quran atau membetulkan solat. Saya tidak katakan cycling itu tidak syarak. Memang elok kalau kita boleh berbasikal untuk satu jarak tertentu yang sesuai untuk keperluan kesihatan kita tetapi apa yang saya perhatikan ternyata berbeza; berkayuh baru beberapa KM dah berhenti pekena teh tarik dan roti canai. Kayuh pula begitu slow motion sambil berbual lepas tu balik rehat ketika peluh baru nak keluar. Bahkan yang lebih menyedihkan, ada golongan yang berpendapatan rendah tetapi basikalnya ribuan ringgit. Yuran sekolah anaknya tidak berbayar, makan pakai anak isterinya tidak menentu bahkan (maaf kalau ada yang tersinggung) ada yang berpesan pada anak-anak atau isteri yang mengadu kesempitan hidup supaya berfikir dan hidup sederhana.

Ada juga yang terlalu sibuk membangunkan empayar perniagaannya hingga tidak ada masa untuk membangunkan keperibadian anak sendiri. Setiap hari kesibukannya atau masanya untuk customer dan bina 'networking' namun hatinya tidak pernah perasan tingkahlaku dan akhlaq anaknya yang semakin hari semakin runtuh.

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW juga ada yang berjaya dalam perniagaan bahkan mungkin jauh lebih berjaya dari kita namun pada masa yang sama mereka juga berjaya dalam bidang kekeluargaan, dakwah dan kemasyarakatan serta puluhan bidang lain. Siapa yang tidak kenal Abdullah Ibnu Umar RA anak kepada sahabat (Saidina Umar RA) yang paling sibuk hingga malam harinya pun digunakan untuk mengintai keperluan dan keadaan rakyatnya.

Jadi persoalan yang paling besar bukannya masa atau kesibukan kita tetapi apakah matlamat hidup kita, apa yang kita cari dalam kehidupan yang sementara ini atau apa sebenarnya yang kita PENTINGkan dalam kehidupan kita.

**************************

Azmi Bahari

Wednesday, November 24, 2010

Berkapel & Displin Dalam Bertunang

Kongsi

kapel Soalan

Saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?
Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini

Jawapan

Tahniah, kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai ‘konservatif' dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah maha bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia dan akhirat.

Justeru, jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di katakan saudari sudah ‘jatuh hati' kepada si pemuda tadi serta memasang niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari lakukan :-

1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh di fahami kepada pemuda tadi untuk membina "rumahtangga" bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk " Wanita mendedahkan / menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh" (Rujuk Kitab Nikah); juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya :

Ertinya : "telah datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda) ; berkatalah wanita itu : " Adakah dikau punyai hajat kepadaku? " ; maka anak perempuan Anas menyampuk : " Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya " ; maka Anas menjawab : " Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi SAW lalu menawarkan dirinya kepada baginda SAW" ( Sohih Al-Bukhari, 7/17 ).

Imam Ibn Hajar menegaskan tiada catatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki ( Fath al-Bari, 9/175 ).

Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi SAW ( Sohih al-Bukhari, 7/15)

2) Saudari diizinkan untuk menjemput pemuda itu ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Syaratnya, mestilah dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali' lain di dalam majlis itu. Saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.

Antaranya dalilnya : "telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : "Adakah kamu telah melihatnya? : "Belum jawabnya" ; Nabi menjawab :

Ertinya : "Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)" ( Riwayat Muslim).

Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu'bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : " Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian- (perkahwinan) kamu berdua" ( Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma'arif ; Sohih menurut Albani ).

Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)

3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, ( Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa keapda yang haram. Perihal berangan-angan saudari tadi juga bukanlah sesuatu yang baik untuk diteruskan. Nabi SAW menyatakan :

Ertinya : " Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH " ( Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami' As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa).

Syeikh Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan kasih adalah Nikah ( Faidhul Qadir, 5/294)

4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin' boleh membawa fitnah dengan mudah. Ia juga boleh terungkai dengan beberapa cabaran semasa pertunangan. ( Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)

5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu' dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, akan membiarkan maksiat berlaku di antara dua insan tadi, oleh itu individu sepertinya tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.

6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat). Bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal' lebih mudah.

7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu ( semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-

  1. Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
  2. Haram ber"dating" dan berkapel tanpa disertai mahram yang thiqah.
  3. Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat sama ada sms, phone, chat, mesengger.
  4. Awas fitnah masyarakat sekeliling.
  5. Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
  6. Haram melihat kepada aurat masing-masing.
  7. Awas daripada bertukar gambar.
  8. Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.

Ingatlah wahai anak-anak muda sekalian, sebarang perilaku 'ringan-ringan' dan dosa yag dikerjakan dalam hubungan sewaktu pertunangan boleh memberikan serba ringkas gambaran bagaimana tingkah laku pasangan selepas berkahwin. Jika semasa berpacaran dia suka meraba-raba, demikian jugalah dia apabila sudah berkahwin kelak (kecuali sesudah dia bertaubat sebenar-benar taubat). Malangnya bukan dengan isteri atau suaminya selaku pasangannya yang halal, tetapi dengan individu lain sebagaimana tergamak dia melakukannya dengan isteri dan suaminya sebelum mereka kahwin. Baca lanjut di sini. 

Sekian, Wallahu'alam.

Ust Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

15 Disember 2006

Wednesday, November 10, 2010

Berdiri Dibumi

Kongsi

walking Tidak salah untuk bercita-cita tinggi, bahkan cita-cita itulah yang menghidupkan jiwa. Namun jangan kita jadikan cita-cita itu sebagai alasan untuk mencemuh kehidupan yang sedang kita lalui sehingga kita ingin meninggalkannya dengan ketergesaan. Lihatlah hidup dengan keazaman, hayatilah segalanya dengan rasa kesyukuran kerana kita sedang berdiri di bumi yang diwarnai kepayahan dan halangan.

Tidak ada salahnya memiliki impian yang menggunung kerana impian itu membangunkan harapan. Ya, harapan itulah nadi kehidupan hingga kita mampu memiliki diri. Namun janganlah kerana impian itu kita rasa terhina dengan segala yang kita miliki. Lihatlah hidup ini dengan kepasrahan, hayatilah segalanya dengan lapang dada kerana kita sedang berdiri di bumi dimana kekurangan dan kelemahan adalah corak yang menghiasinya.

Tidak mengapa untuk kita berangan-angan sekali sekala kerana angan-angan itu penawar ketika hati ditemani kekecewaan. Namun janganlah kerana angan-angan itu kita terlupa dimana dan siapa kita. Hadapilah kehidupan ini dengan doa dan tawakal kerana kita sedang berdiri dibumi yang ada Pemiliknya.

Ya, berdirilah di bumi

agar jiwa kita cepat tumbuh dan mengerti

lalu kita mampu memiliki diri

untuk terus melangkah dan adakalanya berhenti

Berdirilah di bumi ini

tempat bercampurnya dosa pahala

tempat jiwa, jatuh bangun

tempat suka, tempat duka

Berdirilah dibumi ini

agar kita memiliki diri

lalu bangun menongkah pagi

dengan cita dan keazaman

dan dengan iman yang memagari diri

Kita boleh menangis

tapi bukan dengan rasa kehinaan

tangisan itu bukan lambang kelemahan

tapi milik hamba yang sedar diri

Kita boleh ketawa

tapi sekadar menghilang duka

kita juga insan hina

selalu tersungkur dan lupa kita siapa

Kita juga kan mampu tersenyum

ketika Iman menghiasi jiwa

ketika zikir dan fikir menemani diri

lalu kita sentiasa sedar diri

bahawa dimanapun kita berada

kita sedang berdiri di bumi

*************************

Azmi Bahari