Wednesday, November 24, 2010

Berkapel & Displin Dalam Bertunang

Kongsi

kapel Soalan

Saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?
Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini

Jawapan

Tahniah, kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai ‘konservatif' dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah maha bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia dan akhirat.

Justeru, jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di katakan saudari sudah ‘jatuh hati' kepada si pemuda tadi serta memasang niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari lakukan :-

1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh di fahami kepada pemuda tadi untuk membina "rumahtangga" bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk " Wanita mendedahkan / menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh" (Rujuk Kitab Nikah); juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya :

Ertinya : "telah datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda) ; berkatalah wanita itu : " Adakah dikau punyai hajat kepadaku? " ; maka anak perempuan Anas menyampuk : " Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya " ; maka Anas menjawab : " Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi SAW lalu menawarkan dirinya kepada baginda SAW" ( Sohih Al-Bukhari, 7/17 ).

Imam Ibn Hajar menegaskan tiada catatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki ( Fath al-Bari, 9/175 ).

Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi SAW ( Sohih al-Bukhari, 7/15)

2) Saudari diizinkan untuk menjemput pemuda itu ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Syaratnya, mestilah dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali' lain di dalam majlis itu. Saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.

Antaranya dalilnya : "telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : "Adakah kamu telah melihatnya? : "Belum jawabnya" ; Nabi menjawab :

Ertinya : "Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)" ( Riwayat Muslim).

Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu'bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : " Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian- (perkahwinan) kamu berdua" ( Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma'arif ; Sohih menurut Albani ).

Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)

3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, ( Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa keapda yang haram. Perihal berangan-angan saudari tadi juga bukanlah sesuatu yang baik untuk diteruskan. Nabi SAW menyatakan :

Ertinya : " Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH " ( Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami' As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa).

Syeikh Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan kasih adalah Nikah ( Faidhul Qadir, 5/294)

4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin' boleh membawa fitnah dengan mudah. Ia juga boleh terungkai dengan beberapa cabaran semasa pertunangan. ( Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)

5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu' dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, akan membiarkan maksiat berlaku di antara dua insan tadi, oleh itu individu sepertinya tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.

6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat). Bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal' lebih mudah.

7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu ( semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-

  1. Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
  2. Haram ber"dating" dan berkapel tanpa disertai mahram yang thiqah.
  3. Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat sama ada sms, phone, chat, mesengger.
  4. Awas fitnah masyarakat sekeliling.
  5. Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
  6. Haram melihat kepada aurat masing-masing.
  7. Awas daripada bertukar gambar.
  8. Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.

Ingatlah wahai anak-anak muda sekalian, sebarang perilaku 'ringan-ringan' dan dosa yag dikerjakan dalam hubungan sewaktu pertunangan boleh memberikan serba ringkas gambaran bagaimana tingkah laku pasangan selepas berkahwin. Jika semasa berpacaran dia suka meraba-raba, demikian jugalah dia apabila sudah berkahwin kelak (kecuali sesudah dia bertaubat sebenar-benar taubat). Malangnya bukan dengan isteri atau suaminya selaku pasangannya yang halal, tetapi dengan individu lain sebagaimana tergamak dia melakukannya dengan isteri dan suaminya sebelum mereka kahwin. Baca lanjut di sini

Sekian, Wallahu'alam.

Ust Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

15 Disember 2006

Wednesday, November 10, 2010

Berdiri Dibumi

Kongsi

walking Tidak salah untuk bercita-cita tinggi, bahkan cita-cita itulah yang menghidupkan jiwa. Namun jangan kita jadikan cita-cita itu sebagai alasan untuk mencemuh kehidupan yang sedang kita lalui sehingga kita ingin meninggalkannya dengan ketergesaan. Lihatlah hidup dengan keazaman, hayatilah segalanya dengan rasa kesyukuran kerana kita sedang berdiri di bumi yang diwarnai kepayahan dan halangan.

Tidak ada salahnya memiliki impian yang menggunung kerana impian itu membangunkan harapan. Ya, harapan itulah nadi kehidupan hingga kita mampu memiliki diri. Namun janganlah kerana impian itu kita rasa terhina dengan segala yang kita miliki. Lihatlah hidup ini dengan kepasrahan, hayatilah segalanya dengan lapang dada kerana kita sedang berdiri di bumi dimana kekurangan dan kelemahan adalah corak yang menghiasinya.

Tidak mengapa untuk kita berangan-angan sekali sekala kerana angan-angan itu penawar ketika hati ditemani kekecewaan. Namun janganlah kerana angan-angan itu kita terlupa dimana dan siapa kita. Hadapilah kehidupan ini dengan doa dan tawakal kerana kita sedang berdiri dibumi yang ada Pemiliknya.

Ya, berdirilah di bumi

agar jiwa kita cepat tumbuh dan mengerti

lalu kita mampu memiliki diri

untuk terus melangkah dan adakalanya berhenti

Berdirilah di bumi ini

tempat bercampurnya dosa pahala

tempat jiwa, jatuh bangun

tempat suka, tempat duka

Berdirilah dibumi ini

agar kita memiliki diri

lalu bangun menongkah pagi

dengan cita dan keazaman

dan dengan iman yang memagari diri

Kita boleh menangis

tapi bukan dengan rasa kehinaan

tangisan itu bukan lambang kelemahan

tapi milik hamba yang sedar diri

Kita boleh ketawa

tapi sekadar menghilang duka

kita juga insan hina

selalu tersungkur dan lupa kita siapa

Kita juga kan mampu tersenyum

ketika Iman menghiasi jiwa

ketika zikir dan fikir menemani diri

lalu kita sentiasa sedar diri

bahawa dimanapun kita berada

kita sedang berdiri di bumi

*************************

Azmi Bahari

Monday, November 8, 2010

Saat Jiwa Merasa Lemah Beramal

Kongsi

Minggu lepas penulis bersama dengan team motivasi dan fasilitator KTD menjayakan program motivasi jatidiri dan pemantapan sahsiah pelajar SMK Paya Besar. Seramai 58 pelajar menyertainya. Allah izin, penulis kurang sihat pada 2 hari program tersebut, syukur ada anak-anak muda KTD yang telah sedia terlatih berupaya meneruskan program dengan baik. Penulis mengajak Ustaz Ali Irfan ke klinik di Kuantan kerana sakit tekak dan batuk penulis semakin menjadi-jadi.

Ketika balik dari klinik, seorang mutarabbi (ahli halaqah) penulis menghubungi penulis dan meminta nasihat bagaimanakah beliau dapat istiqamah dan fokus kepada matlamat besar sebagai mahasiswa, cemerlang dan konsisten sebagai da’i dengan urusan dakwah dan tarbiah. Beliau merupakan seorang pelajar diploma tahfiz. Beliau memang sering menghubungi penulis tatkala beliau diuji dengan perasaan lemah jiwa dan kelunturan semangat. Inilah seharusnya sikap seorang pemuda rabbani, segera mendapatkan nasihat dan pesanan dari sesiapa sahaja agar jiwa dan imannya sentiasa recharged! Penulis nukilkan tambahan pesanan buat para pemuda yang jiwanya cinta kepada Islam dan dakwah, semoga pesanan ini bermanfaat, khususnya kepada diri penulis.

Fahami Matlamat Perjuangan pemuda

Pertamanya penulis berpesan agar kita sentiasa merasai tuntutan tanggungjawab yang telah Allah taklif ke atas kita semua, apatah lagi kepada generasi pemuda Islam yang sedang belajar, fokus kepada akademik agar sentiasa konsisten cemerlang dan menguasai Ilmu. Dengan kekuatan ilmu ianya kelak akan dapat membantu kita menjayakan misi yang lebih besar, iaitu memanfaatkan ilmu untuk meneruskan agenda besar yang di bawa oleh Rasulullah saw. , menyeru manusia kepada Allah swt. (dakwah Ilallah), sebagaimana ruh jihad yang terbit dari Rab’i bin Amir yang berseru di hadapan pemimpin diktator :

“Kami adalah kaum yang diutus oleh Allah untuk mengeluarkan hamba-hamba dari penyembahan manusia menuju penyembahan kepada Tuhan manusia, dari kezaliman agama-agama menuju keadilan Islam, dan dari sempitnya dunia menuju luasnya dunia dan akhirat”.

Kita perlu sentiasa memperbaharui niat dan matlamat kehidupan kita agar sentiasa selari dengan tuntutan Allah dan Rasulullah saw. Jangan biarkan matlamat sebenar kita sebagai hamba Allah dan da’i Ilallah menjadi semakin kabur dek kerana racun rumpai jahiliah dan mabuk dunia yang mengasyikkan ini menutupi cahaya kebenaran. Kita perlu sentiasa fokus kepada matlamat kehidupan kita, firman Allah swt. yang bermaksud:

"Katakanlah: Sesungguhnya sholatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagi-Nya dan demikianlah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri kepada Allah."

(Al-An'aam 162-163)

Tarbiah di Mana-mana.

Keduanya sentiasa istiqamah dengan program-program tarbiah. Kita mesti mencari dan meningkatkan penglibatan kita dengan program-program tarbiah. Tidak cukup sekadar hadir halaqah seminggu sekali, memandangkan ujian dan mehnah yang membentangi para pemuda hari ini sangat dasyat, khususnya ujian wanita!

Pemuda yang ikhlas terhadap perjuangan dakwahnya kepada Allah, pasti akan melipat gandakan program-program pentarbiahan dirinya. Lihat sahaja contoh yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw. dan para sahabat, mereka tiada masa untuk membuang masa serta melayan perasaan dan emosi, sebaliknya mereka sibuk dengan taqarub kepada Allah dan berprestasi di medan amal / jihad. Rahib di malam hari, singa di siang hari!

Para pengikut Rasulullah dibentuk dan diproses melalui tarbiyah islamiyah yang merealisasikan ‘ubudiyahnya hanya kepada Allah saja; ‘ubudiyah yang meliputi i’tiqad, ibadah dan aturan yang benar-benar diterapkan dalam segala aktiviti hidup mereka. Proses ‘ubudiyah seperti ini akan membersihkan jiwa, hati, dan spiritualiti mereka dari beriman kepada selain Allah dan meluruskan aktiviti mereka dari orientasi yang lain daripada Allah semata-mata.

Tarbiyah yang benar-benar diikuti akan dapat membentuk peribadi muslim yang mempunyai karakteristik-karakteristik pemuda luarbiasa; mempunyai aqidah yang lurus, ibadahnya benar, akhlak terpuji, fikiran yang kaya dengan ilmu, tubuh yang kuat, mampu berusaha untuk mencari reziki, mampu mengendalikan hawa nafsu dan mahu melakukan mujahadah pada dirinya, pengurusan waktu yang teratur, urusan dan pekerjaannya diurus dan diatur dengan disiplin, dan mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Obsesi Ukhrawi

Ketiga, Rasulullah saw. ada berpesan:,

“Barangsiapa akhirat menjadi obsesinya, maka Allah menjadikan semua urusannya lancar, hatinya kaya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan tunduk. Dan, barangsiapa dunia menjadi obsesinya, maka Allah mengacaukan semua urusannya, menjadikannya miskin dan dunia datang kepadanya sebatas yang ditakdirkan untuknya.” Ibnu Majah meriwayatkan dengan sanad shahih.

Barangsiapa akhirat menjadi kesibukan utamanya dan obsesinya, maka setiap hari dia ingat perjalanan hidupnya kelak, apa pun yang dia lihat di dunia pasti dia hubungkan dengan akhirat, dan akhirat selalu dia sebut di setiap tuturkatanya. Dia tidak bahagia kecuali kerana akhirat, tidak sedih kecuali kerana akhirat. Tidak redha kecuali kerana akhirat. Tidak marah kecuali kerana akhirat. Tidak bergerak, kecuali kerana akhirat. Dan tidak berusaha kecuali kerana akhirat.

Motivasi Kematian

Pesan As Syahid Dr. Abdullah Azam, carilah kematian niscaya anda akan dikurniakan kehidupan. Bukanlah bermakna kita mencari mati kerana mati pasti tiba, tetapi apakah kita sudah merancang untuk mati? Pemuda berjiwa da’i pasti sentiasa mengingati hari kematiannya. Apabila terkenang sakaratul maut, ada di kalangan sahabat Rasulullah saw. pengsan dan sentiasa menangis.

Rasulullah pernah bersabda dalam sebuah hadis diriwayatkan Ibnu Abi Dunya dari Ibnu Umar bermaksud: “Kematian itu apabila dikenangkan, seseorang itu lebih banyak menangis daripada ketawa.”

Daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: “Tidakkah kamu lihat apabila seorang manusia mati, matanya terbeliak ke atas?” Jawab mereka: “Ya kami melihatnya, ya Rasulullah.” Sabda baginda lagi: “Hal itu terjadi kerana penglihatannya mengikut rohnya ketika roh itu pergi.” (Riwayat Muslim)

Firman Allah swt:

“Tiap-tiap diri (yang berjiwa) mesti merasai mati. Kami akan uji kamu dengan kejahatan dan kebajikan sebagai suatu ujian; dan kepada Kami kamu akan dikembalikan.”(al-Anbiya’:35)

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dia Maha Perkasa lagi Pengampun.” (Al-Mulk:2)

Jadikan kematian sebagai motivasi untuk kita berusaha sedaya upaya supaya kita dapat meninggalkan sesuatu yang bermakna apabila kita pergi kelak. Kehidupan yang singkat di dunia ini amat penting dalam menentukan kehidupan yang panjang di akhirat kelak. Apakah kita masih ada masa untuk membuang masa lagi?pemuda-islam

Rumusan

Kepada generasi pemuda Islam yang mencintai dakwah dan tarbiyah ini, fahamilah bahawa Islam memandang posisi pemuda bukan sekadar komuniti yang sekadar bersukaria, berfoya-foya, bermalasan dan membuang-buang waktu dengan aktiviti-aktiviti yang bersifat sia-sia dan tidak ada manfaatnya. Melainkan Islam menaruh harapan yang besar kepada para pemuda untuk menjadi pelopor dan motor penggerak dakwah Islam. Pemuda adalah kelompok masyarakat yang memiliki pelbagai kelebihan, kekuatan dan potensi dibandingkan dengan kelompok masyarakat yang lainnya, diantaranya mereka masih bersih dari pencemaran (baik aqidah mahupun pemikiran), mereka memiliki semangat yang kuat dan kemampuan mobilititi yang tinggi untuk memenangkan dakwah. Ayuh kita bangunkan jiwa kita menjadi pemuda harapan ummah! Jangan bertangguh lagi!

********************************

Abu Ridhwan

Sunday, November 7, 2010

Solat Biasa vs Solat Luar Biasa

Kongsi

khusyuk-solat Berapakali kita pernah cuba untuk benar-benar menghadirkan hati kita mengadap Allah SWT ketika solat sehinggakan kita merasakan manisnya pertemuan hati kita dengan Allah SWT. Tentunya solat itu benar-benar menginsafkan kita tentang hakikat kekerdilan diri kita berdepan dengan keagungan Allah SWT. Tentunya kita merasa terhina dan malu untuk melanggar larangan serta mengabaikan perintahNya. Sayangnya, kebanyakan solat kita (saya sendiri) berlaku secara rutin. Diri kita seolah-olah robot yang secara automatik akan menjalankan tugas seperti yang diprogramkan. Hati kita hanya mampu merasakan solat sebagai 'ibadah biasa' yang wajib dilaksanakan.

Mungkin kita tidak seperti setengah orang yang bersolat tanpa baju atau solat dengan pakaian yang baik, harum tetapi express. Mungkin juga kita menyempurnakan solat itu dengan menjaga rukun-rukunnya, memperelokkan bacaannya bahkan kita begitu memahami nas-nas bagi setiap pergerakan kita.

Bukankah ketika Rasulullah SAW menerima bebanan dakwah yang begitu berat dan berdepan dengan tentangan yang begitu hebat, Rasulullah SAW menjadikan solat sebagai sumber kekuatan rohaninya. Bahkan sahabat-sahabatpun, yang diseksa dengan seksaan yang begitu hebat namun masih mampu mempertahankan iman mereka dan bagaimana dibina kekuatan diri yang begitu 'dahsyat'?. Jawapannya SOLAT.

Mungkin harus timbul pertanyaan pada diri kita adakah solat kita seperti solat mereka sehinggakan kita memperolehi kekuatan yang luar biasa seperti mereka? Atau mungkin kita boleh ringkaskan soalannya kepada begini: Adakah iman kita hebat seperti mereka?

Saya rasa jawapan anda semua hampir sama seperti saya. TERLALU JAUH BEZANYA bahkan kita selalu hanya mampu kagum dengan keperibadian mereka.

Mungkin juga, kita perlu tanyakan diri kita; Adakah cukup untuk jiwa kita terhenti pada KEKAGUMAN terhadap mereka? Adakah untuk KAGUM sebegitu sirah perjuangan mereka dipelihara dan dibaca?

Mungkin PERSOALAN ini mula berkembang terlalu luas. Mari kita kecilkan kembali dan balik kepada SOLAT kita.

Bayangkan solat kita seperti yang disarankan oleh Imam Al Ghazali (bukan matan kitab; Saya sebutkan berdasarkan pemahaman dan penghayatan); Kita mulakan dengan wudhu' yang sempurna. Ketika membasuh muka, kita bermunajat memohon ampun dosa-dosa mulut dan mata kita. Sambil membayangkan betapa besarnya nikmat yang Allah berikan itu dan betapa banyaknya salah guna kita dalam mensyukuri nikmatNya itu. Betapa kita lupa bersyukur dan betapa kita kufur(engkar) padaNya. Begitu juga dengan anggota wudhu' yang lain, sambil kita membasuhnya kita bermuhasabah diri dan memohon keampunanNya.

Kita bangun untuk solat. Ketika kita takbiratul ihram; Kita lalu meninggalkan segala urusan dunia yang remeh temeh. Hati kita tertunduk malu dan sedar betapa kita sedang berdepan dengan Yang Maha Kuasa. Allah yang maha Melihat bahkan mengetahui 'bima fisshudur' (apa yang ada di dalam hati kita).

Ketika kita Qiam, kita terasa seolah-olah berada di padang Mahsyar. Terbayang difikiran kita tentang herok pikuknya manusia, mataharinya sebatu diatas kepala dan manusia tenggelam dan kelemasan dalam peluh mereka masing-masing.

Kitapun membacakan al FATIHAH, betapa kita tersentuh kalimah-kalimah memuji Allah SWT, kita terasa semakin kerdil. Kita terhenti ketika menyebut 'Maliki yaumiddin', jiwa kita tidak lagi mampu bertahan, terbayangkan banyaknya dosa-dosa kita, terbayangkan kitab amalan yang akan terbang mencari tuannya, terbayang wajah-wajah yang Allah gambarkan di dalam al Quran; wajah-wajah putih dan wajah-wajah yang hitam (Ali Imran), wajah yang berseri-seri dan wajah yang bermuram durja (Al Qiyamah). Terbayang kita wajah-wajah yang tertunduk dan tidak mampu mendongakkan kepalanya (As Sajdah) dan wajah-wajah yang ketakutan dengan seribu penyesalan (Al Kahfi) LALU jiwa kita terhenti, lidah kita kaku. Kita mula mengukur dan menimbang amalan kita; ALANGKAH SEDIKIT. Lalu dengan penuh keinsafan kita mengucapkan Ya Allah; kepada Engkaulah kami sembah dan kepada Engkaulah kami pohon pertolongan.

Lalu kita tunduk ruku' dengan penuh kehinaan. Malunya kita pada keengkaran dan kelalaian kita. Malunya kita pada keangkuhan dan kesombongan kita.

Kita sujud dengan penuh khusyuk. Kita panjatkan doa, seolah-olah kita tidak mahu bangun.

Lalu kita duduk antara dua sujud dengan penuh kegembiraan; betapa Allah telah memilih kita untuk menjadi hambaNya. Betapa kita mensyukuri nikmat hidayahNya. Lalu kita bertasbih memuji Allah SWT.

Kita lalui saat-saat tahiyyat akhir dengan tersimpuh penuh kerinduan. Betapa selapas ini kita akan kembali lalai. Jiwa kita dipenuhi rasa rindu dan terasa berat untuk memberi SALAM PERPISAHAN. Terbayang kita kalau-kalau inilah saat terakhir kita.

Bayangkan jika inilah solat kita setiap hari dan setiap waktu. Iman yang bagaimana kita akan miliki? Perjuangan bagaimana yang akan kita tempuhi untuk mempertahankannya?

 

*********************************

Azmi Bahari