Showing posts with label Cinta. Show all posts
Showing posts with label Cinta. Show all posts

Wednesday, November 24, 2010

Berkapel & Displin Dalam Bertunang

Kongsi

kapel Soalan

Saya telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya. Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah kerana pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana untuk memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?
Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini

Jawapan

Tahniah, kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering dituduh sebagai ‘konservatif' dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah maha bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di dunia dan akhirat.

Justeru, jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di katakan saudari sudah ‘jatuh hati' kepada si pemuda tadi serta memasang niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun, saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari lakukan :-

1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh di fahami kepada pemuda tadi untuk membina "rumahtangga" bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk " Wanita mendedahkan / menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh" (Rujuk Kitab Nikah); juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya :

Ertinya : "telah datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda) ; berkatalah wanita itu : " Adakah dikau punyai hajat kepadaku? " ; maka anak perempuan Anas menyampuk : " Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya " ; maka Anas menjawab : " Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi SAW lalu menawarkan dirinya kepada baginda SAW" ( Sohih Al-Bukhari, 7/17 ).

Imam Ibn Hajar menegaskan tiada catatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki ( Fath al-Bari, 9/175 ).

Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi SAW ( Sohih al-Bukhari, 7/15)

2) Saudari diizinkan untuk menjemput pemuda itu ke rumah saudari bagi memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Syaratnya, mestilah dengan kewujudan ibu bapa atau ‘wali' lain di dalam majlis itu. Saudari dibenarkan untuk berada bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.

Antaranya dalilnya : "telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka Nabi bersabda : "Adakah kamu telah melihatnya? : "Belum jawabnya" ; Nabi menjawab :

Ertinya : "Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada sesuatu (tanda)" ( Riwayat Muslim).

Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin Syu'bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita : " Pergilah melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya - bagi menilai kesesuaian- (perkahwinan) kamu berdua" ( Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Hibban ; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma'arif ; Sohih menurut Albani ).

Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah, Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah, 1/206)

3) Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama, ( Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa keapda yang haram. Perihal berangan-angan saudari tadi juga bukanlah sesuatu yang baik untuk diteruskan. Nabi SAW menyatakan :

Ertinya : " Tidak dilihat (penyelesaian) bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH " ( Riwayat Ibn Majah, al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami' As-Soghir, no 7361, 4/397 cet Jahabersa).

Syeikh Al-Munawi menegaskan ubat yang terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan kasih adalah Nikah ( Faidhul Qadir, 5/294)

4) Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan, kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin' boleh membawa fitnah dengan mudah. Ia juga boleh terungkai dengan beberapa cabaran semasa pertunangan. ( Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)

5) Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau tertutup, kecuali diiringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai juga mahram lelaki yang ‘merapu' dan tidak langsung punyai ilmu tentang batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti ini, akan membiarkan maksiat berlaku di antara dua insan tadi, oleh itu individu sepertinya tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.

6) Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar suara mudah menaikkan syahwat). Bagaimanapun, saya tidak menafikan email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira secara ‘verbal' lebih mudah.

7) Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan perkara perlu ( semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga seperti berikut :-

  1. Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
  2. Haram ber"dating" dan berkapel tanpa disertai mahram yang thiqah.
  3. Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat sama ada sms, phone, chat, mesengger.
  4. Awas fitnah masyarakat sekeliling.
  5. Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
  6. Haram melihat kepada aurat masing-masing.
  7. Awas daripada bertukar gambar.
  8. Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.

Ingatlah wahai anak-anak muda sekalian, sebarang perilaku 'ringan-ringan' dan dosa yag dikerjakan dalam hubungan sewaktu pertunangan boleh memberikan serba ringkas gambaran bagaimana tingkah laku pasangan selepas berkahwin. Jika semasa berpacaran dia suka meraba-raba, demikian jugalah dia apabila sudah berkahwin kelak (kecuali sesudah dia bertaubat sebenar-benar taubat). Malangnya bukan dengan isteri atau suaminya selaku pasangannya yang halal, tetapi dengan individu lain sebagaimana tergamak dia melakukannya dengan isteri dan suaminya sebelum mereka kahwin. Baca lanjut di sini

Sekian, Wallahu'alam.

Ust Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

15 Disember 2006

Monday, October 4, 2010

Lorong Sepi

Kongsi

lorong-hitam

Wahai muslimah yang dicintai Allah, jujur aku sangat menyayangi kalian, sangat menyayangi hati kalian..

Setiap kali memandang kalian, terbayang potensi dan kebaikkan yang ada pada diri kalian, sehingga aku malu pada dirikku sendiri..

Tetapi apabila aku melihat nafsu dan syaitan menarik kalian mengikut lorong mereka, aku menjadi sangat geram dan marah, rasa kecewa dan sedih..rasa-rasa ini bukan ku tuju untuk kalian tetapi apa yang mengheret kalian ke lorong sepi itu..

Lorong sepi yang dipenuhi lopak-lopak lumpur murka Allah, najis-najis dosa yang akan mengotorkan kalian dan hati kalian yang amat aku sayangi itu..

Wahai muslimah yang amat aku cintai,

Aku tanpa kalian bukan siapa-siapa, apatah lagi apa-apa…barangkali syurga Allah takkan mahu menerimaku tanpa kalian..barangkali mahkamah Akhirat akan mensabitkan aku dengan kesalahan membiarkan saudara-saudara yang aku cintai ini ke lorong sepi itu.

Lalu, apa yang harus aku lakukan?

Aku membuka diriku untuk kalian tetapi seperti ada jurang layaknya, aku cuba mendekati kalian dengan senyumku agar kalian aman tetapi musuh Allah itu memalingkan muka kalian dari melihatku, justeru bagaimana harus aku lakukan?

Aku bukan hambaNya yang baik tanpa kalian, aku bukan yang solehah tanpa kalian..

Aku tidak bisa mengubah nafsu yang menarik kalian, sedangkan nafsu ku sendiri aku memohon bantuan Ar-Rahman untuk diselia dan dijaga..

Hanya yang mampu kulakukan saat ini tika ini untuk menjadi hamba yang baik dan untuk kalian yang sangat aku cintai, hanyalah doa…doa ..dan doa..

Sungguh aku malu dengan doaku yang tidak seberapa ini..tetapi aku amat mengharap Allah menerimanya..

Maafkan aku..

*************************************

sumber : Musleem Thinker

Wednesday, September 29, 2010

Cinta, Oh Cinta!

Kongsi

cinta , oh cinta

Kehidupan ini rasanya tak pernah dapat dilepaskan dari apa yang dinamakan ‘cinta’. Dengannya menjadi semarak dan indah dunia ini. Lihat saja, bagaimana seorang sang ayah begitu bersemangat dalam aktiviti hariannya mencari nafkah, tak lain kerana dorongan cintanya terhadap anak dan isterinya. Seorang yang lain pun begitu semangatnya mengumpul harta kekayaan, kerana sebuah dorongan cinta terhadap harta benda, demikian pula mereka yang cinta kepada kedudukan, akan begitu semangat meraih cintanya.

Itu semua adalah beberapa contoh dari berjuta cinta yang ada. Meskipun kesan yang banyak difahami orang tentang cinta, identitinya dengan apa yang terjadi antara seorang pemudi dan pemuda. Padahal cinta tak hanya sebatas itu saja.

Ternyata masalah cinta memang tidak sederhana. Ada cinta yang bernilai agung lagi utama, namun ada pula cinta yang haram dan tercela. Cinta sendiri kalau dilihat menurut islam, maka dapat dikategorikan menjadi tiga bentuk. Kita semestinya tahu tentang model cinta tersebut untuk kemudian mampu memilih mana cinta yang mesti kita lekatkan di hati, mana pula cinta yang mesti kita tinggalkan sejauh-jauhnya.

Cinta kepada Allah
Cinta model ini adalah cinta yang paling utama. Bahkan kata ulama kita, cinta kepada Allah adalah pokok dari iman dan tauhid seorang hamba. Kerana memang Allah sajalah satu-satunya dzat yang patut diberikan rasa cinta.

Nyatalah bahawa cinta kepada Allah adalah puncaknya. Ia adalah yang tertinggi, paling agung dan paling bermanfaat. Begitu bermanfaat cinta kepada Allah ini, sehingga tangga-tangga menuju kepadanya pun merupakan hal-hal yang bermanfaat pula. Diantaranya berupa taubat, sabar dan zuhud. Apabila cinta diibaratkan sebuah pohon maka ia pun akan menghasilkan buah-buah yang bermanfaat seperti rasa rindu dan ridha kepada Allah.

Mengapa kita mesti cinta kepada Allah ? Banyak sekali alasannnya. Diantaranya adalah kerana Allah lah yang memberikan nikmat kepada kita, bahkan segala nikmat. Sedangkan hati seorang hamba tercipta untuk mencinta orang yang memberikan kebaikan kepadanya. Kalau demikian, sungguh amat perlu apabila seorang hamba cinta kepada Allah, kerana Dialah yang memberikan semua kebaikan kepada hamba.

“Dan apa-apa nikmat yang ada pada kalian , maka itu semua dari Allah”
(QS Al Baqarah : 165)

Seorang hamba di setiap pagi dan petang, siang dan malam selalu berdoa, memohon dan meminta pertolongan kepada Allah. Dari doa tersebut kemudian Allah memberikan jawaban, menghindarkan hamba dari bahaya, memenuhi keperluan hamba tadi. Keterikatan ini mendorong hati untuk mencinta kepada dzat tempat ia bermohon.

Setiap insan pun tak lepas dari dosa dan kesalahan, maka Allah selalu membuka pintu taubat kepada hamba tadi, bahkan Allah tetap memberikan rahmah meski hamba kadang tidak menyayangi dirinya sendiri. Kebaikan-kebaikan yang dibuat hamba, tak ada sesuatu pun yang mampu diharap untuk memberi balasan dan pahala kecuali Allah semata.

Terlebih lagi, Allah telah menciptakan hamba, dari sesuatu yang tak ada menjadi ada. Tumbuh, berkembang dengan rezeki dari Allah Ta’ala. Maka ini menjadi alasan kenapa hamba semestinya cinta kepada Allah.

Cinta memang menuntut bukti. Tak hanya sekadar ucapan, seperti pepatah orang arab ’semua orang mengaku punya hubungan cinta dengan Laila namun si Laila tak pernah mengakuinya’. Dan wujud cinta ilahi dibuktikan dengan mengikuti sunah nabi dan juga berjihad di jalan Allah Ta’ala.

“Katakanlah apabila kalian cinta kepada Allah maka ikutilah aku (Rasulullah) maka Allah akan mencintai kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian” (QS Ali Imran : 31)

Cinta kerana Allah / cinta di jalan Allah
Cinta kerana Allah tentu saja mengikuti cinta yang pertama. Seperti dalam kehidupan, ketika kita cinta kepada seseorang maka apa yang dicintai oleh orang yang kita cinta pun kita sukai pula. Cinta kerana Allah adalah cinta kepada ‘person’ yang dicinta Allah seperti para nabi, rasul para sahabat nabi dan orang-orang shalih. Cinta kerana Allah jua berujud cinta kepada perbuatan soleh seperti solat, puasa zakat, berbakti kepada orang tua, memuliakan tetangga, berakhlaq mulia, menuntut ilmu syar’i dan segala perbuatan baik yang lain. Dengan demikian, ketika seoarng muslim mencinta seseorang atau perbuatan maka ia punya sebuah barameter “apakah hadir pada perbuatan mahupun orang tadi hal yang dicinta Allah”.

Bagaimana kita tahu kalau suatu perbuatan dicinta Allah? Jawabnya adalah, apabila Allah perintahkan atau diperintahkan Rasulullah berupa hal yang wajib maupun yang sunnah(mustahab).
Cinta yang disyariatkan diantaranya adalah cinta kepada saudara seiman

“Tidak beriman salah seorang diantara kalian sampai mencintai saudaranya sesama muslim sebagaimana mencintai dirinya sendiri” (HR Bukhari dan Muslim)

Cinta ini bermanfaat bagi pelakunya sehingga mereka layak mendapatkan perlindungan Allah di hari tiada perlindungan kecuali perlindungan Allah saja.

Cinta bersama Allah
Kecintaan ketiga ini adalah cinta yang terlarang. Cinta bersama Allah bererti mencintai sesuatu selain Allah bersama kecintaan kepada Allah.

Membahagi cinta, adalah model cinta yang ketiga ini. Kecintaan ini hanyalah milik orang-orang musyrik yang mencintai sesembahan-sesembahan mereka bersama cinta kepada Allah. Seperti firman Allah:

“Dan diantara manusia ada yang menjadikan selain Allah sebagai tandingan-tandingan, yang mereka mencintai tandingan tadi sebagaimana mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat besar cinta mereka kepada Allah “ (QS Al Baqarah : 165)

Kecintaan ini dapat ditujukan kepada pohon, berhala, bintang, matahari, patung , malaikat, rasul dan para wali malahan kekasih hati apabila kesemuanya dijadikan pujaan dan igauan selain Allah.

Justeru bagaimana cinta kita kini…. terhadap ilmu, masa depan, islam, harta, pakaian, perkahwinan dan kepada hal yang berhubungan dunia ? Cinta yang seperti ini adalah cinta yang disebut sebagai “cinta thabi’i” cinta yang sesuai dengan tabiat ertinya wajar-wajar saja. Apabila mengikuti kecintaan kepada Allah, mendorong kepada ketaatan maka ia bermuatan ibadah. Sebaliknya bila mendorong kepada kemaksiatan maka ia adalah cinta yang tercela dan terlarang.

**********************************

sumber :Remaja Haluan

Saturday, September 18, 2010

Nikah Khitbah (gantung) Boleh Mencegah Penzinaan

Kongsi

nikah gantung Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini , Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " Taysir az Ziwaj " dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

Taysir Az Ziwaj ialah " Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :

dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui .

An Nuur : Ayat 32

Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [ zina ]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :

  • Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
  • Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
  • Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
  • Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
  • Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
  • Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
  • Merendahkan hantaran perkahwinan

Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :

  • Suami
  • Isteri
  • Wali
  • Saksi
  • Aqad [ Ijab Qabul ]

Cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :

  • Masih menuntut di kolej atau uniersiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga

Justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling ditakuti.

Disediakan Oleh

Ust.Nasruddin Hassan At Tantawi

Ketua Pemuda

Dewan Pemuda PAS Pusat

Sunday, September 12, 2010

Dakwah Dengan Hikmah

Kongsi

muhamd “ Serulah (manusia) kepada jalan Rabb-mu dengan Hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Rabb-mu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS. An-Nahl:125)

Di sudut pasar kota Madinah ada seorang pengemis buta yang setiap hari selalu berkata kepada orang yang mendekatinya,” Wahai Saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya”.

Meskipun demikian, setiap pagi Rasulullah Muhammad Shalallahu’alahi wa Sallam selalu mendatanginya dengan membawakan makanan untuknya, dan tanpa berucap sepatah katapun Rasulullah menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu. Pengemis itu tidak mengetahui bahwa yang menyuapinya adalah Rasulullah dan tetap saja dia mencaci maki beliau dihadapannya.

Rasulullah Shalallahu’alahi wa Sallam melakukan hal tersebut setiap hari sampai beliau wafat. Setelah wafatnya Rasulullah tidak ada lagi orang yang membawakan makanan dan menyuapinya disetiap pagi kepada pengemis itu.

Hingga suatu hari, sahabat terdekat Rasulullah yaitu Abu Bakar Radhiallahu’anhu berkunjung kerumah anaknya Aisyah Radhiallahu’anha yang juga merupakan istri Rasulullah dan bertanya,” Anakku, adakah kebiasaan Rasulullah yang belum aku kerjakan?”. Aisyah menjawab,” Wahai ayah, engkau adalah seoarang ahli sunnah dan hampir tidak ada kebiasaan Rasulullah yang belum ayah lakukan kecuali satu saja”. “Apa itu?”,Tanya Abu Bakar.” Setiap pagi Rasulullah berkunjung kepasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis buta yang ada disana”, Kata Aisyah.

Keesokan harinya Abu Bakar Radhiallahu’anhu pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu bakar mendatangi pengemis itu lalu memberikan itu kepadanya. Ketika Abu Bakar mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil menghardik,” Siapa kamu?”. Abu Bakar menjawab,”Aku orang yang biasa.” “ Bukan! Kamu bukan orang yang biasa mendatangiku”, Bantah si pengemis buta itu. “ Apabila ia datang tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut setelah itu ia berikan kepadaku”, pengemis itu melanjutkan perkataanya.

Abu Bakar Radhiallahu’anhu tidak dapat dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis tadi,” Aku memang bukan orang yang biasa datang kepadamu. Aku adalah salah seorang sahabatnya. Orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah Shalallahu’alahi wa Sallam.”

Seketika itu juga sang pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abu Bakar dan berkata,” Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memakinya, memfitnahnya dan ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia.”

Pengemis itupun akhirnya bersyahadat di hadapan Abu Bakar Radhiallahu’anhu dan sejak saat itu pula dia menjadi muslim.

Itu adalah cerita sang Teladan kita Rasulullah Shalallahu’alahi wa Sallam orang terbaik di muka bumi ini. Bagaimana Anda? Apa yang sudah Kita lakukan? ^_^

sumber; an-naba

Wednesday, September 8, 2010

Dalam Menggapai Redha Allah…

Kongsi

redha Hati kita belum boleh tenang walaupun kita sudah mendidik anak-anak dengan baik di rumah. Berapa ramai ibu bapa yang baik-baik, tapi memiliki anak yang punah. Agak merungsingkan juga apabila didapati sebahagian daripada anak-anak gadis yang dihantar ke tempat-tempat perlindungan bagi wanita terlanjur adalah anak kepada ibu bapa yang beragama dan berpendidikan.

Kepincangan dalam sistem pendidikan, bahana media bobrok yang semakin canggih, pengaruh rakan sebaya serta kelemahan dalam didikan anak mungkin antara punca yang menyebabkan anak-anak terjebak dengan mungkar zina.

Dalam siri yang lepas, saya telah mengulas beberapa aspek pendidikan berkaitan hubungan pergaulan dalam Islam. Kurangnya kepekaan ibu bapa dalam ilmu batas-batas pergaulan dalam Islam, kadang-kadang turut menjadi penyebab menularnya wabak zina dalam masyarakat. Tidak kurang ibu bapa yang gagal memahami perkembangan psikologi dan biologi anaknya sendiri dan tidak menyedari tarikan persekitaran yang kuat yang mengajak anak-anak muda ke arah perzinaan. Bahkan lebih malang lagi, zina yang termasuk dalam dosa besar itu, kadang-kadang dianggap remeh oleh sesetengah ibu bapa lantaran ceteknya kesedaran Islam.

Gejala seks yang meruncing…

Pengaruh bahaya zina pada hari ini begitu meruncing. Hari ini terdapat segelintir anak-anak gadis di bangku sekolah yang berasa malu dan tersisih dengan kawan-kawannya jika masih belum ada pengalaman tidur dengan lelaki. Ada dari kalangan mereka pula yang telah mula berjinak dengan budaya seks sejak dari sekolah rendah. Di kalangan remaja lelaki pula, mereka yang terlibat dengan gejala seks sehingga mengunjungi pusat-pusat pelacuran. Kerap kali juga kita mendengar remaja-remaja lelaki dan wanita hari ini tinggal serumah bercampur bebas mengadakan pesta seks. Malah ada di kalangan mereka yang sudah tingal bersama seolah-olah seperti pasangan suami isteri walaupun tanpa apa-apa ikatan yang sah.

Gejala hodoh seks bebas ini kononnya berpijak di atas perasaan cinta yang suci murni. Kotak fikiran anak-anak muda diisi dengan propaganda cinta yang dianggap sebagai satu perasaan murni yang mendekatkan antara lelaki dan wanita serta menghalalkan apa sahaja bentuk hubungan fizikal.

Sejak dari pra sekolah hingga ke menara gading, anak-anak kita hari ini dicandukan dengan pemikiran cinta bebas ala-Barat ini, melalui segala wahana promosi seperti kartun animasi, iklan, filem, drama, computer game, novel dan lain-lain. Kebobrokan tata budaya dan kehancuran institusi keluarga di Barat itu seolah-olahnya mahu diimport seluruhnya bagi menjangkiti masyarakat Islami di sini. Sedangkan bagi Islam, soal zina dan penjagaan keturunan merupakan soal besar yang perlu ditangani dengan penuh berhemah.

Bahkan dalam sebuah Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w mengaitkan zina dengan iman, mafhumnya: “Tiada berzina seorang yang berzina sedang dia seorang yang beriman”.

Dekat pun tak boleh!

Allah SWT bukan sahaja mengharamkan zina, bahkan melarang umat Islam mendekati zina. Ini bermakna segala bentuk tindakan yang boleh mendekatkan seseorang itu dengan zina dikira sebagai dosa dan maksiat. Bahkan dalam satu hadis, perkara-perkara yang membawa kepada zina ini juga dinamakan sebagai zina dalam konteks yang lebih luas. Ini bermakna terdapat zina mata, zina telinga, zina mulut, zina pada wangian dan lain-lain.

Seseorang lelaki dianggap melakukan dosa zina mata apabila melihat wanita dengan penuh ghairah dan bernafsu kerana berbuatan itu menghampirkan kepada zina hakiki. Demikian juga wanita yang melihat lelaki dengan perasaan yang sama. Serupa juga dengan wanita atau lelaki yang sengaja menggayakan pakaian, diri atau wangi-wangian dengan hasrat untuk menarik perhatian dan menggoda perasaan orang lain.

Selain itu, Islam amat menjaga soal akhlak-akhlak mulia yang perlu diamalkan agar tidak terjebak dalam pergaulan bebas berlainan jantina. Sebenarnya pergaulan bebas inilah yang menjadi permulaan kepada masalah zina sebenar. Budaya keluar dating, berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna, berkawan bebas lelaki wanita dan sebagainya mendorong kepada zina. Jika ibu bapa dapat mengawal gejala ini sejak awal lagi, maka ia telah dapat menutup satu pintu besar ke arah zina.

Rejam yang menggerunkan

Hukuman rejam bermakna melemparkan batu ke arah pesalah zina sehingga dia meninggal dunia. Batu yang bersaiz sederhana dilempar dengan kuat ke arah pesalah zina oleh mereka yang disekelilingnya secara bertubi-tubi sehingga dia meningal dunia. Hukuman ini dikenakan ke atas penzina muhsan atau yang pernah berkahwin. Hukuman ini memang keras dan menakutkan. Kekerasan hukum ini menunjukkan betapa zina merupakan satu dosa yang amat besar dan penyakit yang serius.

Bagi pesalah yang bukan muhsan pula, Islam menetapkan hukuman sebat sebanyak 100 kali. Kedua-dua hukuman ini ditetapkan oleh Allah bagi menghapuskan kesalahan zina dari akar umbi. Islam amat mengambil berat soal maruah, kehormatan dan keturunan kerana ia menjadi asas kepada kekuatan sesuatu masyarakat.

Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengingatkan anak-anak agar sentiasa menjauhi perbuatan zina. Mereka perlu difahamkan tentang betapa besarnya kesalahan zina di sisi Allah. Rasulullah s.a.w bersabda (riwayat al-Bukhari):

“Tidak halal darah seorang muslim yang mengucap ‘tiada Tuhan melainkan Allah dan aku ini Rasulullah’, kecuali kerana tiga perkara iaitu: Penzina yang telah berkahwin, membunuh balas nyawa dengan nyawa dan orang yang meninggalkan agamanya dan meninggalkan jemaah (kaum Muslimin).”

Derita berpenyakit

Dr Abdullah Nasih ‘Ulwan, menyebut bahawa zina bukan sahaja mendatangkan kemurkaan Allah, bahkan membawa kecelakaan yang besar sepanjang hidup seperti penyakit-penyakit kronik serta bahaya sosial, moral dan rohani. Mereka yang melakukan zina akan terjebak dengan pelbagai penyakit seperti AIDS, sifilis, penyakit saluran kencing, jangkitan di anggota kemaluan.

Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w (riwayat Ibn Majah dan Al-Baihaqi):

“Wahai Muhajirin! Lima perkara jika kamu ditimpa balanya, sedang aku berlindung diri daripada Allah agar kamu tidak ada di waktu itu…tiada muncul zina yang dilakukan secara terang-terangan dalam sesuatu kaum, melainkan akan merebaknya penyakit taun dan penyakit yang belum pernah dikenali sebelumnya.”

Kesimpulannya, zina merupakan satu penyakit masyarakat yang melanda dunia hari ini. Umat Islam yang sentiasa berpegang bahawa zina sebagai satu dosa besar perlu berusaha sedaya upaya untuk menghindari wabak yang datang dari Barat ini. Ibu bapa sebagai manusia yang paling hampir dengan anak-anak perlu mendidik anak-anak memahami bahaya zina dan perbuatan yang dapat menghampiri zina. Anak-anak perlu difahamkan tentang besarnya kemurkaan Allah ke atas penzina dan mereka yang hidup dalam budaya zina.

Sumber - http://www.almuslimah.com.my/?p=177

diambil dari: http://muslimteenagers90.blogspot.com/

Thursday, August 12, 2010

Bahagia?

Kongsi

SESUNGGUHNYA, kebahagiaan adalah dambaan setiap manusia yang menghuni dunia ini. Sebab itu setiap orang sentiasa berusaha untuk mencari dan mendapatkan kebahagiaan dengan pelbagai cara.

Namun tidak semua manusia mampu mencapai impiannya atau memperoleh kebahagiaan yang dicari dan yang dicita-cita itu.

Lalu, di manakah terletaknya kebahagiaan itu? Apakah pada wang yang banyak, harta yang melimpah, emas yang bertimbun atau pada pangkat, bangsawan atau kerusi yang empuk?

Dalam hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan kepada manusia, iaitu (memiliki) perempuan (isteri) yang solehah, rumah yang bagus (luas), jiran yang baik, dan kenderaan yang bagus.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Berdasarkan hadis ini, ada empat faktor atau kunci yang jika dimiliki oleh seseorang, tentu dia akan merasai nikmat bahagia.

Namun tidak bererti hanya yang empat itu saja faktor yang membawa kebahagiaan. Apa yang Rasulullah nyatakan menerusi hadis itu hanyalah sekadar menunjukkan keutamaannya.

Rasulullah meletakkan isteri yang baik pada urutan pertama sebagai faktor kebahagiaan seseorang. Isteri yang solehah akan memberikan ketenangan kepada suami.

suami-isteri-247x300 Rumah ibarat syurga jika memiliki isteri yang solehah. Antara sifat isteri solehah ialah hormat dan patuh kepada suami sepanjang suami mengikuti jalan kebenaran, melayan suami dengan baik dan penuh sopan, sentiasa menutup aurat, memasak dan menghidangkan makan minum untuk suami, mendidik anak-anak agar anak juga terselamat daripada godaan duniawi, bersikap mesra dalam berhubungan dengan kaum keluarga, menjaga rahsia rumah tangga, tidak keluar rumah tanpa izin suami dan banyak lagi sifat lain.

Allah melukiskan menerusi al-Quran mengenai sifat isteri yang solehah, menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Maka perempuan-perempuan yang baik (solehah) itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipeliharanya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya.”(Surah an-Nisaa’ ayat 34).

Ibnu Abbas mengemukakan dua ciri khas mengenai pengertian as-solehah (isteri yang soleh) iaitu mempunyai perilaku baik (berakhlak/sopan) terhadap suami, dan mengerjakan perbuatan kebajikan.

Makna isteri setia dalam ayat itu ialah patuh dan jujur terhadap suami kerana Allah.

Seterusnya, Nabi Muhammad memperincikan tiga sifat isteri solehah, menerusi sabda yang bermaksud: “Sebaik-baik perempuan (isteri) ialah yang menggembirakan engkau sewaktu engkau melihatnya; yang patuh apabila kamu perintahkan dia (dalam hal kebaikan); yang menjaga dirinya dan harta milikmu semasa ketiadaanmu di rumah.”

Isteri yang menggembirakan suami atau yang bermuka manis bukan bermakna wajah cantik semata-mata. Biar wajah kurang menarik, tetapi jika selalu menguntum senyum, tinggi pekerti, memancar dari keningnya cahaya iman dan keikhlasan, itulah isteri solehah yang meriangkan suami.

Isteri walaupun cantik, tetapi jika wajahnya selalu mencuka, buruk pekertinya, kening selalu berkerut, tidak akan dapat memikat hati suami.

Demikianlah juga halnya dengan soal patuh dan memelihara amanah suami yang Nabi utarakan dalam hadis ini.

Selain faktor isteri, rumah yang luas, bagus atau indah juga akan memberi kebahagiaan kepada penghuninya.

Bagaimanapun, kebahagiaan dengan memiliki rumah yang besar dan indah itu akan tercapai sepenuhnya jika disertai dengan hati yang tenang dan damai. Jika hati tidak tenteram, rumah yang luas dan indah akan terasa sempit dan tidak akan merasa bahagia.

Rumah adalah tempat berteduh malah menjadi syurga bagi mereka yang beriman. Di rumah juga seseorang akan memperoleh ketenangan dan kebahagiaan, apalagi jika didampingi isteri solehah.

Jika rumah diibaratkan istana, maka suami adalah raja, isteri solehah adalah ratu dalam rumah tangga, manakala anak-anak adalah rakyat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Allah menjadikan untuk kamu rumah sebagai tempat tinggal (tempat ketenangan).” (Surah an-Nahl, ayat 80).

Jiran yang baik juga menjadi faktor penting kebahagiaan. Seseorang akan merasa sangat bahagia jika mempunyai jiran yang baik budi, murah hati, dermawan, saling menghormati, bertolak ansur, suka menolong dan memberi perhatian.

Jiran baik tidak akan memberi sebarang gangguan kepada kita, sama ada melalui perbuatan mahupun lisan atau ucapan; dan tidak merasa irihati dengan kelebihan yang dimiliki kita.

Malah, jiran yang baik akan tumpang gembira dan mengucapkan tahniah dengan kejayaan yang kita peroleh, dan menghulurkan pertolongan jika kita ditimpa sesuatu musibah.

Oleh itu, sekiranya kita memperoleh jiran jenis ini, kita harus memiliki sifat sedemikian kepada orang lain yang menjadi jiran, agar mereka turut merasa bahagia seperti mana kita rasai.

Kenderaan yang bagus juga adalah faktor kebahagiaan. Setiap orang mengidamkan kenderaan yang bagus atau baru, seperti kereta, motosikal dan sebagainya.

Sifat manusia memang suka kepada kebendaan. Kenderaan yang baru atau bagus akan dapat membawa seseorang ke merata tempat yang disukainya tanpa memikirkan soal kerosakan dan sebagainya, berbanding dengan kenderaan yang lama atau buruk yang mana tiada jaminan keselesaan sepanjang perjalanan.

Namun dalam soal kenderaan ini, orang beriman harus berwaspada atau berhati-hati, iaitu agar tidak sampai kenderaan itu memperbudak atau seolah menjadi ’tuan’ kepadanya.

Sudah kebiasaan bahawa kenderaan yang baru atau bagus itu akan sentiasa diberi perhatian oleh pemiliknya, seperti selalu dibasuh, diperiksa atau dibersihkan. Bagaimanapun, janganlah sampai semua urusan itu melebihi tumpuan untuk beribadat kepada Allah.

Apabila kenderaan lebih diutamakan daripada diri sendiri, bermakna kenderaan itu sudah menjadi tuan yang memperbudakkan pemiliknya sendiri.

Kenderaan yang bagus tidak semestinya baru. Ia adalah nikmat Allah yang harus dimanfaatkan untuk kebaikan seperti lebih rajin beribadat di masjid, mengunjungi majlis ilmu atau membawa keluarga beristirehat. Janganlah hendaknya ia digunakan untuk kerap ke tempat maksiat atau melakukan perbuatan yang tidak diredhai Allah.

************************************************************

Drs Wan Aminurrashid

Wednesday, August 11, 2010

benarkah anda mahukan suami soleh?

Kongsi

PASANGAN ''Semoga dikurnia suami soleh yang boleh membimbing saya dunia dan akhirat"

Jawapan begini biasa diberikan gadis yang bakal mendirikan rumahtangga ataupun pengantin baru. Kebanyakan wanita jika diajukan mengenai jodoh mahukan suami soleh. Tetapi, apakah suami yang diidamkan itu, benar-benar memenuhi keperluan wanita?

Cuba kita jenguk apa yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga selepas doa si gadis untuk mendapatkan 'lelaki soleh' mungkin sudah dimakbulkan Allah.

Lelaki yang soleh amat takut kepada Allah. Salah satu bukti ketakutannya kepada Allah ialah mengerjakan solat. Jadi lelaki yang soleh akan menyuruh, malah kekadang sehingga menyuruh, malah memaksa isterinya solat. Tetapi ada isteri yang liat untuk solat, sedangkan sebelum kahwin dia kata dia mahukan suami yang soleh.

Sedang si isteri sedap tidur di waktu malam, si suami kejutkan suruh solat tahajud."Apalah suamiku ini?" rungut si isteri. Dulu si gadis mahukan lelaki soleh, tetapi selepas dapat lelaki soleh yang kejutkan si isteri untuk solat tahajud, dia marah-marah pula.

Lelaki yang soleh amat taat kepada Allah. Islam mewajibkan wanita tutup aurat. Jadi suami yang soleh tidak akan benarkan isterinya keluar rumah atau mengenakan pakaian sesuka hati. Atau berhias dan bermekap tebal. Suami yang soleh akan memastikan si isteri tutup aurat. Tetapi ada isteri kurang senang dengan perkara begini. Bukankah dulu, anda berdoa untuk mendapat suami yang soleh, tetapi bila dimakbulkan anda bantah pula cakapnya!

Suami yang soleh tidak akan duduk di rumah sahaja - 'berada di bawah ketiak isteri sepanjang hari'. Ini kerana jihad fisabilillah adalah antara program lelaki soleh. Dia akan sentiasa keluar untuk berjuang. Sama juga dengan mencari rezeki halal, sehingga kadang-kadang balik lewat malam. Ini lagi tak disukai wanita. Jika dulu anda dambakan suami soleh, bila dah dapat, cara hidupnya pulak yang tak anda sukai.

Lelaki yang soleh juga akan menjadikan masjid sebagai 'rumah keduanya'. Ini pun ada wanita tak suka, asyik-asyik ke masjid aje, kata mereka. Lelaki yang soleh amat taat kepada kedua ibubapanya. Malah, baktinya kepada ibubapanya melebihi kepada isteri. Ini menyebabkan sesetengah isteri amat cemburu. Dulu anda mahukan lelaki yang soleh (amat taat kepada ibunya), bila dah dapat, anda marah pula! Macamana doa anda dulu??

Lelaki yang soleh juga tidak hidup bermewah-mewah. Wangnya yang banyak dihabiskan dalam perjuangan. Dia pun takut terima rasuah dan segala macam duit haram. Jadi dia tak dapatlah beri barang-barang mewah seperti rumah besar, kereta besar dan rantai berjela kepada isteri dan keluarganya. Dalam perkara ini pun ada isteri yang tak gemar. Jika dulu doa mahukan suami soleh, tetapi sekarang tidak suka pula sikapnya.

Lelaki yang soleh mahu menjauhkan diri daripada maksiat. Dia buat yang halal sahaja. Salah satu perkara yang halal ialah kahwin empat. Ini memang mana-mana perempuan pantang, malah membenci suaminya kahwin lagi.Bukankah dulu anda mahukan lelaki yang soleh?

Demikian banyaknya perkara yang tidak disukai oleh isteri, walaupun doanya dulu mahu mendapat suami yang soleh. Berdasarkan kriteria yang dibincangkan di atas, jelaslah suami yang soleh tidak dapat memberikan sebahagian besar daripada kehendak duniawi si isteri. Si isteri tak perlulah mengeluh, sebaliknya bersyukur kerana doa untuk mendapatkan suami yang soleh, mungkin telah dimakbulkan Allah. Ingatlah, isteri-isteri Rasulullah s.a.w. sendiri pernah ditawarkan pilihan dunia (kesenangan) atau akhirat. Akhirnya mereka memilih akhirat.

Saturday, July 17, 2010

Bukti Cinta kepada Kekasih

Kongsi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, Anak- anak Siswa dan siswi yang di rahmati. Apabila memperkatakan cinta tentunya suatu yang indah dan penuh dengan kemanisan, hanya orang yang dilamun cinta sahaja akan dapat merasai dan untuk menceritakan mungkin sukar akan dipahami bagi orang yang belum melaluinya. Berbagai-bagai perasaan yang ada ketika bercinta namun yang positive sentiasa mengatasi segala perasaan lain. Pengorbanan adalah lambang bagi cinta yang agung, tiada rasa takut, tiada rasa bimbang, tiada rasa keletihan bagi melindungi atau memberikan yang terbaik buat yang dicintainya.

cinta-allah Bagaimana perasaan cinta kita kepada ALLAH SWT? Kita dalam satu perjalanan untuk memilih cinta, apakah kita telah melakukan suatu keputusan untuk memilih cinta Allah swt didalam kehidupan ini? Tanpa kita memilih masa terus berlalu dan akhirnya masa yang kita ada semakin berkurangan dan kita tidak kesempatan untuk membuktikkan cinta kita kepada Alllah swt, bukan berapa lama kita bercinta yang penting tetapi apakah selepas kita melakukan keputusan untuk benar-benar bercinta kita dapat melakukan dengan sebaik mungkin dengan sepenuh hati dan keikhlasan kepada Allah swt.

Mungkin sukar untuk merasakan akan penyerahan yang sebenar-benarnya atas dasar cinta yang tulus untuk mendapat keredaan dari Allah swt. Cinta itu akan menyebabkan kita tiada kebebasan didalam pilihan kita, kita terasa setiap detik dan masa yang berlalu akan terfikir apakah yang boleh ku lakukan bagi mendapat keredaaNya, terasa akan sentuhan dan kata-kataNya melalui Al Quran, merasai kemanisan dan sentiasa kegembiraan kerana janji yang benar. Kehidupan ini seperti suatu perjalanan yang ternanti-nanti bilakah akan berakhirnya kerana tidak sabar untuk menemui kekasih dengan membawa apa sahaja yang mungkin untuk membuktikan cinta.

Setiap saat yang berlalu sungguh besar ertinya kerana setiap saat perlu untuk melakukan pengorbanan bagi menyediakan diri agar sentiasa dikasihi, tidak sanggup terputus dengan pandangan, tidak sanggup melakukan sesuatu yang akan menyebabkan kekasih membenci, tidak sanggup berpisah kerana segalanya adalah demi yang tercinta. Adakah ini perasaan laila majnun? Mungkinkah pencarian ini dapat dilakukan oleh manusia hari ini? Adakah kita mampu mendapatkan segala-galanya sekiranya kita tidak bermula sekarang melihat kitab Al Quran yang merupakan sumber segala kebenaran bagi kehidupan dunia dan akhirat.

Sekiranya hari ini kita bermula untuk melihat satu ayat Al Quran dan merenung dengan teliti, kita perlukan 22 tahun 22 hari untuk menelitinya, (ayat alquran = 6666 atau 6620 ayat) sekiranya kita menghafal satu ayat sehari mungkin setelah 22 tahun nanti kita akan menjadi orang yang menghafal Al quran. Namun masa tetap berlalu, 22 tahun tetap akan mendatang dan adakah mungkin kita dapat melakukannya bergantung sejauh mana kita benar-benar mencari cinta abadi Allah swt didalam kehidupan kita. Allah hu alam

*********************************************

Prof Madya Dr. Asmawati Desa
Petikan dari : Haluan Siswa