Saturday, August 28, 2010

Berdusta Terhadap Nabi atau Berdusta “Untuk” Nabi?

Kongsi
2747

 

Bismillah ar-Rahmaan ar-Raheem.

Sabda Nabi Sallallahu ‘alayhi wa Sallam:

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

 “Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api Neraka”

Hadith di atas diriwayatkan oleh lebih 70 sahabat secara langsung dari Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan ia merupakan contoh paling tepat berkenaan dengan Hadith Mutawatir, iaitu hadith yang diriwayatkan oleh sekumpulan perawi dengan jumlah yang tidak masuk akal mereka itu boleh berpakat untuk menipu atau melakukan kesalahan terhadap periwayatan tersebut.

Memang menggerunkan, untuk kita berfikir tentang adanya perbuatan seseorang yang mendustakan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Berdusta terhadap baginda, merupakan suatu keingkaran yang memanifestasikan kekufuran dan kedegilan manusia untuk tunduk kepada hidayah dan penyerunya.

Mungkin di dalam senarai bayangan kita, golongan musyrikin Mekah menjadi pelopor golongan ini. Mereka menolak seruan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, bahkan melemparkan pula kepada Baginda tuduhan-tuduhan jahat seperti ahli sihir dan orang gila. Atau mungkin yang terpampang di kefahaman kita, bahawa yang mendustakan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu adalah mereka yang mengeluarkan kata-kata yang keji untuk mendatangkan kemudaratan kepada Islam dan pengikutnya. Mereka inilah yang dengan sengaja berdusta ke atas Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan mereka inilah yang berhak ditimpakan amaran yang tegas oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam di dalam Hadith yang disebut sebentar tadi.

Ya, memang tidak dinafikan bahawa perbuatan golongan musyrikin dan kuffar serta ahli zindiq dan nifaq itu adalah pendustaan ke atas Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Mereka menolak dakwah Baginda, mereka mengenepikan semua seruan yang disampaikan oleh Baginda, sedangkan semua seruan itu hanyalah untuk kebaikan mereka dan manusia sejagat. Justeru, tidaklah sukar untuk kita membuat justifikasi terhadap kedudukan mereka sebagai pendusta, yang berdusta lagi tercela.

Namun, di sana terdapat segolongan manusia yang di sepanjang rentetan sejarah keilmuan Islam, berdusta ke atas Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan cara yang halus, bahkan disangkakan sebagai jalan taqarrub kepada Allah.

Sejarah telah memperlihatkan kepada kita bagaimana semenjak umat dicengkam oleh fitnah kehuru-haraan pengikut Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi dari Yaman yang mencucuk jarum permusuhan secara halus di zaman Uthman bin Affan RA, timbul pelbagai golongan dan kumpulan yang saling bermusuhan. Syiah yang ‘memaksa’ Saidina Ali RA menerima sokongan mereka, bertembung dengan golongan Khawarij.

Bermula sebagai perpecahan yang didorong oleh pendirian siasah, merebak dan melarat sehingga membawa kepada kacau bilau Aqidah dan kepercayaan. Pengikut bagi kumpulan masing-masing tanpa segan silu mereka-reka riwayat palsu dan kemudian menisbahkannya kepada Rasulullahsallallaahu ‘alayhi wa sallam. Riwayat-riwayat tersebut diguna pakai sebagai dalil untuk mensabitkan kelebihan pemimpin masing-masing.

Bagi penentang Muawiyah, mereka mempopularkan ‘hadith’ “Apabila kamu melihat Muawiyah di atas mimbarku, maka bunuhlah dia” dan bagi mereka yang menyokongnya, membalas pula dengan ‘hadith’ “Pemegang amanah adalah kami bertiga; aku (Rasulullah), Jibril dan Muawiyah”. Begitu juga dengan riwayat palsu “Tidak ada pokok di dalam syurga melainkan daun-daunnya tertulis – Laa Ilaaha Illallaah, Muhammad Rasulullah, Abu Bakr as-Siddiq, Umar al-Farouq wa Uthman Dzu an-Nurain”.

Ini adalah salah satu punca utama yang membawa kepada timbul dan tersebarnya hadith maudhu’ (palsu).

MOTIVASI DENGAN MENDUSTAKAN NABI

Akan tetapi yang menjadi suatu kemalangan bagi kita, adalah apabila golongan ‘pendakwah’ atau ahli Targheeb dan Tarheeb di zaman tersebut, melakukan pembohongan yang sama, semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai agar terkesan dengan ucapan mereka. Golongan ini mencipta riwayat-riwayat palsu tentang sifat syurga dan neraka, supaya mereka yang mendengarnya akan dapat merasai keindahan syurga atau menangis takut apabila mendengar tentang neraka. Pada mereka, jika orang ramai menjadi suka kepada kebaikan dan membenci kejahatan, maka pendustaan dalam bentuk penciptaan hadith palsu itu boleh dijustifikasikan sebagai suatu usaha yang baik.

Lihat sahaja, misalnya Abu ‘Ismah Nuh bin Abi Maryam atau yang lebih dikenali sebagai Nuh al-Jaami’. Beliau sendiri membuat pengakuan bahawa beliau mencipta hadith palsu bahawa kononnya riwayat itu dari Ibnu Abbas, menjelaskan tentang fadhilat surah-surah di dalam al-Quran, satu surah demi satu surah yang lain. Dengan suatu tujuan yang zahirnya kelihatan baik, iaitu untuk menggalakan orang ramai melakukan kebaikan dan membenci kejahatan, orang-orang seperti Nuh al-Jaami’ ini mereka-reka riwayat palsu dan menisbahkannya kepada Nabi SAW. Ketika Nuh al-Jaami’ ditanya tentang sebab beliau mengada-adakan riwayat palsu berkenaan, beliau menjawab,

 “aku lihat orang ramai telah meninggalkan al-Quran, dan sebaliknya mereka sibuk mempelajari Fiqh Abu Hanifah serta Maghazi Ibn Ishaq. Kerana itulah aku mencipta hadith tentang kelebihan surah-surah di dalam al-Quran untuk mengembalikan manusia kepada al-Quran!” [Al-Maudhu’aat oleh Ibn al-Jawzi 1:240]

Alangkah fasihnya lidah Nuh bin Abi Maryam membuat pembelaan terhadap ‘jenayah murni’nya itu. Hal yang sama juga dilakukan oleh Umar bin Subh bin Imran al-Taymi yang mencipta khutbah nabawi yang palsu serta Maysarah bin Abd Rabbih al-Farisi yang mencipta lebih 70 riwayat tentang kelebihan Saidina Ali RA.

Sesungguhnya para ahli Hadith telah membuat suatu jihad yang amat besar di dalam usaha mereka mempertahankan kemurnian disiplin ilmu Hadith. Mereka telah memerangi habis-habisan golongan pereka hadith palsu ini dan menyebar luaskan riwayat yang sahih sebagai bekalan pembimbing masyarakat.

b0197 KONTEKS SEMASA

Namun sikap manusia tidak berubah. Hari ini, walaupun Nuh bin Abi Maryam sudah tiada, masih ramai golongan yang mewarisi perbuatan berdusta ke atas Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Sikap tidak cermat dan teliti di dalam hal ehwal berkaitan keilmuan Islam, menjadikan masyarakat kita gagal merasa gah dan besarnya nilai sebuah hadith. Apabila Hadith Nabawi tidak dipandang tinggi, maka dengan sendirinya ia menjadi rendah sehinggakan ramai di kalangan kita yang tidak segan silu membakul sampahkan hadith Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan kalam-kalam yang tidak diketahui asal-usulnya di dalam bungkusan yang sama.

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya). [Al-Hashr 59: 7]

Telinga kita cukup mesra dengan kata-kata petah di kaca televisyen, di kuliah-kuliah masjid serta program motivasi, bahawa jika kita beramal dengan amalan ini, maka Allah akan mengurniakan padanya 10 darjat. Jika diamalkan amalan yang itu, nescaya malaikat akan melindunginya.

Bahkan kita juga tidak terkejut mendengar ada di kalangan penceramah yang mendakwa ulat yang lekat di tubuh Nabi Ayyub Alayhi as-Salaam itu jatuh ke bumi, yang jatuh ke darat menjadi lebah penghasil madu, manakala yang jatuh ke laut menjadi gamat. Maka penceramah itu tadi mula mempromosikan produknya. Ini lebih ajaib daripada perbahasan teori evolusi Darwin!

Amat sering kita temui, pendakwah-pendakwah masa kita menyebut bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, sedangkan mereka langsung tidak mempunyai sebarang sandaran keyakinan bahawa benarkah Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda begitu. Mereka dengan mudah mendakwa memakai pakaian ini adalah sunnah, makan seperti ini adalah sunnah, sedangkan mereka sendiri tidak tahu (atau sengaja bersikap seperti tidak tahu) apakah makna sunnah dan apakah benar Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu sendiri benar-benar pernah berpakaian demikian atau makan seperti itu. Tidak lain dan tidak bukan, semuanya adalah kerana sikap pendakwah seperti ini terhadap nas.

Mereka juga lupa bahawa soal dosa dan pahala adalah hak Allah Subhanahu wa Ta’aala. Mana mungkin kita mensabitkan pahala seperti itu. Siapakah yang memiliki ‘pahala’ itu untuk diberikan kepada manusia? Maka dengan mudah sahaja, para pendakwah menjustifikasikan kata-kata “membasuh talam makan, pahalanya adalah sama seperti membasuh Masjid Nabawi” sebagai hadith yang boleh menggalakkan kebersihan dan gotong royong membersihkan talam!

Kesimpulannya, pendustaan-pendustaan ke atas Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pada hari ini berlaku secara berikut:

 

1.       Menolak ajaran Islam sama ada secara total, atau dengan cuba mengenengahkan Islam ‘baru’ yang bertujuan merobohkan aspek-aspek terasnya.

2.       Menolak sunnah secara total. Misalnya golongan anti Hadith atau mungkin juga golongan yang tidak mengisytiharkan pada lisan tentang penolakannya terhadap Hadith, namun perbuatannya amat mengkesampingkan Hadith dari kehidupan.

3.       Meniru kelakuan ahli Qasas (tukang cerita) yang amat gemar mencipta ‘hadith’ palsu demi meraih rasa kagum pendengar dari kalangan khawas (orang awam) kepada ucapan-ucapannya. Hari ini, para penceramah, pakar motivasi dan pembimbing masyarakat amat mudah terjebak kepada kelakuan buruk ini. Mereka menisbahkan cerita-cerita pelik yang berjaya mereka temui, kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tetapi kemudiannya tanpa disedari mereka sedang melukis potret Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada suatu figure khayalan, luar biasa dan lagenda, sehingga hilang sifat murni perkhabaran tentang Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai uswah.

4.       Mendakwa dengan sewenang-wenangnya bahawa pakaian begini adalah sunnah, cara duduk begitu adalah sunnah, zikir cara begini adalah sunnah, sedangkan semuanya didakwa tanpa sandaran asal usul dan dalil.

Jadikanlah semua ini sebagai peringatan khususnya kepada pendakwah, ustaz-ustazah di kuliah dan penceramah-penceramah motivasi. Sememangnya kumpulan ini perlu membuat reformasi besar-besaran terhadap persembahan dakwah mereka untuk meningkatkan kesan positif. Namun, ia tidak sepatutnya dilakukan dengan mencampur adukkan galakan-galakan yang berasaskan kepada hadith palsu, mereka-reka pahala, dan ancaman atau targheeb yang tidak berasas lagi dusta.

Didiklah masyarakat agar mengharga ilmu yang berdisiplin. Dekatkan mereka kepada nas dan timbulkan rasa positif dan gembira dapat beramal dengan apa yang terbukti datang dari Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Disiplin ilmu Hadith merupakan satu cabang ilmu yang sangat besar di dalam tradisi keilmuan Islam. Bisa sahaja para pendakwah tersilap dalam menukilkan mana-mana riwayat di dalam ucapan dan penulisan. Namun atas sifat kehambaan kita kepada-Nya, dan kasih yang benar terhadap Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam hingga tidak tergamak mendustakannya, rendahkanlah diri untuk diperbetulkan. Benarkan artikel dan buku-buku untuk diedit agar betul nukilan hadithnya, terimalah teguran apabila ada kesilapan yang kita tersalah laku. Itu lebih menghampiri TAQWA.

Mudah-mudahan janganlah lidah kita yang fasih ini berhujah, “aku bukan berdusta ke atas Nabi, tetapi aku berdusta UNTUK nabi!”

 

ABUSAIF @ www.saifulislam.com

Cheras 56000

19 Safar 1426H / 30 Mac 2005M

Link ; http://saifulislam.com/?p=8536

Monday, August 23, 2010

Futur dalam Medan Dakwah

Kongsi

futur Futur adalah salah satu dari jenis-jenis penyakit yang biasanya hinggap pada para daie. Dari sudut bahasanya ia membawa kepada dua maksud. Yang pertama adalah terputus langsung selepas bersikap konsisten dan berhenti selepas aktif bergerak. Yang kedua pula didefinisikan sebagai sikap malas, melambat-lambatkan dan bertangguh dalam keadaan dulunya sentiasa pantas dan efisien.

Maksud dari istilah penggunaannya pula adalah erti kepada sejenis penyakit yang mungkin dan boleh menimpa sebahagian para amil dakwah. Tahap biasa akan membawa para daie menjadi malas, bertangguh dan lambat dan jika dijangkiti futur tahap kronik, ianya akan membawa kepada putus langsung selepas bersikap konsisten dan komited sebelum itu.

Bahaya Futur

Setelah mengetahui serba sedikit tentang definisi futur, saya memilih untuk menceritakan tentang bahayanya agar para daie menyedari risiko jika tidak memilih jalan yang boleh menjauhkan diri dari gejala futur ini.

الوقاية خير من العلاج

1) Perkara pertama yang bakal menimpa kepada mereka yang futur adalah pengabaian terhadap amanah selepas persetujuan kita menerima amanah. Firman Allah :

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.

Cerita disebalik ayat ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas adalah dialog antara Allah dan Nabi Adam A.S bilamana Allah menawarkan amanah ini kepada baginda lantas baginda bertanya tentang amanah ini. Allah berfirman kepada Adam:

إن أطعت غفرت لك وإن عصيت عذبتك

"Jika kamu taat, Aku akan mengampunkan kamu dan jika kamu gagal melaksanakannya, maka azabKu bagimu"

Maka bahaya pertama adalah amanah terabai dan sekaligus dijanjikan Allah dengan azabNya atas mereka yang memungkiri janji dalam melaksanakan amanahNya.

2) Gugur dari jalan dakwah. Perkara ini adalah satu yang patut dipandang serius oleh para daie yang memilih jalan dakwah sebagai landasan hidup mereka. Semakin hari, maka sikap diam dari dakwah ini akan sebati dan membenih di dalam hati, lalu satu lagi amanah Allah diabaikan.

3) Mengakhiri hidup dalam keadaan futur. Sedangkan amal manusia itu ditentukan berdasar kepada penghujung hidup kita. Sabda Rasulullah s.a.w :

إن العبد ليعمل عمل أهل النار وإنه من أهل الجنة ويعمل عمل أهل الجنة وإنه من أهل النار، وإنما الأعمال بالخواتيم

Sesungguhnya seorang hamba itu ada yang melakukan amalan ahli neraka padahal ia termasuk ahli syurga dan ada yang melakukan amalan ahli syurga sedangkan ia termasuk dalam golongan ahli neraka, sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada penghujung hidupnya

Dibimbangi jika kita futur dan kita mati, maka amal baik yang dilakukan sebelum ini menjadi debu dan sia-sia.

Faktor Yang Membawa Kepada Penyakit Futur

1- Melampau dan berlebih-lebih dalam mengerjakan perkara agama.

2- Terlalu menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang harus seperti makan, minum, tidur dan lain-lain.

3- Perpecahan yang berlaku dalam jemaah, konteks pemimpin adalah putus asa dan dalam konteks ahli adalah bosan dengan perpecahan lantas memilih untuk mengasingkan diri.

4- Kurang mengingati mati dan hari akhirat. Lupa bahawa hari itu akan dihisab segala amalan.

5- Kurang beribadat

6- Masuknya benda-benda haram dan syubhah ke dalam kantung perut masing-masing.

7- Para amil dakwah menumpukan hanya kepada satu perkara dalam agama dan bersikap acuh tak acuh kepada perkara lain.

8- Bersikap sambil lewa terhadap sunnatuLlah di dalam kehidupan.

9- Bersahabat dengan orang yang tidak punya azam yang tinggi dan cita-cita yang besar.

10- Tiada persedian dalam berhadapan dengan liku-liku dalam dakwah.

11- Tidak memberi hak kepada badan dek kerana terlampau banyak kewajipan dan kurangnya aktivis dakwah.

12- Melakukan maksiat samada kecil atau besar.

Penawar Futur

1- Membaca al-Quran dan mengambil iktibar dari kisah-kisah al-Quran. Oleh itu sewajarnya bagi setiap amil agar memiliki satu al-Quran dan terjemahannya.

2- Menyelami Seerah Nabawiyyah

3- Membaca sejarah-sejarah pejuang Islam.

4- Melazimi solat-solat jemaah

5- Menpergiatkan amalan sunat. Istighfar, zikir, memberi salam dan sebagainya.

6- Mengelak dari melakukan perkara makruh.

7- Selalu bersama orang yang soleh.

8- Menghadiri majlis ilmu.

9- Selalu berhubung sesama ahli.

10- Pengurusan yang baik dan berdisiplin.

11- menjaga masa

12- Kreatif dalam membina aktiviti

13- Membina kesatuan fikrah dan amal

14- Melazimkan diri dengan aktiviti jamaah.

 

Kuliah Maghrib

Madrasah Pecah Rotan

**************************

BenKareem

Sunday, August 22, 2010

Biarkan Bunga-Bungaan Itu Mekar

Kongsi
Biarkan Bunga-Bungaan Itu Mekar

Syurga itu ada Harganya

Kongsi

20 Sering juga, ketika melihat audience (biasanya kanak-kanak atau remaja) mengantuk saya akan katakan "Siapa yang nak masuk neraka duduk!" lalu semuanya akan terburu-buru bangun, ada juga yang terpinga-pinga lalu bangun mengikut aksi kawan-kawan lain yang bangun. "Siapa nak masuk syurga duduk!" lalu semuanya duduk semula. selalunya saya ulang beberapakali hingga nampak semuanya cergas dan ceria semula. Arahan ini tidaklah janggal dalam ceramah-ceramah saya kerana syurga dan neraka ini menjadi dasar dalam percakapan atau ceramah saya. Biasanya muqaddimah saya adalah ayat-ayat al Quran berkaitan Hari Akhirat, yaumul Mahsyar ataupun berkaitan syurga dan neraka. Setiapkali ada kesempatan saya akan sentuh lagi perkara ini hingga seolah-olahnya ceramah saya ini walaupun berkaitan dengan kademik atau motivasi diri tetapi hiasannya ialah kisah-kisah berkaitan perkara-perkara tadi.

Ada beberapa perkara kenapa saya berbuat begitu.

Pertamanya saya yakin bahawa persoalan ini sebenarnya jarang-jarang disentuh dengan begitu serius oleh para ibu bapa maupun guru bahkan ustaz-ustaz dan ustazah. Mungkin ada yang menyentuh sepintas lalu tetapi tidak dengan sepuh hati atau melihat persoalan ini sebagai perosalan yang terlalu besar dan penting hingga jiwa perlu diam seketika merenung diri.

Saya masih ingat ketika saya kecil, setiapkali ibu saya marah, dia akan kaitkan dengan neraka dan syurga. "Jangan cakap bohong nanti Akhirat kena potong lidah", "jangan mencuri nanti Akhirat kena potong tangan" "Jangan kasar dengan ibubapa nanti kena campak masuk dalam api neraka" dan sebagainya. Mungkin ibu saya tidak merujuk pada nas-nas yang tepat mengikut kesalahan dan hukuman tetapi ianya memang memberi kesan yang begitu mendalam pada diri saya sehinggakan kalau jumpa duit 5 sen dalam rumahpun saya akan lapurkan dan tanyakan pada ibu sya "boleh dak, mi ambik duit ini". Saya benar-benar takut kalau-kalau kerana duit 5 sen itu tangan saya akan dipotong di Akhirat nanti. Saya juga begitu takut untuk berbohong, apabila ada guru yang bertanya, siapa yang tak siap kerja rumah maka sayalah orang pertama yang akan angkat tangan kalau saya masih belum siapkannya.Ada satu keajaiban yang ingin kongsikan. Biasanya guru tersebut akan lebih mudah memamafkan sekiranya kita mengakui dengan jujur dan merendah diri walaupun guru itu itu termasuk guru yang begitu garang dan ditakuti (garang dulu bukan garang sekarang; kalau nak tahu bezanya tanyalah pada orang tua-tua)

Apabila saya meningkat dewasa, saya masih tidak berbohong tetapi mula menggunakan helah. Ketika saya ditingkatan 6 saya belajar di Taiping, ketika itu lebih kurang 30 KM dari rumah. Abang-abang saya semuanya sudah bekerja jadi duit poketpun kadang-kadang dapat lebih sikit. Pada masa itu saya suka tengok wayang (cerita kung fu). Walaupun ibu saya sering mengingatkan syurga dan seksa neraka tetapi kefahaman kami masih melihat Islam dengan nilaian yang belum tepat: Jaga solat, hormat orang tua, tak cakap bohong dan sebagainya. Jadi setiap kali nak tengok wayang saya akan ketempat-tempat seperti kedai buku, perpustakaan dan sebagainya. Apabila ibu saya tanya nanti, kenapa lamabat balik? Jadi saya akan jwab "singgah kedai buku sekejap" (Memanglah lepas tu pergi tengok wayang; biasanya saya harap-harap sangat ibu saya tidak tanya "lepas tu pergi mana pulak?") Tetapi ibu saya ni ada 'tabiat yang pelik'. biasanya dia akan kata dengan nada yang agak rendah tetapi begitu menyentuh hati dan membuatkan saya bersalah "Tak payahlah pergi tengok wayang, kita kena jimat-jiamt, kita bukan orang kaya". Atau kadang-kadang lepas ke perpustakaan saya pergi main game, ibu saya macam biasa akan pesan jangan main game nanti habis duit sia-sia. Ibu saya hanya ke Taiping bila ada hal-hal penting sahaja. Mungkin hanya beberapakali setahun, macamana dia tahu saya tengok wayang, main game dan sebagainya wallahua'lam. Tetapi saya memang, seumur hidup tidak pernah berbohong pada ibu saya.

Keduanya, saya yakin jika kita sebutkan tentang syurga dan neraka dengan hati yang merasainya ia akan memberi kesan kepada hati manusia. Biar sekeras mana hatinya, biar sedegil mana atau sesamseng mana sekurang-kurang mata mereka akan tertunduk diam.

Setelah mengulangi beberapa kali duduk dan bangun saya akan tanyakan kepada mereka; Bolehkah kita masuk syurga hanya dengan duduk dan bangun beberapakali? Tentu tidak. Syurga itu ada harganya.

Harganya ialah keimanan yang dijelmakan kepada ibadah dan ketaatan kepada Allah swt. Apakah pula ibadah yang benar-benar nmendekatkan kita kepada syurga Allah? Salah satunya begitu hampir dengan kita. Dan sekarang ini pula kita berada dilembah yang dipenuhi keberkatan dan rahmat yang akan mendekatkan kira ke syurga Allah SWT.

Dari Abi Umamah radhiallahu anhu “Aku berkata : “Ya Rasulullahu Shalallahu alaihi wasallam tunjukkan padaku amalan yang boleh memasukanku ke syurga; baginda menjawab: “Atasmu puasa tak ada (amalan) yang semisal dengan itu.” (HR NasaI (4/165) Ibnu Hibban (hal. 232 Mawarid) Al-Hakim (1/421) sanad SHAHIH)

Sahl bin Sa'd melaporkan bahawa Nabi Salla Allahu alaihi wa sallam berkata: "Ada sebuah gerbang ke syurga yang disebut ar-Rayyan?. Pada hari kiamat ia akan berkata:" Di mana orang-orang yang berpuasa ' When the last [one] has passed through the gate, it will be locked." Ketika] [yang terkini telah melewati gerbang, itu akan terkunci. " [al-Bukhari and Muslim]. [Al-Bukhari dan Muslim].

Ya, berpuasalah dengan sesempurna mungkin.

Saturday, August 21, 2010

Bagaimana merancang masa depan yang cemerlang?

Kongsi

 masa depan "saya betul-betul mahukan sebuah hidup yang bahagia dan cemerlang! Tapi saya tak tahu bagaimana menjadikannya satu kenyataan!!!"

Tidak mengetahui bagaimana menjadikan kehidupan anda cemerlang merupakan sebab utama anda tertekan, Justeru, saya ingin berkongsi sedikit panduan bagaimana menyusun kehidupan yang cemerlang.

Patuhi Langkah Cemerlang!

1. Masuk bilik anda dan tutup pintu!

- pastikan juga saudara mara anda sedang menonton TV di ruang tamu atau sedang keluar bermain di padang :)

2. Lihatlah diri anda dengan penuh jujur.

· Apakah yang anda mahukan dalam hidup anda?

· Anda mahu menjadi "siapa" dimasa hadapan?

· Perkara apakah yang betul-betul anda inginkan ( jika tidak dibayar pun, anda akan lakukan)

3. Tulis.

· kebanyakkan orang yang telah berjaya memulakan langkah pertama mereka dengan mengangkat pen dan menulis!

4. Rancang cara mendapatkannya.

· Tulis saja apa yang terlintas difikiran anda bagi mendapatkan ,apa yang anda inginkan, jangan mengira ianya relevan, masuk akal ataupun tidak.

5. Letakkan dan tampalkan kertas yang anda tulis tadi ditempat yang biasa anda tengok dan mudah untuk dilihat sentiasa bagi mengingatkan anda kepada hala tuju dan matlamat anda.

6. Buat seperti dirancang.

· Cuba lakukan apa yang anda rancang dengan penuh kesabaran, ya! Memang hidup ini akan berubah dan selalu berjalan tanpa kawalan kita, tapi jika anda merancang, matlamat anda akan tercapai suatu hari nanti.

7. Mula menolak 25% dari wang anda yang masuk setiap bulan dan simpanlah ia di bank.

· Setelah cukup, maka anda bolehlah membeli dan membuat perkara yang anda inginkan, seperti berkahwin, membeli kereta dan sebagainya.

8. Buang sifat negetif dan tanamkan dalam diri anda, Anda mampu Berjaya!

· Ia mampu menguatkan motivasi diri anda.

Tips kejayaan

1. Jangan mengira tindakan perubahan anda itu besar ataupun kecil kerana anda telah bertindak dan teruslah bertindak.

2. Bincanglah dengan keluarga, pakar motivasi, ustaz, dan rakan-rakan anda, apakah yang terbaik buat anda, tapi perlu diingati, tidak semua perkara yang mereka mahu itu adalah keinginan anda, maka perlu bijak menilai.

Amaran!

1. Bakul sampahkan kritikan, terus fokus.

2. Jangan mengambil dadah

3. Percaya pada diri sendiri

4. Berkawanlah dengan kawan yang mampu merealisasikan impian anda,

5. Jadilah diri sendiri jangan jadi pak turut!

6. Fikir sebelum buat.

Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat menjadikan diri kita seorang yang Berjaya!

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Ali-Imran :104

Thursday, August 19, 2010

Pemimpin : Siapakah Anda?

Kongsi

The_Lion_King_by_Enzoda

Saya pernah menjadi pemimpin sewaktu sekolah rendah, tapi rasanya tidak layak digelar 'pemimpin'.

Bila diimbas waktu lalu, terfikir apakah jasa yang telah saya sumbangkan untuk membawa adik-adik, sahabat malah senior ke arah ideologi Islam?

Tidak ada

Kesal. Sedih. Namun, bak kata sendiri, durian sudah menjadi tempoyak. Tidak ada gunanya lagi..

Kekadang, seakan mahu waktu diputar kembali. Ingin memperbetulkan sikap kepimpinan saya yang dahulu. Haih, istighfar-istighfar.

    Baiklah. Itu semua kenangan dahulu, sekarang masa untuk memandang ke hadapan, jauh ke hadapan.

Pemimpin, adakalanya perlu duduk di bawah sebentar. Muhasabah kembali, merasai semula menjadi manusia yang berada di bawah.

    Tak semestinya apabila menjadi pemimpin, dialah yang perlu berada di atas sekali, dialah yang berhak menentukan itu ini, menghukum membuta tuli, membuat keputusan tanpa bermusyawarah.

Tidak, itu bagi saya bukanlah pemimpin yang sebenar.

Wahai pemimpin, contohilah baginda dan para sahabat

   Diceritakan, selepas habisnya peperangan (lupa perang apa) yang berlaku di siang hari..kini menjelangnya malam. Para tentera kesemuanya keletihan selepas berhempas-pulas mengerahkan tenaga lalu tertidur.

   Tiba-tiba, seorang tentera terbangun dari tidurnya, matanya seakan mengecam tiga kelibat manusia tidak jauh dari situ sedang melakukan sesuatu pekerjaan.

   Setelah dikenal pasti, rupa-rupanya Rasulullah s.a.w, Saiyidina Umar r.a dan Saiyidina Abu Bakar r.a sedang bersama-sama menggali lubang untuk menanam para syahid.

   Anda kenal kan siapa ketiga-tiga manusia tersebut?

Ketiga-tiganya adalah pemimpin. Rasulullah, rasul junjungan mulia,pesuruh dan kekasih Allah. Abu Bakar, khalifah Khulafa' Ar-Rasyidin yang pertama. Umar, khalifah Khulafa' Ar-Rasyidin yang kedua.

    Tapi, apa yang sedang mereka lakukan saat-saat manusia merehatkan sekujur tubuh?

Adakah mereka juga bersenang-lenang, bersembang-sembang,berbaring-baring? Tidak. Ya,tidak.

Mereka menggali kubur!

Malah, tanpa menyusahkan dan memohon pimpinan di bawah mereka untuk membantu.

Cuba teliti diri

  Kadang, sebagai manusia, akan punyai sifat alpa. Tak kurang juga dengan diri ini. Maka, penyelesaiannya mari meneliti semula salah-salah kita, muhasabah. Cuba atasi kelemahan dan kesalahan yang pernah dilakukan.

   Adakah saat pimpinan bawah kita sedang solat berjemaah, berwirid, membaca Al-Qur'an, kita sedang bergelak ketawa hal dunia?

   Adakah setelah mendapat tahu si fulan ini berbuat salah itu ini, terus sahaja menghukum tanpa mengadili? Tanpa menyiasat, menyelidiki dan mengadili?

   Adakah apabila melarang pimpinan di bawah kita masuk kawasan larangan dan melakukan kesalahan, kita sendiri yang berbuat kesalahan tersebut tanpa berasa bersalah?

   Adakah pemimpin tugasnya hanya mengarah, membuli?

  Adakah anda merasa sudah terlalu besar? Oh,tidak! Jangan begitu!

         going down slowly..anda sebenarnya sedang turun ke bawah jikalau anda sedang bangga berada di atas ,atas dan ke atas..

Bukan pemimpin namanya, jika memandang rendah pada manusia-manusia sekitar, menghukum apa sahaja sebelum mengadilinya.

 Malah, tanpa memahami apa masalah yang melanda diri seseorang tersebut sehinggakan dia benar-benar membuat salah. Itu bukan pemimpin!

Bagi saya..

  Bagi saya, pemimpin itu adalah seorang yang ketika masyarakatnya sedang rosak, dia cuba memperbetulkan masyarakat dengan cara berhikmah serta tegas!

   Bukan setakat menghukum, dia cuba dahulu menyelami isi hati masyarakatnya. Apa sebenarnya yang masyarakatnya sedang dahagakan?

   Setelah diadili, dibimbing namun tetap juga melakukan salah, berilah amaran terlebih dahulu. Setelah itu, jika tetap juga melakukan salah, nah..silalah hendak menghukum. Namun, apa kata mulakan dengan hukuman yang ringan dahulu?

   Jika tetap juga berkali-kali degil, terserahlah.. Jangan mendera sudah, kan?

Apa kesannya jika anda terus menghukum begitu sahaja?

Mungkin sesetengah yang akan mengambil pengajaran, serik! Tapi,lebih besar kemungkinan akan ada yang memberontak malah mendendami. Siapa yang rugi? Anda juga!

Best ke ada orang dendam kat kite, huh??

Cuba bayangkan

   Bagi anda yang merupakan seorang pemimpin, pasti anda juga suatu masa dahulu berada di bawah.

Ada ke manusia lahir-lahir sahaja terus menjadi pemimpin? Wow, menakjubkan! ;p

  Cuba anda bayangkan saat-saat dahulu, ketika berada di bawah pimpinan sesiapa. Pasti anda faham apa yang tidak disukai oleh pimpinan di bawah tentang seorang pemimpin. Err, ayat ni macam pening tak?

Setiap orang akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya. Ok, teruskan memimpin dengan terbaik. Gambatte!!

Penulis sendiri pun banyak salah, sekadar peringatan buat diri sendiri dan semua

*****************************

Ariffah9

Wanita:Amat Mudah Masuk syurga

Kongsi

Saya ingin berkongsi sedikit bahan bacaan dan penyelidikan saya dari buku yang bertajuk Kelebihan Wanita Solehan yang disusun oleh Ustaz Haafar Salleh. Buku ini sangat menarik hati saya sejurus selepas saya memahami dan menghayati konteks yang dibekalkan. Antara topik yang benar-benar membuatkan hati saya melonjak ialah apabila saya membaca topik Wanita Amat Mudah Masuk Syurga.

Memang di neraka itu kebanyakan penghuninya terdiri daripada kaum wanita. Tetapi setelah membaca buku ini saya dapati wanita amat, amat mudah juga untuk menghuni syurga. Tugas dan tanggungjawab wanita tidaklah seberat kaum lelaki.Inilah di antara kemuliaan yang Allah kurniakan terhadap kita yang perlu direnungi oleh kita sepenuhnya.

Sabda Rasulullah SAW,

"Apabila seseorang perempuan itu telah melakukan sembahyang lima waktu,berpuasa bulan ramadhan, memelihara maruah(kehormatan) dan mentaati suaminya, nescaya diserukan kepadanya, silalah masuk mengikut mana-mana pintu yang kamu suka."

-Riwayat Imam At-Thabrani menerusi Abdul Rahman bin Auf.

Nah, dalam hadis ini Rasulullah tidak menyebut sembahyang sunat, puasa sunat, berjuang, berjihad, bekerja mencari nafkah dan sebagainya, kerana perkara-perkara itu bagi kaum wanita yang bersuami adalah terikat ke atas suaminya.

Erti taat kepada suami itu kalau tidak salah saya, patuh kepada setiap perintahnya selagi tidak berlawanan dengan syariat.Kalau berlawanan Nabi SAW berpesan,

"Jangan taati sebarang makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah."

-Riwayat Ahmad dan Al Hakim.

Hanya empat sahaja perkara yang wajib ditunaikan oleh wanita untuk masuk ke syurga. Mungkin pada hakikatnya senang, tetapi bergantung pada keimanan dan ketakwaan seorang wanita itu. Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat keredhaan-Nya dan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman. Amin.

untuk cintanNya

***************************

Nurina Izzati 

Wednesday, August 18, 2010

Surat Berantai

Kongsi

 suratberantai Surat berantai. Isu lama. E-mail Yang diforward berkali-kali dari e-mail ke e-mail. Beberapa mesej nampaknya sangat bagus untuk disebarkan. Tetapi, saya telah melihat satu kerosakan yang berlaku dalam penciptaan surat berantai.

Dimasukkan unsur-unsur syirik, yang terkeluar dari syara’, dan disertakan ugutan-ugutan atau ramalan masa hadapan yang melampau serta tidak berasas.

Saya bangkitkan hal ini, kerana beberapa orang bertanya kepada saya, apakah mesej yang mereka terima itu patut disebarkan?

Dikatakan penjaga makam Rasulullah bermimpi bertemu baginda SAW, dan baginda berpesan itu dan ini, kemudian ada ugutan pula di akhir e-mail, siapa tidak menyebarkannya akan celaka, siapa yang menyebarkannya akan mendapat sesuatu yang berharga.

Oh pemula/penyebar/yang mempercayai surat berantai, saya hairan dengan sikap kalian.

Perlu ada asas

Saya tidak menyalahkan surat berantai. Saya menyalahkan surat berantai yang isinya merapu dan terkeluar dari kebenaran. Malah pada satu tahap menganggu aqidah.

 “Ala, kan baik tu? Nak sebar kebenaran dan peringatan” Ini alasan yang orang suka pakai, apabila saya tegur secara personal berkenaan surat berantai yang dia hantar.

Perkara kebaikan, perlu ada asas yang sohih. Bukan boleh pakai taram sahaja. Tambah pula jika kita kaitkan dengan nasib seseorang, celaka atau berjayanya dia. Apakah surat itu punya kuasa tertentu untuk menjadiikan seseorang celaka atau cemerlang? Saya tidak pernah jumpa sesuatu yang berkuasa daripada Allah SWT. Hatta Rasulullah SAW pun tidak boleh memberikan kecelakaan pada seseorang. Apatah lagi makhluk lain, dan juga sekadar satu e-mail.

Apa asas surat itu?

Adakah sekadar bergantung “mimpi bertemu Rasulullah”? atau bergantung kepada khabarnya yang dikatakan disampaikan oleh “Syeikh Ahmad Penjaga Makam Rasulullah”?

Saya akan terangkan berkenaan mimpi bertemu Rasulullah dalam sub topik yang seterusnya. Tetapi di dalam sub topik ini, saya ingin bertanya, siapakah Sheikh Ahmad? Ada sesiapa boleh tunjukkan pada saya orangnya.

Dan hairannya, dia membawa berita yang sangat besar, sehingga yang tak sebar akan mengalami kehilangan benda berharga/kecelakaan, yang menyebar akan mendapat kejayaan, keuntungan, tetapi dia ini tidak pula pernah disebut oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi ke, Syeikh Wahbah Zuhaili ke, Sheikhul Akbar Al-Azhar ke. Guru saya yang sangat sangat hebat dalam pelajaran Aqidah, Dr ‘Ala Hilat atau Ulama’ Jordan Dr Mahmud Malkawi pun tak pernah sebut dia ini.

Siapa Syeikh Ahmad yang dikatakan bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan memberitahu berita ini?

Silap haribulan, Syeikh Ahmad itu pun hanya rekaan oleh mereka yang memulakan rantaian e-mail.

Bertemu Rasulullah dalam mimpi

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya, bererti dia akan dapat melihatku di dalam keadaan sedar. Sesungguhnya tidak boleh syaitan menjelma dengan rupaku”. { Jami’e As-Soghir Imam Suyuthi : 8690 , Sahih Al-Bukhari : 12 / 6993 , Sahih Muslim : 4 / 2266 . Sunan Abu Dawud : 4 / 5023 }. – HADIS SAHIH .

Di dalam riwwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya maka dia benar-benar melihat sesuatu yang benar” { Jami’e As-Soghir Imam Suyuthi : 8689, Sahih Al-Bukhari : 12 / 6996 , Musnad Ahmad 5 / 306 , Sahih Muslim 4 / 2267 }.

Ini adalah dalil yang manusia suka gunakan untuk membenarkan kata-katanya bahawa dia bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW. Kemudian dengan dalil ini, dia berkata bahawa apa sahaja yang dia sebut, dengan dinisbatkan kepada Rasulullah SAW adalah benar.

Saya tidak pernah meragui kebenaran hadith itu. Tetapi saya meragui orang yang menceritakan bahawa dia bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW. Hal ini kerana, sekiranya apa yang diperkatakan tidak terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah, maka dia dan mimpinya itu layak saya ragui dan tidak percayai.

Hal ini kerana, kandungan mimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w. itu tetap perlu dipertimbangkan dengan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya Mauqiful Islam Minal Ilham wal Kasyaf wa Ra’yu waminat-Tama’im wal Kahanah war-Ruqaa’:

 “Seseorang yang bermimpi bertemu dengan Nabi s.a.w. dalam tidurnya, lalu Nabi menyuruh atau melarangnya dari melakukan sesuatu, atau menzahirkan kecintaan kepada sesuatu atau kepada peribadi atau kepada kumpulan tertentu atau menunjukkan kemurkaan dan kebenciannya kepada seseorang atau jemaah atau sesuatu pendirian atau amalan, semuanya ini tidak boleh diambil kira dan tidak mensabitkan sebarang hukum syarak baik hukum wajib, sunat haram, makruh dan juga harus atau memberikan ketuanan, pembebasan mahupun permusuhan. Semuanya perlu dibentangkan terlebih dahulu kepada syari’at yang sabit lagi maksum. Jika bertepatan ia boleh diterima tetapi jika sebaliknya yang menjadi hujah tetap syari’at. Mimpi hanya untuk menggembirakan atau menjinak-jinakkan hati sahaja.”

Tambah Dr Yusuf Qaradhawi lagi : “Perkara yang hanya dipertanggungjawabkan (taklif) oleh Allah supaya kita meyakini dan beramal dengannya ialah sesuatu yang diwahyukan kepada Rasul-Nya semasa hayat Rasul tersebut, bukan berdasarkan kepada apa yang dibawa oleh mimpi di dalam tidur setelah kewafatannya.”

Allah SWT telah berfirman:

 

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.” Surah Al-Maidah ayat 3.

Islam sudah lengkap dan sempurna. Maka adalah mustahil Rasulullah SAW akan mendatangkan sesuatu yang bertentangan dengan Islam itu sendiri. Apatah lagi kalau sekadar jumpa ‘orang tua berjanggut putih dan berpakaian jubah serba putih berpesan itu ini itu ini” Lagilah tertolak.

Menurut Abu Dzar al-Ghifari r.a: “Rasulullah s.a.w meninggalkan kami dan tidak ada seekor burung yang mengepakkan kedua sayapnya di udara melainkan baginda menyebutkan kepada kami ilmu tentangnya.”

Dia berkata: Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak tertinggal sesuatupun yang dapat mendekatkan seorang hamba kepada syurga dan menjauhkannya dari neraka melainkan aku telah jelaskan kepada kamu semua.” [Hadis sahih riwayat al-Tabrani]

Jadi, boleh ke kita ambil mimpi bertemu Rasulullah sebagai petanda itu dan ini, sebagai pengkhabaran masa hadapan itu dan ini, sebagai tanda keuntungan atau kecelakaan itu dan ini, sebagai tanda kesohihan dan kebatilan itu dan ini?

Tidak boleh. Benar atau salah, buruk atau baik, untung atau celaka, semuanya kita ukur dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Mudah ceritanya, kalau anda claim, anda bertemu Rasulullah dan Rasulullah suruh anda buat sesuatu yang tidak ada dalilnya dalam Al-Quran dan As-Sunnah, maka yang anda mimpikan itu bukan Rasulullah SAW.

Jadi, boleh terima ke e-mail berantai Syeikh Ahmad itu?

Celaka, berjaya, untung, rugi, semuanya ketentuan Allah.

Kenapa saya katakan surat sedemikian mempunyai kesyirikan di dalamnya? Hal ini kerana, surat itu berkata bahawa, jika tidak sebar maka akan mendapat kecelakaan. Jika sebar mendapat keuntungan.

Diceritakan di dalam surat itu berkenaan beberapa orang yang tidak menghantar dan mereka mendapat kecelakaan. Ada pula diceritakan yang menghantar/sebar dan mendapat keuntungan.

Di sinilah syiriknya. Surat memberikan kebaikan? Surat memberikan kecelakaan?

Sesungguhnya, hanya Allah SWT sahaja yang memberikan itu dan ini. Maka kenapa perlu diugut kalau tidak disampaikan sesuatu perkara maka akan celaka, kalau sampaikan mendapat untung?

Hatta kecelakaan yang menimpa orang yang tidak menghantar surat ini, pada saya bukan kerana surat itu. Itu hanyalah kehendak Allah SWT yang ingin dia mendapat kecelakaan sebagai ujian dalam kehidupannya. Yang mendapat untung juga demikian.

Saya suka nak bertanya, apakah yang mendapat kecelakaan itu, tiada langsung kebaikan di dalam hidupnya? Apakah yang mendapat keuntungan itu, tiada langsung kecelakaan did alam kehidupannya?

Jawab.

Saya tak nampak kenapa satu surat boleh memberikan untung celaka.

Jika demikian, Allah sudah lama mengazab manusia-manusia yang tidak menyebarkan Al-Quran yang memang 100% sohih. Kenapa Allah nak mengazab orang yang tak menyebar surat, sedangkan Dia tidak pernah mengazab direct orang yang tak sebarkan Al-Quran? Kalau yang tidak menerima kebenaran, tidak melaksanakan tanggungjawab, pun Allah bagi masa hingga mati, dan pembalasannya adalah pada hari akhirat nanti.

So…

Amacam Surat Syeikh Ahmad dan sekutu-sekutu surat berantai yang agak-agak sejenis dengannya?

Ada back up ke?

Penutup: Orang mudah tertipu. Bangunlah, belajar.

Saya hairan. Hairan dan sangat hairan. Surat pendek, dalilnya pun tidak berasas, sekadar berpaut pada ‘mimpi bertemu Rasulullah’, diberitahu oleh ‘syeikh’ ‘penjaga makam Rasulullah’, ditutup dengan ugutan ‘sebar untung, tak sebar celaka’, kemudian berbondong-bondong orang sebar.

Yang artikel-artikel dari blog-blog yang bagus macam SaifulIslam.com, Zaharuddin.net, dan yang sepertinya tidak ada pula yang semangat nak jadikan forward mesej. Ayat-ayat Al-Quran yang terang-terang sohih, di dalamnya ada ugutan, ancaman, keuntungan, keberjayaan daripada Allah secara direct, tiada pula yang nak buat mesej berantai.

Saya hairan dan sangat hairan. Inilah dia mentaliti sebahagian kita.

Suruh belajar direct dengan sumber dalil tak mahu. Bila mimpi benda pelik sikit, mula bising sana sini nak kata itu petanda untuk itu dan ini. Bila nampak tulisan Allah atas langit, mula cakap itu petanda untuk sekian-sekian perkara.

Sedangkan, mimpi tidak boleh dijadikan dalil. Apa-apa perkara ‘menakjubkan’ bukan boleh kita jadikan petanda itu dan ini, melainkan kita pulangkan kepada kebesaran Allah SWT dalam menciptakan awan/pokok kaktus/dll berbentuk nama-Nya. Lainlah perkara ‘menakjubkan’ itu ada nasnya, ada penerangannya, untuk dikaitkan dengan dekatnya hari kiamat dan sebagainya.

Pesan saya, belajar lah. Kalau kamu bukan pelajar agama pun, rajin-rajin lah sikit buka Al-Ahkam.net ke, atau tanya mereka yang memang pakar dan dipercayai dalam dunia Islam.

Jangan mudah percaya dengan perkara yang tiada asas.

Dan nasihat ringkas saya pada yang memulakan/terfikir nak mulakan/sebarkan/terfikir nak sebarkan surat-surat berantai merepek ni, harap boleh hentikan. Kalau dah terhantar, dah termula, sila cepat-cepat minta maaf pada orang yang anda hantarkan itu.

*********************

Hilla Asyraf