usai menamatkan pembacaan A Brief History of Time, sebuah karya astrofizik masyhur karangan Stephen Hawking, saya termenung sejenak, mungkin kerana kandungan buku itu yang sangat-sangat membuktikan kewujudan Sang Pencipta dan Pentadbir; namun sebab yang lebih utama ialah mengenangkan berapa kerat pelajar dan mahasiswa Muslim yang membaca bahan ilmiah seperti ini.
Rakyat Malaysia tidak malas membaca. Masalah yang sebenarnya ialah malas berfikir. Kita memang banyak membaca—surat khabar, majalah, komik, dan Senyum Pisang di Mastika. Paling tidak pun, segmen sukan dan Senyum Kambing merupakan bahagian wajib-baca.
Menurut sebuah kajian yang dijalankan oleh The Star pada tahun 2006, akhbar merangkumi 77.4% daripada bahan bacaan rakyat Malaysia; manakala buku pula hanya 3%. Membaca akhbar Malaysia tidak banyak berhajat kepada pemikiran, terutamanya tabloid Melayu yang berunsur sensasi yang lebih banyak memberikan hiburan daripada pengetahuan. Membaca buku pula menuntut kefahaman dan menelan waktu. Secara purata, rakyat negara ini hanya membaca dua buah buku sahaja setahun!
Hatta apabila hendak bersantai pun, bahan bacaan yang ringan dipilih. Novel-novel cinta fotokopi picisan mendominasi pasaran. Dengan kemunculan genre ‘cinta Islami’, pelajar-pelajar Muslim turut hanyut dibawa arus. Mengapa tidak Lentera Mustika oleh Nisah Haron? Atau Tautan Hati oleh Fatimah Syarha? Bedar Sukma Bisu oleh Faisal Tehrani? Kafka on the Shore oleh Haruki Murakami? Atau, setidak-tidaknya Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Hamka? Ini semua novel yang berat. Bukankah novel alat eskapisme, buat apa pilih yang berat-berat?—kata mereka.
Bahan bacaan berat yang dibaca hanya tinggal yang wajib untuk pengajian di sekolah dan IPT. Apa yang disebut pensyarah, yang tertulis dalam buku teks, ditelan bulat-bulat. Tiada semangat inkuiri. Institut pendidikan menjadi pusat indoktrinasi yang memerangkap minda, tidak lagi markas perkembangan ilmu seperti yang dicita. Ustaz saya berpesan supaya belajar juga ilmu selain bidang yang diceburi, kerana universiti ialah pusat ilmu, bukannya pusat latihan pekerjaan, yang matlamatnya melahirkan mahasiswa yang ‘boleh dipasarkan’ seperti yang berlaku pada hari ini. Salah siapa?
Kita boleh menuding jari kepada banyak pihak. Sistem yang terlampau mengikat pelajar dengan assignment sehingga tiada masa untuk menjelajah lautan ilmu Allah yang sangat luas. Institut pengajian yang tidak membudayakan ilmu tetapi hanya mengutamakan kebolehpasaran. Mungkin saja salah mahasiswa yang tiada kesedaran akan kepentingan pembudayaan ilmu. Tidak cekap mengurus masa hingga tidak ada perancangan untuk melakukan self-improvement. Facebook juga boleh dipersalahkan. Seterusnya boleh dikaitkan pula dengan teori konspirasi dan sebagainya.
Namun, yang kita bicarakan sekarang ialah penyakit malas. Tidak cukup drive. Apa jua faktornya, penyakit malas hanya boleh diatasi dengan merawat hati kerana drive bagi seorang Mukmin ialah keimanan. Melawan malas memerlukan mujahadah. Untuk istiqamah dalam bermujahadah, kita berhajat kepada tarbiah. Tarbiah menghidupkan hati dan membajai iman. Bagaimana teruk pun sistem yang sedia ada menjerut masanya, hati yang hidup dengan iman yang subur kuat mengatur hidupnya untuk berterusan menjadikan esoknya lebih baik daripada hari ini.
Mahasiswa Islam perlu bangkit dan membebaskan akal mereka daripada terus dibelenggu oleh sistem yang sedia ada. Proses liberalisasi minda perlu dirancakkan. Liberalisasi di sini tidak bermaksud pembebasan minda daripada agama (islib); jauh sekali. Liberalisasi yang dimaksudkan ialah memerdekakan minda daripada segala belenggu sehingga ia memperoleh kemerdekaan maksimum yang mampu dicapai oleh insan, iaitu merdeka daripada semua yang dicipta dan hanya terikat dengan Yang Mencipta.
Krisis ilmu ini perlu segera diatasi. Musuh-musuh Islam sedang menyerang kita melalui serangan pemikiran (ghazwul fikr). Kuantiti dan juga kualiti mahasiswa Muslim yang sedar perlu ditingkatkan. Dakwah perlu terus berjalan untuk meningkatkan kuantiti, dan tarbiah memperkasakan kualiti. Kita merupakan penjuru-penjuru Islam yang bertanggungjawab mempertahankan amanah Allah ini. Setiap amal yang kita lakukan mestilah setidak-tidaknya memiliki salah satu daripada dua ciri ini: menegakkan fikrah dan meruntuhkan jahiliah. Bagaimana mungkin fikrah dapat ditegakkan dan jahiliah dapat diruntuhkan jika ilmu tiada di dada? Atau ilmu sudah outdated? Atau barangkali, ilmu yang kita ada sebenarnya salah?
Ilmu merupakan aspek penting dalam kerja-kerja dakwah dan tarbiah. Kalimah ‘bashirah’ dalam surah Yusuf ayat 108, ayat taklifan dakwah yang masyhur, merupakan dalil bahawa ilmu merupakan prasyarat untuk menyampaikan Islam. Kita bimbang sekiranya kita menyampaikan atas nama Islam sesuatu yang tidak benar. Dan dengan wajibnya dakwah pada zaman ghurbah thaniah ini, bertambah-tambahlah kewajipan dan kepentingan menuntut ilmu bagi menyempurnakan prasyarat ini.
Akhir sekali, seruan saya kepada diri saya sendiri serta semua yang membaca agar kita sama-sama memuhasabah diri dan mengukur sedalam mana ilmu kita tentang Islam, sekuat mana usaha kita untuk mendalami ilmu-ilmu yang kita, sebagai pekerja Islam yang qawiyyul amin, sepatutnya ada seperti ilmu asas Islam, fiqh dakwah, fiqh keutamaan, sejarah, dan isu semasa termasuklah pemahaman terhadap realiti kampus dan negara. Biar tampak perbezaan antara minda Muslim yang sentiasa berhubung dengan Rabbnya, dengan minda jumud yang terikat dengan doktrin ciptaan manusia.
Wallahua’lam.
************************************
Sumber : Asyraf Ilman
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)