Hati kita belum boleh tenang walaupun kita sudah mendidik anak-anak dengan baik di rumah. Berapa ramai ibu bapa yang baik-baik, tapi memiliki anak yang punah. Agak merungsingkan juga apabila didapati sebahagian daripada anak-anak gadis yang dihantar ke tempat-tempat perlindungan bagi wanita terlanjur adalah anak kepada ibu bapa yang beragama dan berpendidikan.
Kepincangan dalam sistem pendidikan, bahana media bobrok yang semakin canggih, pengaruh rakan sebaya serta kelemahan dalam didikan anak mungkin antara punca yang menyebabkan anak-anak terjebak dengan mungkar zina.
Dalam siri yang lepas, saya telah mengulas beberapa aspek pendidikan berkaitan hubungan pergaulan dalam Islam. Kurangnya kepekaan ibu bapa dalam ilmu batas-batas pergaulan dalam Islam, kadang-kadang turut menjadi penyebab menularnya wabak zina dalam masyarakat. Tidak kurang ibu bapa yang gagal memahami perkembangan psikologi dan biologi anaknya sendiri dan tidak menyedari tarikan persekitaran yang kuat yang mengajak anak-anak muda ke arah perzinaan. Bahkan lebih malang lagi, zina yang termasuk dalam dosa besar itu, kadang-kadang dianggap remeh oleh sesetengah ibu bapa lantaran ceteknya kesedaran Islam.
Gejala seks yang meruncing…
Pengaruh bahaya zina pada hari ini begitu meruncing. Hari ini terdapat segelintir anak-anak gadis di bangku sekolah yang berasa malu dan tersisih dengan kawan-kawannya jika masih belum ada pengalaman tidur dengan lelaki. Ada dari kalangan mereka pula yang telah mula berjinak dengan budaya seks sejak dari sekolah rendah. Di kalangan remaja lelaki pula, mereka yang terlibat dengan gejala seks sehingga mengunjungi pusat-pusat pelacuran. Kerap kali juga kita mendengar remaja-remaja lelaki dan wanita hari ini tinggal serumah bercampur bebas mengadakan pesta seks. Malah ada di kalangan mereka yang sudah tingal bersama seolah-olah seperti pasangan suami isteri walaupun tanpa apa-apa ikatan yang sah.
Gejala hodoh seks bebas ini kononnya berpijak di atas perasaan cinta yang suci murni. Kotak fikiran anak-anak muda diisi dengan propaganda cinta yang dianggap sebagai satu perasaan murni yang mendekatkan antara lelaki dan wanita serta menghalalkan apa sahaja bentuk hubungan fizikal.
Sejak dari pra sekolah hingga ke menara gading, anak-anak kita hari ini dicandukan dengan pemikiran cinta bebas ala-Barat ini, melalui segala wahana promosi seperti kartun animasi, iklan, filem, drama, computer game, novel dan lain-lain. Kebobrokan tata budaya dan kehancuran institusi keluarga di Barat itu seolah-olahnya mahu diimport seluruhnya bagi menjangkiti masyarakat Islami di sini. Sedangkan bagi Islam, soal zina dan penjagaan keturunan merupakan soal besar yang perlu ditangani dengan penuh berhemah.
Bahkan dalam sebuah Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w mengaitkan zina dengan iman, mafhumnya: “Tiada berzina seorang yang berzina sedang dia seorang yang beriman”.
Dekat pun tak boleh!
Allah SWT bukan sahaja mengharamkan zina, bahkan melarang umat Islam mendekati zina. Ini bermakna segala bentuk tindakan yang boleh mendekatkan seseorang itu dengan zina dikira sebagai dosa dan maksiat. Bahkan dalam satu hadis, perkara-perkara yang membawa kepada zina ini juga dinamakan sebagai zina dalam konteks yang lebih luas. Ini bermakna terdapat zina mata, zina telinga, zina mulut, zina pada wangian dan lain-lain.
Seseorang lelaki dianggap melakukan dosa zina mata apabila melihat wanita dengan penuh ghairah dan bernafsu kerana berbuatan itu menghampirkan kepada zina hakiki. Demikian juga wanita yang melihat lelaki dengan perasaan yang sama. Serupa juga dengan wanita atau lelaki yang sengaja menggayakan pakaian, diri atau wangi-wangian dengan hasrat untuk menarik perhatian dan menggoda perasaan orang lain.
Selain itu, Islam amat menjaga soal akhlak-akhlak mulia yang perlu diamalkan agar tidak terjebak dalam pergaulan bebas berlainan jantina. Sebenarnya pergaulan bebas inilah yang menjadi permulaan kepada masalah zina sebenar. Budaya keluar dating, berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna, berkawan bebas lelaki wanita dan sebagainya mendorong kepada zina. Jika ibu bapa dapat mengawal gejala ini sejak awal lagi, maka ia telah dapat menutup satu pintu besar ke arah zina.
Rejam yang menggerunkan
Hukuman rejam bermakna melemparkan batu ke arah pesalah zina sehingga dia meninggal dunia. Batu yang bersaiz sederhana dilempar dengan kuat ke arah pesalah zina oleh mereka yang disekelilingnya secara bertubi-tubi sehingga dia meningal dunia. Hukuman ini dikenakan ke atas penzina muhsan atau yang pernah berkahwin. Hukuman ini memang keras dan menakutkan. Kekerasan hukum ini menunjukkan betapa zina merupakan satu dosa yang amat besar dan penyakit yang serius.
Bagi pesalah yang bukan muhsan pula, Islam menetapkan hukuman sebat sebanyak 100 kali. Kedua-dua hukuman ini ditetapkan oleh Allah bagi menghapuskan kesalahan zina dari akar umbi. Islam amat mengambil berat soal maruah, kehormatan dan keturunan kerana ia menjadi asas kepada kekuatan sesuatu masyarakat.
Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengingatkan anak-anak agar sentiasa menjauhi perbuatan zina. Mereka perlu difahamkan tentang betapa besarnya kesalahan zina di sisi Allah. Rasulullah s.a.w bersabda (riwayat al-Bukhari):
“Tidak halal darah seorang muslim yang mengucap ‘tiada Tuhan melainkan Allah dan aku ini Rasulullah’, kecuali kerana tiga perkara iaitu: Penzina yang telah berkahwin, membunuh balas nyawa dengan nyawa dan orang yang meninggalkan agamanya dan meninggalkan jemaah (kaum Muslimin).”
Derita berpenyakit
Dr Abdullah Nasih ‘Ulwan, menyebut bahawa zina bukan sahaja mendatangkan kemurkaan Allah, bahkan membawa kecelakaan yang besar sepanjang hidup seperti penyakit-penyakit kronik serta bahaya sosial, moral dan rohani. Mereka yang melakukan zina akan terjebak dengan pelbagai penyakit seperti AIDS, sifilis, penyakit saluran kencing, jangkitan di anggota kemaluan.
Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w (riwayat Ibn Majah dan Al-Baihaqi):
“Wahai Muhajirin! Lima perkara jika kamu ditimpa balanya, sedang aku berlindung diri daripada Allah agar kamu tidak ada di waktu itu…tiada muncul zina yang dilakukan secara terang-terangan dalam sesuatu kaum, melainkan akan merebaknya penyakit taun dan penyakit yang belum pernah dikenali sebelumnya.”
Kesimpulannya, zina merupakan satu penyakit masyarakat yang melanda dunia hari ini. Umat Islam yang sentiasa berpegang bahawa zina sebagai satu dosa besar perlu berusaha sedaya upaya untuk menghindari wabak yang datang dari Barat ini. Ibu bapa sebagai manusia yang paling hampir dengan anak-anak perlu mendidik anak-anak memahami bahaya zina dan perbuatan yang dapat menghampiri zina. Anak-anak perlu difahamkan tentang besarnya kemurkaan Allah ke atas penzina dan mereka yang hidup dalam budaya zina.
Sumber - http://www.almuslimah.com.my/?p=177
diambil dari: http://muslimteenagers90.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)