Alhamdulillah, umur kita bertambah setahun lagi. Semoga pertambahan umur kita akan semakin mendekatkan kita kepada Allah SWT.
Dari satu sudut, tahun baru ini umpama ‘baju baru’. Kita boleh beli baju yang secantik dan semahal mungkin, kita boleh pakai dan boleh juga berbangga dengan baju terbaik yang kita beli dikedai terbaik. Namun disebalik baju cantik yang kita pakai itu, masih tubuh badan (mungkin ada sedikit perubahan) dan hati yang sama.
Bagi insan yang tidak mengenali kita mungkin akan teruja dengan kecantikan luaran yang kita pamerkan namun bagi jiwa-jiwa yang sudah masak dan benar-benar mengenali watak kita akan memberi pandangan yang berbeza. Mungkin kita pernah terdengar orang berkata “Alaa, baju je lawa tapi hati BUSUK” Sambil berpaling dan menjuih. Atau mungkin ada yang berkata “Eleh, baju boleh beli yang mahal tapi BAKHIL tetap bakhil” dan berbagai kecaman lain. KENAPA?
Kita sendiri tidak melihat manusia hanya pada pakaian yang dipakainya. Tentu anda tidak setuju kalau saya katakan orang yang pakai baju cantik itu baik akhlaqnya atau saya katakan orang yang pakai baju-baju ‘bundle’ tu tak ada maruah. Pakaian yang kita pakai hanya kulit luaran yang boleh dibeli dengan duit. Namun kebaikan yang kita pamerkan adalah refleksi hati kita yang tersembunyi didalam lubuk diri kita. Jika jernih, lembut dan bersih hati kita maka jernihlah peribadi kita. Akan tetapi jika kotor, keras dan rosak hati kita maka keruhlah peribadi kita. Inilah pakaian keperibadian kita yang sebenar yang tidak ada dijual di kaki lima atau butik-butik mewah sekalipun.
Mungkin juga pernah dalam kehidupan kita, kita menemui orang baru. Mungkin pelajar atau pekerja baru. Kali pertama melihat kita merasakan ia seorang yang kemas, segak dan tampan bergaya, namun setelah berinteraksi dan mengenalinya dengan lebih mendalam kita mula melihat dengan pandangan yang berbeza. Kalu buruk perangainya, kita sukar untuk menemui kecantikan pada penampilan zahirnya. Walaupun mungkin pakaiannya kemas dan bersih namun air mukanya nampak menjelekkan pandangan kita. Itulah hakikat keperibadian sebenar sebagaimana yang kemukakan oleh Professor Hamka dalam bukunya keperibadian. Cantik tapi kecantikannya tenggelam dalam peribadinya yang buruk hingga menghilangkan keperibadiannya yang zahir.
Berbalik pada TAHUN BARU. Kita boleh senaraikan azam baru kita sampai penuh kertas A4 atau lebih lagi namun semua itu hanyalah zahirnya sahaja. Yang penting bagaimana persediaan kita untuk mengotakan apa yang kita kata. Kata-kata sahaja tidak memberi makna sehingga ia benar-benar terlaksana dalam tingkahlaku dan sikap hidup kita. Pakaian yang baru dan cantik akan lusuh dimakan usia namun keazaman yang benar yang lahir dari kesedaran dan ketinggian jiwa akan tetap bersinar.
Kita juga boleh ubah dan hiaskan rumah, bilik atau pakaian kita tetapi jangan kita lupa, HATI kita juga perlu berubah atau meningkat kepada yang lebih baik. Seharusnya kesibukan kita dalam menyambut tahun baru lebih mengutamakan perubahan hati. Hati kita perlu diproses dan dididik supaya lebih menyintai kebenaran dan kebaikan serta membenci kemungkaran dan dosa. Hati kita perlu dibimbing agar menjadi hamba hakiki yang merasai kebesaran dan keagungan Robbnya. Hati kita perlu diasuh agar sentiasa cinta kepada Allah dan Rasul serta jalan-jalan yang akan mendekat kita kepada kedua-duanya. Dan hati kita juga perlu dihiaskan dengan keyakinan kepada janji-janji dan ancaman-ancaman Allah sehingga jiwa kita benar-benar hidup, hidup untuk terus melangkah menuju MARDHATILLAH.
Marilah kita menjadi Hamba Robbani yang sentiasa mengharap dan mencari redha Allah SWT.
…………………………..
Azmi Bahari
No comments:
Post a Comment
sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)