Wednesday, November 10, 2010

Berdiri Dibumi

Kongsi

walking Tidak salah untuk bercita-cita tinggi, bahkan cita-cita itulah yang menghidupkan jiwa. Namun jangan kita jadikan cita-cita itu sebagai alasan untuk mencemuh kehidupan yang sedang kita lalui sehingga kita ingin meninggalkannya dengan ketergesaan. Lihatlah hidup dengan keazaman, hayatilah segalanya dengan rasa kesyukuran kerana kita sedang berdiri di bumi yang diwarnai kepayahan dan halangan.

Tidak ada salahnya memiliki impian yang menggunung kerana impian itu membangunkan harapan. Ya, harapan itulah nadi kehidupan hingga kita mampu memiliki diri. Namun janganlah kerana impian itu kita rasa terhina dengan segala yang kita miliki. Lihatlah hidup ini dengan kepasrahan, hayatilah segalanya dengan lapang dada kerana kita sedang berdiri di bumi dimana kekurangan dan kelemahan adalah corak yang menghiasinya.

Tidak mengapa untuk kita berangan-angan sekali sekala kerana angan-angan itu penawar ketika hati ditemani kekecewaan. Namun janganlah kerana angan-angan itu kita terlupa dimana dan siapa kita. Hadapilah kehidupan ini dengan doa dan tawakal kerana kita sedang berdiri dibumi yang ada Pemiliknya.

Ya, berdirilah di bumi

agar jiwa kita cepat tumbuh dan mengerti

lalu kita mampu memiliki diri

untuk terus melangkah dan adakalanya berhenti

Berdirilah di bumi ini

tempat bercampurnya dosa pahala

tempat jiwa, jatuh bangun

tempat suka, tempat duka

Berdirilah dibumi ini

agar kita memiliki diri

lalu bangun menongkah pagi

dengan cita dan keazaman

dan dengan iman yang memagari diri

Kita boleh menangis

tapi bukan dengan rasa kehinaan

tangisan itu bukan lambang kelemahan

tapi milik hamba yang sedar diri

Kita boleh ketawa

tapi sekadar menghilang duka

kita juga insan hina

selalu tersungkur dan lupa kita siapa

Kita juga kan mampu tersenyum

ketika Iman menghiasi jiwa

ketika zikir dan fikir menemani diri

lalu kita sentiasa sedar diri

bahawa dimanapun kita berada

kita sedang berdiri di bumi

*************************

Azmi Bahari

No comments:

Post a Comment

sila berikan soalan anda jika anda mempunyai kemusykilan dengan artikel yang dimuatkan,
sebarkanlah artikel2 ini kepada sahabat-sahabat anda, keluarga, rakan-rakan usrah dan siapa sahaja disamping anda:)